Bulan Ramadan adalah waktu yang dinantikan oleh umat Islam untuk mengejar pahala berlipat kali ganda dengan melakukan pelbagai amalan termasuk Tadarus al-Quran selain berpuasa.
Peluang ini turut direbut oleh pelakon popular iaitu Nora Danish yang menyifatkan pengalaman bertadarus untuk kali pertama itu sebagai kurniaan Tuhan dan kenangan terindah dalam hidupnya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Nora meluahkan rasa syukur di atas nikmat yang dikurniakan selama 12 hari bertadarus bersama Ustaz Hafiz Kamaal dan jemaah-jemaah yang lain.
Pemilik nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif itu juga memaklumkan bahawa aktiviti bermula dari jam 10 pagi hingga 1.30 tengah hari itu turut diselitkan dengan sesi tadabbur ringkas mengenai surah yang dibaca.
“MasyaAllah, 12 hari bertadarus. Bermula dari jam 10 pagi hingga 1.30 tengah hari dan disulam dengan taddabur surah yang dibaca hari itu secara ringkas. Tidak kurang 55 muka surat dibaca dengan berganti-ganti setiap hari.
“Nikmat apakah ini? Rasa tidak mahu berhenti, tidak ingin ia pergi. Tidak mahu hilang kenangan dan perasaan ini,” katanya pelakon itu berkongsi perasaan yang dialaminya selama mengikuti aktiviti tadarus tersebut.
Pelakon berusia 42 tahun berkenaan turut memanjatkan kesyukuran kerana diberikan peluang untuk menikmati ilmu, mendapat kefahaman dan kasih sayang yang tulus dalam mendekati al-Quran di umur sedemikian.
Nora dalam nada yang penuh keinsafan juga mengakui bahawa pengalaman dirasakan sepanjang sesi tadarus itu berlangsung sebagai sesuatu yang sangat indah sehingga tidak mahu detik dilalui tersebut berakhir.
“Terima kasih Ya Allah, Ya Rabb, Ya Latiff untuk nikmat yang Kau berikan di usia ini. Untuk aku lebih menghargai, memahami dan menyayangi dengan setulus hati.” Ujarnya dalam perkongsian itu.
Baca juga: Teruk dikecam sebab watak Iman, Rosyam Nor anggap lakonan berjaya