Malaysia Dateline

‘Norma baharu’ kerajaan PN tidak mesra demokrasi, kata MP Lembah Pantai

Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyifatkan Perikatan Nasional sebuah kerajaan yang tidak mesra demokrasi apabila bertindak memendekkan waktu pertanyaan dan tiada lagi soalan tambahan di sidang Dewan Rakyat mulai esok.

Menurut Fahmi, kerajaan sudah banyak berbelanja untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dengan membuat penghadang, sanitasi serta ujian saringan dua minggu sekali bagi semua ahli parlimen yang hadir ke parlimen.

Bagaimanapun, beliau kecewa bukan sahaja masa persidangan dipendekkan bahkan sesi soalan tambahan juga tidak dibenarkan.

“Kita dah belanja banyak untuk buat penghadang, sanitasi dan ujian saringan dua minggu sekali bagi semua yang hadir sidang Parlimen.

“Tapi masa bersidang dipendekkan, soalan tambahan dipotong.

“Inilah pemikiran “norma baharu” kerajaan yang tidak mesra demokrasi,” tweet beliau.

Terdahulu, mulai esok, menteri akan kembali menjawab soalan secara lisan, tetapi tanpa soalan tambahan bagi sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dan Khamis, persidangan Dewan Rakyat.

Usul mengenai perkara itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini, dan usul itu kemudian diluluskan.

Pada 5 November, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memutuskan jawapan menteri untuk sesi itu akan diberi secara bertulis dan dimuat naik ke laman web Parlimen selepas Persidangan Dewan Rakyat dipendekkan dari jam 10 pagi hingga 2 petang untuk mengehadkan risiko jangkitan koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, sesi pertanyaan-pertanyaan menteri yang berlangsung selama lima minit mulai 10 pagi, ahli-ahli Parlimen akan membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawabnya.