Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani menempelak kenyataan pelakon, Nonny Nadirah apabila mengatakan imejnya yang sudah lagi tidak bertudung adalah disebabkan gangguan sihir.
Kata Ahmad Dusuki, meskipun Nonny mendakwa dirinya menjadi mangsa sihir, hal itu sudah pasti tiada kena mengena dengan perbuatannya yang menanggalkan tudung.
Sebelum ini, Nonny Nadhirah mendedahkan dirinya terkena buatan sihir selama tiga tahun dan disebabkan itu wajahnya menjadi senget serta menjadi punca utama dia membuka tudung.
“Buang tudung bukan sihir tapi peel! (tingkah laku).
“Janganlah dikaitkan kemaksiatan dengan gangguan sihir,” katanya.
Menurut Ahmad Dusuki, apabila seseorang wanita tidak lagi bertudung, dia disifatkan membuka aurat yang berterusan.
Kata Ahmad Dusuki, tindakan itu sekali gus melanggar hukum Tuhan dan agama.
“Lalu didedahkan kepada orang ramai, justeru ia merupakan dosa yang berpanjangan,” katanya.
Namun begitu, pendakwah terbabit tidak menafikan bahawa sihir boleh membuat raut wajah seseorang berubah seperti yang diperkatakan oleh Nonny sebelum ini mengenai wajahnya yang senget akibat sihir.
Ahmad Dusuki menasihati selebriti itu untuk menutup aurat kerana dosa yang dipikul akan berterusan seandainya mendedahkan aurat kepada umum.
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan, Nonny disihir oleh seseorang yang dikenali sehingga raut wajahnya menjadi senget sebelah selain ia mempunyai kaitan dengan imejnya yang sudah tidak bertudung.
Pada 2021, nama Nonny mengundang perhatian apabila memuat naik video dengan penampilan seksi sekali gus mencetus kebimbangan dalam kalangan rakan-rakannya.
Namun, sekitar pertengahan tahun lalu dia kembali bertudung apabila bertemu dengan penyanyi dan usahawan Mila Jirin.
Baca juga: “Baru tahu aku rupanya anak tak sah taraf, bapa degil nak jadi wali tipu bakal suami”