Malaysia Dateline

Norma baharu: JKM diseru latih lebih ramai suri rumah jadi pengasuh dari rumah

Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) menyeru Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melatih lebih ramai suri rumah menjadi pengasuh dari rumah sebagai persediaan menghadapi norma baharu.

Pengerusinya, Nurul Huda Ahmad Nawawi berkata, langkah ini dilihat perlu sebagai alternatif kepada taska komuniti bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit khusunya wabak Covid-19.

Katanya, Perdana Menteri pada 1 Mei telah mengumumkan pelan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai langkah menjamin kestabilan ekonomi.

Namun kata beliau, isu penjagaan anak dilihat kurang mendapat perincian lanjut di mana ianya telah menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang harus kembali bekerja.

“Garis panduan pengoperasian taska yang dikeluarkan dilihat mustahil untuk dilaksanakan atas faktor keluasan premis dan fitrah kanak-kanak.

“Langkah ini sangat bertepatan dengan beberapa komponen Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu komponen 1, 3 dan 4.

“Ianya dapat memberi nilai tambah kepada golongan suri rumah dengan menyumbang kepada ekonomi keluarga terutamanya golongan B40.” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, faedah terbesar akan dapat diperolehi oleh ibu bapa apabila anak-anak diletakkan dalam jagaan selamat dan kurang berisiko ketika keluar bekerja.

Justeru ujarnya, SRR ingin menyarankan kepada JKM beberapa cadangan seperti berikut:

1. Membuka peluang kepada suri rumah menjadi pengasuh taska rumah yang berdaftar.

2. Melatih suri rumah di bawah Kursus Asuhan PERMATA (KAP) di bawah kendalian JKM.

3. Menurunkan yuran KAP sebanyak 50% agar menjadi mampu milik untuk golongan suri rumah.

4. Mengeluarkan syarat dan panduan kelayakan yang jelas bagi mengikuti program.

Katanya lagi, SRR sekali lagi menyeru JKM untuk mengambil serius cadangan murni ini kerana pendidikan anak kecil tidak harus dikesampingkan untuk melahirkan generasi pewaris yang berjiwa besar.

“Usaha ini juga seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan golongan wanita yang lebih berdaya saing di dalam sektor pekerjaan yang sesuai dengan fitrah suri rumah,” kata beliau.