Malaysia Dateline

Noraini cuba hantar mesej Kesatuan Mahasiswa tidak relevan, dakwa PKPIM

Gerakan mahasiswa seluruh negara menggesa kerajaan menjelaskan pendirian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berhubung desakan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan itu mempersoalkan sama ada Datuk Dr Noraini Ahmad tidak mempercayai semangat autonomi mahasiswa dan kebebasan berakademik yang sewajarnya diraikan bersama.

Ini kerana kata gabungan tersebut, dengan memansuhkan AUKU, ianya dapat menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam proses merangka dasar di peringkat Universiti dan juga kementerian.

“Adakah KPT cuba menghantar satu mesej bahawa Kesatuan Mahasiswa tidak lagi relevan?

“Maka, tindakan tersebut disusuli dengan gambaran bahawa ianya (AUKU) tidak akan diteruskan untuk memperkasa mahasiswa agar lebih mandiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut, dikeluarkan bersama 27 gabungan mahasiswa seluruh negara, termasuklah Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM), dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Untuk rekod, antara universiti yang sudah menubuhkan Kesatuan Mahasiswa ialah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, gabungan itu menegaskan, mahasiswa di seluruh negara telah berhempas pulas bagi merealisasikan penubuhan Kesatuan Mahasiswa ke arah hala tuju baru selepas pemansuhan AUKU.

Menurutnya, pelbagai cadangan dan perbincangan bersama telah diadakan oleh Majlis Pimpinan Pelajar dan gerakan-gerakan mahasiswa dalam merangka solusi yang terbaik.

Justeru, mereka mempersoalkan, apakah jaminan untuk pihak kementerian, bahawa mereka akan bersedia menerima sebarang cadangan yang dibawa mahasiswa sekaligus melibatkan mereka secara langsung dalam perbincangan.