Noraini Ahmad Pengerusi PAC yang baharu

Noraini Ahmad Pengerusi PAC yang baharu
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyerahkan Laporan Prosiding kepada Pengerusi PAC yang baharu, Datuk Dr Noraini Ahmad selepas dilantik sebagai Pengerusi PAC pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad, hari ini mengambil alih jawatan Pengerusi Jawantakuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas usul menggantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, diluluskan Dewan Rakyat.

Sehubungan perlantikan itu, Noraini berkata, beliau akan menggalas amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mencadangkan namanya untuk mengisi jawatan tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada ketua dan blok pembangkang yang mencadangkan nama saya, serta tidak lupa juga kepada ahli parlimen yang menerima usul ini sebulat suara.

“Tahniah kepada Datuk Ronald kerana sepanjang empat bulan mengetuai PAC, beliau telah menjalankan tugasan dengan baik.

“Saya harap dengan amanah yang berat ini, kita akan dapat lakukan bersama dengan bantuan dan sokongan ahli PAC yang lain,” katanya pada sidang media PAC di Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan lain, ketika mengulas cadangan Ronald mempertimbangkan cadangan beliau supaya membolehkan sidang prosiding PAC dijalankan secara siaran langsung, Noraini berkata, kementerian perlu mengambil tindakan susulan berhubung cadangan itu.

“Apabila ada cadangan susulan daripada ahli PAC kepada pihak kementerian, saya berpendapat kementerian perlu mengambil tindakan susulan dan kemudiannya perlu dibentangkan semula kepada PAC,” katanya.

Terdahulu, bekas Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mempertimbangkan cadangan beliau supaya membolehkan sidang prosiding PAC dijalankan secara langsung.