Noorul Ariffin dilantik Pengerusi Yakeb

Noorul Ariffin dilantik Pengerusi Yakeb

Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang baharu berkuatkuasa pada 8 Mac 2019 sehingga 7 Mac 2021.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui satu kenyataan hari ini.

“Saya mengharapkan pelantikan Datuk Noorul Ariffin dapat membantu perjalanan operasi Yakeb dengan lebih baik.

“Selain itu dapat membuka lebih banyak peluang penaja-penaja membantu Yakeb dan bekas-bekas atlet dengan bantuan yang bersesuaian termasuklah melaksanakan beberapa inisiatif yang diluluskan pihak kerajaan dalam membela aspek kebajikan bekas atlet negara,”katanya.

Terdahulu, Noorul Ariffin yang berusia 54 tahun merupakan ahli Yakeb sejak 2008 dan telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yakeb pada tahun 2016 sehingga kini.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Presiden Persatuan Olahraga Johor.

Tambah kenyataan itu, beliau merupakan bekas atlet olahraga negara dari 1983 hingga 1995 dimana beliau pernah menyertai acara 3000 meter lari berhalangan dan mewakili negara ke Sukan SEA pada 1989.

Beliau turut meraih pingat emas di Kejohanan Olahraga Terbuka Antarabangsa Malaysia pada tahun 1993.