Nora Anne: Pengamal perubatan Islam tawar diri bantu operasi SAR

Nora Anne: Pengamal perubatan Islam tawar diri bantu operasi SAR

Sekumpulan lima orang pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh, hari ini menawarkan diri membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin,15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban, 4 Ogos lepas.

Wakil kumpulan berkenaan, Mohd Khalid Mohamed berkata ia merupakan ikhtiar kumpulan itu yang datang dari Skudai, Johor bagi membantu mengesan remaja perempuan warga Ireland berkenaan, mengikut kaedah perubatan Islam.

“Ikhtiar yang kita lakukan bermula sejak pagi tadi tertumpu di kawasan menuruni cerun bukit dan kemudian menyusuri sungai.

“Apabila berlakunya kejadian hilang di kampung ini, ia membuatkan kami terpanggil untuk datang ke sini menawarkan diri membantu dengan menggunakan cara alternatif lain bagi mengesan remaja hilang ini. Kami berharap anak ini dapat ditemui selamat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata kumpulan berkenaan pernah menawarkan khidmat mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dikenali sebagai Acap yang hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, 23 Mac lepas.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook turut meluangkan masa selama satu jam meninjau lokasi dan mendengar taklimat operasi SAR daripada Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar, di Pantai, Seremban, hari ini.

Loke ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata beliau berbangga dengan semangat yang ditunjukkan pasukan SAR termasuk mengorbankan sambutan Hari Raya Aidiladha bagi memastikan remaja berkenaan dapat ditemui secepat mungkin.

“Kita memberi keyakinan pada pasukan keselamatan untuk meneruskan pencarian mangsa dan kita memainkan peranan untuk memberikan sumbangan makanan dan sebagainya untuk memastikan semangat dan moral pasukan keselamatan tetap tinggi, walaupun telah masuk hari kesembilan.

“Yang pentingnya kita hendak memastikan operasi SAR ini berjaya. Jadi, kita mengharapkan keputusan yang terbaik daripada operasi ini dan semoga mangsa dapat ditemui segera,” katanya.

Operasi SAR berkenaan yang memasuki hari kesembilan hari ini, membabitkan seramai 348 anggota, pasukan terbesar SAR setakat ini selain 11 orang pengamal media turut menyertai operasi SAR berkenaan.

Menurut pengamal media, kawasan yang pencarian yang dilalui mereka agak berbahaya memandangkan berdekatan dengan curam selain perlu menempuh perjalanan berbukit, batu yang licin dan tajam serta berdepan dengan gelap ekoran hutan di Gunung Berembun sangat tebal.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi hari berikutnya.– BERNAMA