Malaysia Dateline

Norma Baru: Pencuri diagungkan jika dia adalah ‘bos’, kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penilaian rakyat Malaysia sudah berubah terhadap individu yang digelar ‘pencuri’.

Beliau berkata, norma baharu ketika ini bukan sahaja mengubah cara hidup orang ramai, bahkan seorang pencuri juga sudah boleh diterima sekiranya dia adalah ‘bos’.

Katanya, berbanding dengan norma lama, pencuri tidak layak menjadi pemimpin kerajaan Melayu Islam, malah kerajaan bukan Islam juga tidak menerima pencuri untuk memimpin.

“Sekarang penilaian kita terhadap pencurian sudah berubah. Jika pencuri menjadi pengetua kita, kerana dia bos kita, pencurian olehnya boleh diterima.

“Kita tidak perlu malu jika bos kita mencuri. Kita laungkan slogan, ‘Malu apa. Dia Bos kita’. Ini sudah jadi norma baru kita.

“Lagi pun dia tidak curi duit kita. Dan dia bagi sedikit kepada kita. Orang yang pegang kepada norma lama tidak bagi duit kepada kita,” katanya dalam satu catatan terbaharu blognya hari ini.

Pada masa sama, ahli Parlimen Langkawi itu berkata, teori menerima pencuri berada di dalam kerajaan semakin diterima asalkan pencuri itu adalah Melayu.

Tambahnya, orang bukan Melayu juga tetap dianggap salah walaupun mereka baik, tidak mencuri, dan bersopan santun.

Sindirnya, Melayu yang baik juga tidak akan dianggap baik sekiranya tidak ‘menghulur’.

“Dengan menerap norma-norma ini kegagalan akan dianggap sebagai kejayaan. Maka bertuahlah masyarakat norma baru.

“Sebab itu kita terpaksa gantikan Kerajaan pilihan rakyat dengan Kerajaan pintu belakang,” katanya.