Malaysia Dateline

“Normal ke masih bergaji RM450? – Belenggu guru taska dibayar gaji terlalu rendah

Isu pekerja taska yang dibelenggu dengan masala gaji rendah bukanla satu isu baharu. Bahkan sebelum ini banyak luahan guru-guru taska yang mengadu mereka hanya dibayar gaji antara RM900 hingga RM1,200 sebulan biarpun bebanan kerja banyak ditambah dengan tempoh bekerja yang panjang.

Namun amat memeranjatkan apabila masih ada yang mendakwa dia dibayar serendah RM450 sebulan sebagai guru taska.

Menerusi satu tangkap layar luahan seorang guru taska yang dikongsikan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya, guru berkenaan tertanya adakah normal sekiranya dia hanya dibayar gaji RM450 sebulan dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.

Difahamkan, guru berkenaan bekerja sebagai seorang guru di sebuah tadika islamik yang tidak dimaklumkan lokasi taska berkenaan.

“Assalammualaikum tuan. Saya mahu bertanya. Normal ke masih bergaji RM450 sebulan dalam ekonomi yang meningkat sekarang ni? Saya bekerja sebagai seorang guru di sebuah ‘tadika Islamic’ yang saya tak nak sebut namanya,” luahnya.

Fedtri dalam respon ringkas berkata “tak dapat dibayangkan” apabila membaca persoalan guru tadika tersebut yang bergaji hanya RM450.

Pada masa sama, beliau turut menyertakan luahan dari guru taska lain yang turut mendakwa mereka hanya dibayar sekitar RM450 dan bekerja selama 11 jam dari 7 pagi hingga 6 petang.

Ada juga yang meluahkan dia dibayar RM500 sebagai pembantu tadika kemas.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata menyatakan rasa terkejut dan ada yang menyarankan individu tersebut untuk membuat aduan di pejabat buruh kerana ia sudah dianggap satu penindasan.

Baca juga: Kaji cara baru tangani isu rumah tidak terjual dan kekurangan rumah mampu milik

Baca juga: Subsidi minyak dipotong, projek mega RM900 juta pula diteruskan