Malaysia Dateline

Normalisasi negara haram agenda licik perkukuh rejim Zionis Israel

Agenda normalisasi Zionis Israel hakikatnya adalah agenda halus, sulit dan licik ke arah memperkukuhkan kedudukan rejim negara haram tersebut, tegas Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ketua AWAN, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, agenda normalisasi Israel juga sekali gus percubaan mereka untuk mendapatkan pengiktirafan daripada dunia Islam terhadap kedaulatan entiti haram Zionis Israel sama ada di peringkat serantau mahu pun antarabangsa.

“Bersetuju dan bersekongkol menjayakan agenda halus mereka, samalah seperti kita memberikan jaminan keselamatan terhadap penjajah dan penjenayah kejam ini untuk mereka memperluaskan kuasa penjajahan bentuk baharu ke atas negara-negara dan umat Islam melalui strategi ekonomi dan diplomasi politik,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyokong pendirian tegas Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) yang telah mengharamkan sebarang bentuk kerjasama, perjanjian perdagangan dan normalisasi bersama pembunuh rakyat Palestin dan perampas Masjidil Aqsa iaitu negara haram Zionis Israel.

Menurutnya, apa sahaja yang dinamakan perjanjian damai, persepakatan, ‘deal of century’ dan normalisasi bersama negara haram Zionis Israel adalah jenayah besar.

Jenayah besar itu, jelasnya, mencakupi jenayah terhadap hak-hak Allah dan Rasul-Nya, jenayah terhadap hak bumi dan rakyat Palestin, jenayah terhadap hak umat dan hak para syuhada sepanjang sejarah sejak zaman Umar Al-Khattab yang bertanggungjawab membukanya, zaman pembebasan Masjidil Aqsa oleh Solahudin Al-Ayubi dan terhadap setiap kebangkitan (intifada) rakyat Palestin dan ummah Islamiah sepanjang zaman.

“Bumi Palestin adalah hak milik orang Palestin dan umat Islam semenjak ribuan tahun terdahulu.

“Sehinggalah tiba ke zaman penjajahan British yang bertanggungjawab membawa masuk pendatang-pendatang Zionis Yahudi yang akhirnya membawa malapetaka besar (an nakbah) terhadap penduduk asal Palestin, di mana puluhan bahkan ratusan ribu mereka dibunuh, ratusan kampung dan bandar mereka dibakar, rumah-rumah dan tanah mereka dirampas, dan sehingga kini kurang lebih enam juta rakyat Palestin menjadi pelarian perang,” jelasnya.

Untuk rekod, pertempuran 11 hari menyaksikan serangan udara Israel di Semenanjung Gaza menelan korban seramai 253 orang sebelum gencatan senjata dengan pejuang Hamas diumumkan 21 Mei lalu.

Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan jumlah penduduk Palestin terbunuh itu termasuk 66 kanak-kanak, 39 wanita dan 17 orang tua, manakala 1,948 cedera, termasuk 20 kritikal.

Keganasan di Gaza tercetus akibat tindakan Israel di Baitulmaqdis Timur, pertempuran antara polis dan jemaah di Masjid al-Aqsa dan keputusan mengusir keluarga Palestin di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di kota tersebut.

Jet pejuang Israel kemudiannya kembali melancarkan beberapa siri serangan udara semalaman ke atas Semenanjung Gaza pada awal 16 Jun lalu.

Siri pengeboman yang menyasarkan sebuah bangunan pentadbiran awam di sebelah timur Jabaliya di utara selain ladang pertanian di sebelah timur bandar Khan Younis itu berlaku ketika kerajaan haram Israel yang baharu, Naftali Bennett baharu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Athirah berkata, segala kekejaman Zionis Israel adalah hasil daripada pengkhianatan kuasa-kuasa besar dunia ke atas rakyat Palestin melalui pelbagai perjanjian sulit, halus dan licik.

“Ia sesungguhnya telah merampas kedaulatan tanah air Palestin dan menghancurkan kehidupan penduduk Palestin sehinggalah ke hari ini.

“Dunia dan umat Islam khususnya wajib mengambil iktibar daripada sejarah pengkhianatan yang panjang ini.

“Hentikan kezaliman dan pengkhianatan ke atas rakyat Palestin, Masjidil Aqsa dan Al Quds,” tegas Ahli Dewan Negara itu lagi.