Malaysia Dateline

Noraini perlu lebih sensitif isu kebajikan mahasiswa

Ekoran idea kontroversi menganjurkan pertandingan Tik Tok, Menteri Pengajian Tinggi diharap lebih sensitif menangani isu-isu melibatkan kepentingan mahasiswa.

Perkara tersebut disuarakan oleh Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil kepada Datuk Dr Noraini Ahmad menerusi satu kenyataan.

Muhammad Faiz berkata, walaupun idea itu telah ditarik balik, namun ia menunjukkan daya pemikiran menteri yang tidak sensitif dengan keadaan rakyat, terutamanya mahasiswa yang sedang melawan penularan wabak Covid-19.

“Rakyat sekali lagi tersinggung dengan cara berfikir kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila Dr Noraini menganjurkan pertandingan Tik Tok.

“Kebajikan mahasiswa perlu menjadi agenda utama kerana mereka adalah permata bangsa dan masa depan negara.

“Mereka juga adalah generasi muda yang menjadi harapan untuk memacu kemajuan negara dan kemakmuran rakyat seperti kata tokoh kemerdekaan Filipina Jose Rizal, ‘The youth is the hope for the future’,” katanya.

Muhammad Faiz yang juga Adun Permatang Pasir menambah, penganjuran pertandingan seperti Tik Tok seolah-olah merendahkan tahap intelektual golongan mahasiswa.

Katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, sesi pengajian sedang berjalan di universiti dan juga kolej.

“Namun susulan PKP ini, ada mahasiswa terperangkap di kampus yang juga sudah sekian lama tidak berjumpa dengan keluarga, malahan ada yang terperap di rumah.

“Mereka tidak dapat meneruskan pengajian seperti biasa. Dalam tempoh PKP ini, beberapa universiti dan kolej telah melakukan inisiatif dengan menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara atas talian.

“Bagaimana pula dengan universiti atau kolej yang tidak melaksanakan inisiatif ini? Lebih teruk lagi bagi pelajar di luar bandar yang tidak mempunyai akses internet yang sempurna,” ujarnya lagi.

Muhammad Faiz yang sememangnya cakna kepada golongan anak muda, turut sama menyelami isi hati mereka.

Beliau berkata, golongan mahasiswa juga ingin mengetahui hala tuju pembelajaran mereka selepas tamat tempoh PKP, sama ada masih sama seperti sebelumnya.

Katanya, pasca PKP sudah pasti tidak sama seperti sebelumnya, malahan universiti serta kampus perlu dipastikan selamat dan bebas daripada wabak Covid-19.

“Kementerian perlu menyediakan langkah-langkah terbaik bagi memastikan sekiranya universiti dan kampus dibuka semula selepas PKP, mahasiswa dapat mengikuti pembelajaran dengan selamat.

“Ini belum lagi persoalan-persoalan yang masih membelenggu pemikiran mahasiswa ekoran wabak ini seperti isu yuran, praktikal, peperiksaan, pinjaman pendidikan terutamanya PTPTN yang masih kabur sehingga hari ini,” katanya lagi.