Malaysia Dateline

Noraini diminta beri penjelasan isu salah laku seks pensyarah UIAM

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad didesak untuk memberikan penjelasan berkenaan dengan isu salah laku seks yang membabitkan ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam laporan media semalam, kes salah laku seks yang membabitkan pensyarah berkenaan yang menyaman sekumpulan pensyarah dan pelajar di universiti terbabit.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam telah memutuskan sekumpulan pensyarah dan pelajar dari UIAM itu kalah dalam mempertahankan diri mereka berkenaan isu salah laku seks yang berlaku di universiti itu.

Desakan turut disuarakan oleh Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Mohd Faizul Salleh yang mendakwa kes itu akan mencemarkan nama baik universiti berkenaan.

“Isu ini bukan isu terpencil dan apa yang kita lihat adalah berkenaan dengan isi kes tersebut iaitu salah laku seks antara pelajar dan pensyarah.

“Penjelasan perlu diberi untuk mengurangkan kesan dari tanggapan orang ramai dalam isu terbabit. Kita tidak mahu ianya tergantung dan tidak terjawab.

“Perkara ini serius. Kerajaan perlu segera menangani hal terbabit dan ia tidak boleh dibiarkan,” tegasnya ketika dihubungi.

Keputusan yang tidak memihak kepada sekumpulan pensyarah dan pelajar yang diputuskan telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap pelajar di universiti terbabit.

Plaintif yang merupakan pensyarah di UIAM, Dr Afareez Abdul Razak yang menyaman sekumpulan pensyarah terbabit telah berjaya memenangi saman fitnah berkenaan.

Tambah Faizul lagi, Noraini tidak harus mendiamkan diri dan membiarkan tanggapan serta persoalan terus berlegar sehingga nama baik UIAM terus dipertikai.

“Jangan hanya sibuk mahu ber’Tik-Tok’ sahaja sehingga lupa tugas hakiki dalam memelihara nama baik IPT di negara ini.

“Pemulihan nama baik UIAM perlu diusahakan dengan memberi penjelasan kepada umum berkenaan keadaan sebenar yang berlaku,” tegasnya lagi.