Noor Azmi nafi akaunnya dibekukan susulan siasatan Taske Force 1MDB

Noor Azmi nafi akaunnya dibekukan susulan siasatan Taske Force 1MDB

Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini menafikan akaun bank peribadi dan akaun rasmi Ahli Parlimen dibekukan oleh Pasukan Petugas Khas Siasatan (Taske Force) 1MDB .

Beliau berkata tular di media sosial sejak minggu lalu yang mendakwa akaunnya dibekukan adalah tidak berasas dan ia sengaja disebarkan oleh golongan tertentu.

“Ini semua untuk memburuk-burukkan reputasi saya, selepas saya keluar dari Umno dan keputusan saya itu dikaitkan dengan kemungkinan akaun saya dibekukan disebabkan terbabit siasatan kes oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Parit Buntar hari iniseperti dilaporkan Bernama.

Noor Azmi mengumumkan keputusan keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) seterusnya menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 24 Jun lalu.

Menurutnya keputusan beliau keluar parti adalah atas alasan peribadi dan tiada kaitan dengan kes salah laku yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata amanah rakyat selepas menang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan beliau teruskan walaupun kini menjadi wakil rakyat bebas.

Dalam pada itu, Noor Azmi membidas pemimpin atasan Umno kerana masih mencabar beliau meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Bagan Serai.

“Tiada termaktub dalam undang-undang jika saya keluar parti saya perlu meletakkan jawatan,” katanya sebagai mengulas cabaran Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mana-mana anggota parlimen BN yang keluar parti agar meletakkan jawatan.

COMMENTS

Wordpress (0)