Nota 9 Mei yang tertangguh, Revolusi Tanpa Darah

Nota 9 Mei yang tertangguh, Revolusi Tanpa Darah

Sejak tarikh keramat PRU14, 9 Mei 2018, saya seperti kehilangan kata-kata. Bukan disebabkan begitu teruja atau terkejut dengan keputusan rakyat yang menghukum regim 61 tahun Umno, tetapi keuzuran berpanjangan menghalang saya untuk turut memberi respons terhadap peristiwa penuh bersejarah itu.

Selain kualiti penglihatan yang merosot teruk, rutin tiga kali seminggu dialisis juga cukup melesukan. Hampir tiga tahun saya tidak lagi membaca akhbar edisi cetak. Dalam tempoh hampir sama juga saya meninggalkan kelaziman menonton berita TV jam 8 malam. Saya membeli buku terakhir lebih dua tahun lalu, dan balutan plastiknya masih belum dibuka hingga kini. Dalam tempoh itu saya berjaya menyiapkan dua buku politik, tentang Parti Amanah Negara dan faktor Dr Mahathir Mohamad menjelang PRU14. Pastinya ramai sukar percaya bahawz buku-buku terbitan Februari 2018 dan April tahun sama itu, belum lagi mampu saya baca naskhahnya kecuali dalam bentuk PDF.

Dua minggu lepas, ketika menemani isteri di sebuah pasaraya, dekat Kampung Pandan — sebenarnya saya cuba menguatkan otot-otot kaki dengan latihan berjalan ekoran terlalu lama di pembaringan — saya terdorong untuk membeli akhbar mingguan The Edge. Membaca tajuknya, saya kira ada laporan menarik tentang cerita kemerdekaan di bawah Malaysia Baharu. Liputan sosio-politik akhbar perniagaan ini memang sentiasa menggamit perhatian saya, terutama sudut pandang para kolumnisnya yang memikat.

Malangnya, saiz teks artikel terlalu kecil untuk masalah pendarahan di mata saya yang berlanjutan sekian lama. Sekadar membaca tajuk dan mencuba memaksa penglihatan yang kabur; akhirnya menyerah kalah disebabkan penat dan pedih. Saya bimbang naskhah akhbar itu sudah digunakan oleh isteri untuk tujuan lain, mungkin membantu proses pembikinan menyiapkan tempahan kueh-mueh yang diterimanya!

Dikepung kemampuan yang terbatas ini, saya cuba juga menyusun buku tentang PRU14 dan sedikit singgungan mengenai langkah pembaharuan kerajaan, menghimpunkan rakaman pengalaman teman-teman penulis, namun ia kerap tertangguh, juga berpunca daripada keuzuran dan kelesuan. Proses penyuntingan gagal dibereskan walaupun ramai teman sudah mengirimkan sumbangan idea. Fikiran selalu buntu dan tambah sakit apabila cuba digagahi juga. Seringkali kemalasan turut menghimpit, apatah lagi stamina saya untuk menekuni detik-detik perubahan yang pantas mudah pula pudar.

Memang agak terkilan apabila hasrat terpendam sekian lama, untuk melihat kerajaan bertukar tidak dapat diraikan, sekurang-kurangnya dengan mencatat dan menganalisis. Saya mengikuti pilihan raya dari dekat sejak 1978 dan menempuh beberapa kali proses pemilihan yang kritikal, seperti PRU1990, diikuti 1999, 2008 dan 2013. Pada setiap pilihan raya itu, harapan dan impian untuk menukar kerajaan dan merombak sistem kuasa sentiasa berkobar-kobar. Walaupun Umno-BN kekal berkuku, tetapi sokongan buat pembangkang makin meningkat.

Tentunya 2018 mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri. Ibarat acara larian berganti-ganti, ia adalah pecutan ke garis penamat. Dan Dr Mahathir terpilih sebagai pelari terakhir yang membantu kumpulannya mengungguli kemenangan penuh bergaya. Team ini, bagi saya, sudah bermula sejak 1990 lagi, dengan pelari-pelarinya, antara lain, Tengku Razaleigh Hamzah, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Ismail, Lim Kit Siang, dan disudahi Mahathir.

Buku yang saya ingin hasilkan itu sudah ada judulnya, Revolusi Tanpa Darah. Sejak berdekad lamanya — terutama selepas kemenangan Revolusi Iran 1979 yang menyaksikan kebangkitan rakyat dengan tangan kosong menghalau sang raja zalim yang berpaut dengan imperialis kuasa besar — saya cukup tertarik dengan ungkapan revolusi. Namun selalunya proses revolusi, atau pertukaran regim melibatkan perubahan mendasar sistem dan struktur ini memakan korban besar, termasuk nyawa orang tidak berdosa. Berbeda dengan revolusi 9 Mei, tiada darah yang ditumpahkan. Memang cucuran air mata menyambutnya tetapi ia petanda kesyukuran tidak terhingga. Justeru, kemenangan rakyat ini harus dirakam dan sudah tentu dirayakan, tanda kegembiraan, kepuasan dan kesyukuran yang begitu melegakan.

Ada rakan-rakan penulis yang menegur, selepas lebih 120 hari, kita patut memberi fokus kepada usaha dan langkah mengisi kemenangan, bukan lagi masih ghairah dan terpukau dengan nostalgia meruntuhkan regim lama. Rakyat kini mendambakan perubahan bagi menambahbaik kehidupan mereka dan menunaikan janji manifesto. Pakatan Harapan perlu dipantau dan ditegur kerana mengengkari komitmen mereka sendiri demi membentuk Malaysia yang lebih adil, telus, demokratik, berkebajikan, akauntabiliti, antirasuah, menjunjung kepentingan rakyat, menghormati pemisahan kuasa.

Saya menjawab, sekurang-kurangnya untuk saya seorang, saya belum terasa puas untuk menghirup udara lebih segar dan mencicip kemanisan pasca 9 Mei. Impian 40 tahun yang tiba-tiba menjelma di awal pagi 10 Mei, cukup menyenangkan dan terasa lega selega-leganya. Umpama ayam yang dibuka ikatan kedua-dua kakinya. Andai saya seorang pembikin filem, akan saya rakamkan debaran revolusi 9 Mei itu ke layar perak. Jika saya pelukis berbakat, akan saya lakarkan keindahan pagi 10 Mei itu ke kanvas. Kalau saya penulis novel, warna-warni sepanjang perpecahan dalaman Umno, pengkhianatan Najjb Razak, pembentukan pakatan pembangkang baru, pelangi kempen PRU14, dan 1001 ragam serta adegan yang lucu-mengejutkan, akan saya susun segalanya dalam sebuah hikayat perakam sejarah.

Kicauan burung Subuh Khamis, 10 Mei yang diisytihar cuti bersambung Jumaat itu, dari atas pokok yang tinggi dan rendang di simpang tiga depan rumah, masih harmonis di ingatan saya. Seolah-olah saya baru pertama kali mendengar irama indah unggas itu sedangkan setiap pagi ia memeriahkan sinaran awal matahari yang berbalam.

Pagi 10 Mei itu — walaupun upacara angkat sumpah perdana menteri baru belum dapat dilaksanakan — terasa amat indah pancaran mentarinya, hembusan angin mendamaikan, dan dada yang berkecamuk sebelumnya menjadi lapang. Menatap dakwat kekal yang semakin menghitam di hujung kuku juga menimbulkan seribu kepuasan. Seharian itu asyik tersenyum simpul meskipun di kala keseorangan. Ya Allah, syukur setingginya atas nikmat-Mu tidak terhingga ini. Bebas, lapang, lega.

Ia tambah indah menawan apabila kemenangan itu datang tanpa diduga, termasuk oleh bekas perdana menteri, Najib Razak. Justeru, memungkinkan proses peralihan kuasa secara aman, licin dan terhindar daripada elemen sabotaj. Kebimbangan meletusnya huru-hara, demonstrasi kacau-bilau, pentadbiran negara tergugat, tidak berlaku. Ada menyifatkannya sebagai revolusi elektrol, gempa bumi politik, dan tsunami rakyat. Maknanya, sesuatu yang luar biasa dan di luar jangka berjalan secara baik.

Kesimpulannya, saya bertekad menyudahi juga proses tertangguh merakam kemanisan pengalaman bersejarah itu, melalui buku Revolusi Tanpa Darah, insya-Allah. Kolum Catatan Hujung ini juga akan dihidupkan semula. Tapi saya masih terasa untuk terus menghayati episod indah kemenangan 9 Mei, walaupun mungkin lebih ramai yang mahu fokus kepada agenda mengisi kemenangan. Biar saya digelar ketinggalan keretapi atau leka dengan kenangan semalam!

Ya, saya yakin, ia tidak akan usang dan lapuk walaupun selepas 150 hari berlalu. Memang cabaran baru pastinya lebih getir dan perit, dengan tanggungjawab memenuhi mandat besat rakyat, tetapi maafkan saya jika masih terpegun dengan kisah semalam penuh kemilau warna-warni itu.