‘Nombor ramalan hanya untuk orang bukan Islam, orang Islam jaga orang Islam’

Oleh ARIF ATAN

Nombor ramalan hanya untuk orang bukan Islam berbanding penganut Islam mempunyai halal dan haram yang perlu dipatuhi dalam menjalani kehidupan.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, isu kelulusan penambahan cabutan khas nombor ramalan oleh kerajaan diyakini bukan dibuat pimpinan Pas yang menganggotai Kabinet.

Sehubungan itu, Razman berkata, beliau tidak wajar mengulas lanjut kelulusan kerajaan terhadap semua permohonan agensi nombor ramalan untuk cabutan khas sebanyak 22 kali untuk tahun ini.

“Tetapi, kalau ditanya kepada saya, memang judi bukan untuk orang Islam.

“Sekarang ini, kita ahli-ahli Pas dan orang Islam perlu menjaga diri kita serta masyarakat Islam khususnya supaya tidak melanggar larangan Allah.

“Nombor ramalan ini hanya untuk orang bukan Islam, maka kita orang Islam ada halal dan haram…jadi kita orang Islam jaga orang Islam,” katanya dipetik Malaysiapost.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat mempersoalkan pendirian pimpinan Pas selepas kerajaan melalui Kementerian Kewangan meluluskan cabutan khas daripada lapan sebelum ini, kepada 22 kali setahun untuk semua agensi nombor ramalan (NFO).

Pas sebelum ini galak menentang operasi judi. Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pada 18 Februari lalu contohnya, sangat mengharapkan agar kerajaan dapat membuat pertimbangan semula berhubung kebenaran beroperasi kepada semua operator perjudian berkuatkuasa 15 Februari.

“Sudah tentu jika dilihat di dalam Islam sekalipun, ia merupakan dosa besar yang dibenci bahkan dalam semua agama-agama utama di dunia juga, judi dianggap perbuatan yang tidak bermoral,” kata Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas dalam satu kenyataan tiga hari selepas kerajaan membenarkan operasi semua operator perjudian.

Untuk rekod, kerajaan PH telah mengurangkan jumlah cabutan khas kepada 11 kali sahaja pada tahun 2019 berbanding 22 kali pada 2018 yang ditetapkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kerajaan PH seterusnya mengurangkan lagi kekerapan cabutan khas pada 2020 kepada lapan kali sahaja setahun.

Walau bagaimanapun, kekerapan cabutan khas telah ditambah kembali kepada 22 kali pada tahun ini, di samping undian tiga kali seminggu yang biasa.