Malaysia Dateline

Noor Hisham jaga-jaga jangan terpalit

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah seolah-olah, secara sukarela atau terpaksa, telah membela kerajaan dalam isu penangguhan sidang Parlimen sekarang ini.

Dewan Rakyat sepatutnya meneruskan sidangnya hari ini tetapi dibatalkan atas alasan “selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan”. Itulah antara yang terkandung dalam surat pemakluman oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin bin Bacha Mydin pada 31 Julai.

Dalam kenyataan media 1 Ogos itu, Dr Noor Hisham dipetik sebagai berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar semua sesi mesyuarat di Parlimen ditangguhkan untuk tempoh dua minggu mulai 29 Julai susulan pengesanan kes COVID-19 dan kebimbangan risiko penularan jangkitan. Ini termasuk mesyuarat Jawatankuasa Pilihan, Jawatankuasa Pilihan Khas, pembentangan-pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu yang berada di bangunan itu dari 26 hingga 29 Julai lepas.

Apa yang menjadi hal bukanlah nasihat profesional Dr Noor Hisham tetapi oleh kerana nama kerajaan Melayu-Islam Perikatan Nasional (PN) begitu busuk dan tidak dipercayai jadi sesiapa pun yang bersangkut paut dengannya turut menjadi busuk dan diragui.

Sebab itulah sejak awal penubuhannya lagi saya tidak putus-putus memberi amaran bahawa sesiapa saja yang dilihat bersubahat dengan kerajaan rampasan kuasa ini akan turut dipersalahkan dan dikutuk. Malangnya mereka tidak hirau kerana mereka berasa tindakan mereka tepat atau kerana mendapat habuan yang lumayan daripada “the scheme of things” Mahiaddin Md Yasin.

Sekarang barulah sesetengah daripada mereka sedar bahawa mereka telah melepaskan anjing tersepit kerana imej mereka telah calar-balar dan terkoyak oleh gigitan dan cakaran haiwan ganas ini.

Seikhlas dan seprofesional mana pun Dr Noor Hisham memberi nasihat, peluang dan ruang yang tercetus hasil daripada nasihatnya itu akan digunakan sepenuhnya oleh Mahiaddin dan para pesekongkolnya untuk menyelamatkan nyawa mereka yang berada di hujung Pedagang Damocles ciptaan mereka sendiri.

Di belakang tabir, perdagangan manusia ala politik sedang berjalan rancak. Setiap Ahli Dewan Rakyat adalah “goods-in-trade” yang akan cuba dibeli dan tidak ada harga yang terlalu mahal untuk dibayar. Lihatlah bagaimana Ahli Dewan Rakyat Umno sanggup menyepak ke tepi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan (PAU) parti mereka sendiri demi nikmat kuasa dan duit. Apatah lagi Pas yang tiang golnya sentiasa berubah dan nikmat hedonisme boleh dijustifikasikan melalui fatwa politik.

Risiko persidangan tidaklah sebesar mana sehingga Dr Noor Hisham perlu “campur tangan” begitu sekali. Yang sepatutnya diuar-uarkan adalah hakikat bahawa daripada 120 Ahli Dewan Rakyat yang masih hidup, hanya beberapa kerat saja tidak atau belum divaksinasi kerana masalah kesihatan. Natijahnya umpama seekor kerbau yang membawa lumpur habis sekandang terpalit.