Nostalgia isu RM13.85juta wang zakat Melaka kembali menggegar

Nostalgia isu RM13.85juta wang zakat Melaka kembali menggegar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekarang ini riuh pasal wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang didakwa digunakan pada tempat  yang sepatutnya.

Seorang anak muda Akmal Nasir yang juga merupakan Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW) yang juga merupakan Pengarah Strategi AMK memberanikan diri membuat dakwaan ini ke atas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Agama iaitu Jamil Khir Baharom. Akmal Nasir didesak menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf kepada Jamil Khir.

Namun sehingga hari ini beliau enggan menarik balik tuduhan tersebut walaupun ia bakal disaman oleh orang kuat agama Umno ini. Namun bagi orang Melaka, kami masih lagi ingat kepada pendedahan pembangkang tentang penggunaan wang zakat berjumlah RM13.85 juta yang didakwa digunakan pada tempat yang tidak sepatutnya.

Jamil Khir khabarnya akan meneruskan tindakan undang-undang ke atas Akmal Nasir.

Sehingga kini isu ini tidak dijawab dengan meyakinkan oleh pihak yang terlibat. Kita harap rakyat masih ingat tentang isu ini. Malah ianya juga isu yang sepatutnya menyentuh sensitiviti umat Islam di Melaka dan Malaysia kerana ianya membabitkan wang zakat. 

Dalam Sidang Parlimen sedang berlangsung sekarang pun, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, iaitu timbalan kepada Jamil Khir iaitu Ashraf Wajdi ketika menjawab isu ini pun gagal meyakinkan kita. Jawapannya jelas berbelit-belit dan mengelirukan.

Isu YaPEIM ini mengingatkan kita kepada isu zakat pernah menggegarkan Melaka sekitar tahun 2011 dahulu. Baru-baru ini Pengerusi Parti AMANAH Negara, Negeri Melaka, Adly Zahari dalam FB peribadi bertanya kepada rakyat Melaka apakah mereka masih ingat tentang isu wang zakat RM13.85 juta?.

Adly pernah membuat laporan kepada SPRM Melaka pada 1 Mac 2011 tentang isu ini. Namun sehingga ke hari ini tiada apa-apa berita berkaitan dengannya. 

Beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka dipanggil untuk memberi keterangan selama kira-kira tiga jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut.

Dalam kenyataan media ketika itu beliau berkata segala bukti penggunaan wang zakat sebanyak RM13.85 juta untuk membina bangunan MAIM dan penyerahan hak milik tanah Maim kepada satu syarikat walaupun tempoh perjanjian telah tamat telah diserahkan kepada SPRM. Ianya termasuk bukti penjualan tanah lot 105 dan 106 kepada pihak ketiga oleh syarikat berkenaan dan mengapa Maim masih tidak mengambil tindakan terhadap syarikat itu kerana secara jelas kontraktor berkenaan tidak melaksanakan projeknya.

Menurutnya, SPRM telah berjanji akan menyiasat secara telus dakwaan itu. Namun sehingga kini semuanya hampa. Sunyi tanpa berita. Isu ini hangat dibangkitkan semasa kempen Pilihanraya Kecil Dun Merlimau dan PRU ke 13 lalu. Moga rakyat Melaka tidak lupa isu ini. Kita mengharapkan SPRM membuat laporan terperinci tentang kes ini kepada rakyat Melaka.

Sebagai umat Islam sudah tentu kita berasa sedih dan hairan bagaimana amanah orang ramai yang mendermakan wang ringgit dan membayar zakat mereka disia-siakan oleh pemegang amanah jika benar berlakunya penyelewengan.

Sanggupkah mereka-mereka yang terlibat ini menggunakan wang amanah ini digunakan kepada tempat yang tidak sepatutnya? Sebab itulah kita mengharapkan pihak yang berwajib menjalankan siasatan terperinci, telus dan saksama demi mengembalikan semula keyakinan orang ramai kepada institusi Islam yang amat berjasa ini.

Rakyat khususnya umat Islam berhak mendapat jawapan yang telus tentang isu YaPEIM dan isu zakat negeri Melaka ini.

TAGS