Noor Hisham ‘pak turut’ akibat ditekan?

Oleh ARIF ATAN

Selama beberapa bulan pertama negara dilanda Covid-19, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjadi pujaan rakyat Malaysia kerana ketenangannya semasa mengendalikan sidang media harian wabak pandemik tersebut.

Ketika itu, catatan kes harian Covid-19 tidaklah seburuk sekarang. Dr Noor Hisham disukai setiap golongan rakyat, termasuk kanak-kanak sehingga digelar ‘wira’.

Sebagai mengenang jasanya, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu dikurniakan pingat Tan Sri. Noor Hisham terus cemerlang berbakti sehingga Malaysia berjaya mencatatkan sekali sifar, dan dua kali satu kes sahaja pada Julai dan Ogos 2020.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan Hisham mula tergugat apabila kes harian Covid-19 kian meningkat. Ramai yang mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020 menjadi punca.

Kerja-kerja Hisham mulai dikritik, tetapi bukan oleh pihak Pakatan Harapan (PH), sebaliknya daripada PN sendiri. Saya suka mengingatkan kembali kecaman Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing di Dewan Rakyat kepada Hisham pada 11 November 2020.

Tiada siapa boleh menafikan Hisham telah berusaha keras sejak Januari 2020 menangani kes Covid-19. Beliau diharapkan terus sihat untuk berbakti sebagai ‘jeneral perang’ negara melawan wabak pandemik maut ini.

Justeru, tentulah kita kesal, marah dan kecewa apabila ada orang memburuk-burukkan beliau.

Tiong dikecam hebat kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Hisham.
Presiden Parti Demokratik Progresif itu mendakwa Hisham ‘takut mati’ kerana tidak pergi sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan penularan Covid-19 di sana.

Tiong sangsi adakah Hisham ‘takut mati’ kerana hanya mengadakan sidang media, dan membaca teks yang telah disediakan. Katanya, budak pejabat pun boleh mengadakan sidang media kalau sedemikian.

Adakah Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China menganggap budak pejabat sesuai, dan berwibawa menjawab soalan-soalan sukar daripada para wartawan?

Kian meningkat

Hisham tiada ruang di Dewan Rakyat untuk menjawab, tetapi beliau dapat berbuat sedemikian semasa sidang media harian Covid-19, pada petang hari yang sama, apabila ditanya oleh seorang wartawan.

Hisham menjawab dengan menegaskan tidak timbul soal ‘takut mati’ sambil memetik maksud sepotong ayat al-Quran, “Setiap yang hidup pasti mati”, dan istilah popular, ‘Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali’. Kata Hisham, di mana-mana pun kita semua akan mati, tanpa mengira tempat, dan sebab.

Sebenarnya, beliau telah membuat tinjauan di Sabah sewaktu PRN Sabah, malah sekembali dari sana, beliau menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah kerana ada kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Tanda komitmennya yang kuat, Hisham tetap bekerja dari rumah di sepanjang menjalani tempoh kuarantin tersebut. Beliau masih mengendalikan sidang media harian Covid-19.

Namun demikian apabila hari demi hari kes kian meningkat dari tiga angka menjadi empat, dan lima angka, sambil Hisham hanya sesekali mengadakan sidang media, kewibawaan beliau kian dipertikai/dicabar.

Sanggahan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pada 2 Ogos lalu boleh dianggap paling serius kerana ia membabitkan Parlimen, dan Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah Komunikasi PKR itu mempersoal nasihat Hisham agar Parlimen tidak dibuka semula kerana kebimbangan mengenai penularan Covid-19.

Beliau hairan mengapa nasihat serupa tidak dibuat minggu lalu berikutan laporan kunjungan ramai ahli Parlimen PN ke rumah Perdana Menteri (PM), Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Tegas Fahmi, nasihat kebimbangan Hisham tidak kedengaran apabila berpuluh wakil rakyat berulang-alik ke rumah PM di sepanjang minggu lalu, dan ramai antara mereka yang turut menghadiri Sidang Khas di Dewan Rakyat.

Adakah itu ‘kebimbangan selektif’, tanya Fahmi ketika mengulas kenyataan Hisham sehari sebelumnya bahawa penularan varian berbahaya Covid-19 mungkin berlaku jika Sidang Khas Parlimen diteruskan pada 2 Ogos.

Semakin janggal

Ada juga netizen yang mula ikut mempertikai kewibawaan Hisham. Mereka melihat Hisham semakin janggal semasa membuat keputusan mengenai kesihatan dalam negara.

Sebagai contoh, mereka turut memuat naik ‘usikan’ Dr Musa Mohd Nordin yang bertanya dalam Twitternya apakah yang Hisham menggunakan sains kesihatan awam atau sains berpolitik apabila menyimpulkan Parlimen dalam Fasa 4 PPN mencapai imuniti kelompok Parlimen selamat.

Mereka juga meramalkan Hisham bakal menjadi bahan kecaman rakyat yang seterusnya selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Mahiaddin.

Antara alasan mereka ialah apabila aktivis Mandeep Singh mempertikai kehadiran Hisham ke Parlimen pada 2 Ogos walaupun sehari sebelum itu mengatakan bangunan tersebut bahaya kerana banyak virus.

Pada 31 Julai lalu, Mahiaddin mengumumkan sidang tersebut yang seharusnya disambung sehari lagi ditangguhkan ‘ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak’.

Jelas Hisham, nasihat untuk tidak membuka kembali Parlimen dibuat kerana ada individu yang disahkan positif Covid-19 di Parlimen minggu lalu mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Tambah Hisham, warga emas di Parlimen mungkin ada faktor komorbiditi yang meningkatkan risiko jangkitan.

Mengapakah Hisham semakin berubah dan beliau kelihatan tidak lagi bebas? Adakah kerana semakin ditekan oleh para pemimpin Kerajaan PN yang berterusan mencari helah untuk terus berkuasa?

Pada 29 Julai lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Mohd Rashid Hasnon menangguhkan persidangan setelah mengesahkan empat individu didapati positif Covid-19.

Ujian saringan terhadap 1,183 individu di Parlimen mendapati 11 individu positif. Hisham memberitahu terdapat enam kes bergejala dengan kebolehjangkitan tinggi.

Mengundurkan diri

Seperti yang semua maklum, Sidang Khas Parlimen pada 29 Julai lalu kecoh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan teguran Yang di-Pertuan Agong (YdPA) mengenai tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (26 Julai lalu) memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan, tanpa kehadiran Muhyiddin.

Straits Times Singapore, dalam laporan yang memetik sumber, mendakwa ahli-ahli Parlimen yang menyokong PM mengadakan perbincangan di rumahnya, termasuk dakwaan beberapa rakan sekutu Mahiaddin menasihatinya agar mengundurkan diri.

Pejabat Perdana Menteri mempertahan keputusannya dengan mengatakan bahawa ahli Parlimen bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa YdPA perlu mengikut nasihat Kabinet.

Nasihat Hisham itu menyebabkan jalan-jalan utama ke bangunan Parlimen ditutup bagi menghalang kemasukan ahli-ahli Parlimen pembangkang pada 2 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menyiarkan gambarnya berdiri di tepi jalan bersama-sama dua ahli Parlimen lain.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Chan menulis, ‘Lockdown Parlimen?! Jalan masuk ke parlimen semuanya disekat oleh polis.’

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii pula memberitahu, sekumpulan ahli Parlimen lain berkumpul di bangunan Bank Rakyat di Bulatan Dato Onn, kira-kira 1.5 kilometer dari Parlimen.

Kata Yii, semua jalan raya disekat untuk menghalang kemasukan ahli-ahli Parlimen pembangkang. Justeru, tambahnya, mereka berkumpul di lokasi lain, dan terus berjalan.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Anwar mula berkumpul di Dataran Merdeka sebagai persediaan untuk berarak ke Parlimen setelah gagal mengadakan rundingan.

Sejak awal pagi 2 Ogos itu, beberapa trak Black Maria dilihat berada di lokasi di sekitar Parlimen. Walau bagaimanapun, itu memang perkara biasa kerana pasukan keselamatan sentiasa dijadikan benteng penguasa.

Anggota yang bertugas termasuk dari Light Strike Force, selain anggota polis biasa, dan pegawai trafik turut dilihat di sekatan jalan raya itu.

Seperkara yang menarik ialah kenyataan PDRM bahawa ia tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen mengunjungi Parlimen, tetapi halangan dibuat kerana mendapat laporan wujudnya perhimpunan yang tidak dibenarkan.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, PDRM mendapat maklumat ada perhimpunan yang disebut sebagai Solidariti Bersama Anwar Ibrahim berlangsung di Dataran Merdeka.

Semakan dengan Parlimen pula, tambah Azmi, tiada persidangan diadakan. Katanya, inilah asas tindakan PDRM.

Mengenai boleh atau tidak Ahli Parlimen ke Parlimen, Azmi mengatakan sepatutnya boleh kerana masing-masing ada pejabat di sana walaupun tiada persidangan.

Persoalannya, mengapa Sidang Khas yang sepatutnya memberi penjelasan mengenai pembatalan Ordinan Darurat tidak dibenarkan?

Oleh kerana persidangan dilarang, 107 ahli Parlimen pembangkang tiada jalan lain kecuali berhimpun di suatu tempat buat seketika dengan aman. Saya yakin perhimpunan itu spontan kerana Sidang Khas ditunda.

Kenyataan PDRM boleh dianggap aneh. Ia sama seperti tidak membunuh, tetapi membuatkannya mati.

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.