Pembangkang digesa bersatu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan jangan membiarkan Umno BN merosakkan semula negara.
Sejak langkah Sheraton berlaku pembangkang terutama menjadi lebih kusut dan tiada hala tuju jelas. Parti-parti baru tumbuh bagai cendawan dengan harapan untuk mengisi parti pembangkang yang sedia ada.
Namun, setelah PRN Melaka dan terakhir PRN Johor telah menyaksikan bahawa parti-parti baru yang yang bertanding ternyata sangat mengecewakan sehingga banyak yang telah deposit pertaruhan dalam pilihanraya kecuali Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Menoleh sejenak kepada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN Sabah) yang mana parti memerintah ketika itu adalah Warisan. Atas percaturan yang tidak mengambil kira kekuatan pembangkang, Barisan Nasional (BN) dan Periktan Nasional (PN) maka Warisan telah tidak dapat pertahankan Kerajaan Negeri Sabah yang mereka telah perintah.
Apa yang jelas, BN sangat kecewa apabila 23 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN telah menyertai Bersatu (tinggal hanya 2 Adun), tetapi dapat melupakan kecewaan mereka sebentar, bergabung bersama PN melawan Warisan bagi membentuk kerajaan negeri Sabah baru.
Sehingga kini ternyata mereka masih hidup dalam kepura-puraan apabila UMNO tidak masuk menyertai menjadi ahli GRS bagi membentuk kerajaan yang lebih mantap.
Selanjutnya PRN Melaka menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Pakatan Harapan (PH), BN dan rakan sekedudukannya PN (kerajaan persekutuan bersama). Inilah satu kepelikan dalam sejarah politik Malaysia. Realiti yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Sebuah kerajaan bersama di peringkat persekutuan tetapi berlawan di peringkat negeri. Akhirnya BN menang dengan cemerlang apabila undi pembangkang terpecah dua di antara PH dan PN walaupun kemenangan BN hanya sekitar 40% daripada jumlah keseluruhan jumlah undi.
Bagi PRN Sarawak, terdapat sedikit kelainan apabila parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan sekutunya telah membuat keputusan untuk keluar daripada gabungan BN setelah kegagalan BN pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) lalu.
Empat parti bersama PBB telah bergabung dan membentuk gabungan baru Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan logo dan misi yang tersendiri yang terkeluar daripada ikatan BN.
Dalam PRN Sarawak, BN dan PN ambil keputusan untuk tidak terlibat dalam pilihanraya. Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku parti lama bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) telah bertanding sebagai angkatan PH di bawah logo parti masing-masing.
Dalam masa yang sama muncul parti-parti baru, umpama Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan beberapa parti kecil lain. PH bertanding sebanya 62 kerusi dengan membiarkan sebanyak 20 kerusi untuk di ambil oleh parti-parti lain. PSB bertanding 70 dan PBK 73.
Ternyata terdapat perpecahan di kalangan pembangkang dan akhirnya pembangkang hanya mampu menang 6 kerusi iaitu melalui PH sebanyak 2 kerusi dan PSB sebanyak 4 kerusi.
Dalam PRN Johor 2 minggu lepas, ternyata keghairahan parti-parti baru untuk bertanding dengan anggapan bahawa sudah tiba masanya rakyat beralih angin daripada parti-parti lama yang berantakan kepada memilih parti baru sebagai alternatif bagi membentuk kerajaan baru.
Malang sekali, anggapan ini amat meleset dengan kesemua parti baru tidak mendapati undi untuk pertahankan wang pertaruhan mereka kecuali MUDA. Namun PH, PKR dan PN tetap memberi saingan yang kuat kepada BN.
Walaubagaimanapun, akibat perpecahan undi yang didapati pembangkang tetap kalah dengan 40 kerusi daripada 56 kerusi. Apa yang pembangkang dapat hanya 16 kerusi dengan PH, PKR dan MUDA 13, PN 3.
Ternyata perpecahan ini membawa kegagalan kepada pembangkang walaupun BN hanya meraih sekitar 40% undi popular.
PRN Johor merupakan pilihan raya yang paling pelik, BN dan PN bukan sahaja sebagai kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan di peringkat negeri juga bertanding melawan di antara mereka berdua.
Berbeza dengan PH yang tidak mempunyai kekuatan kerajaan pusat dan negeri, BN dan PN masing-masing menggunakan jentera pusat dan negeri di bawah kementerian untuk mengisi ruang kempen. Namun, oleh kerana PN adalah pembangkang dan berebut undi dengan PH dan parti-parti kecil lainnya maka PN juga mengalami kekalahan.
Episod PRN Johor ini, sudah cukup untuk menginsafkan pembangkang, bahawa mereka tidak dapat memenangi dan menawan undi para pengundi, disebabkan perpecahan yang berlaku.
Umno-BN merasakan satu kekuatan baru, apabila berjaya berkongsi kuasa dengan PN di Sabah telah meninggalkan Pas sebagai rakan Muafakat Nasional (MN) di Melaka dan berlagak lagi sombong dalam PRN Johor.
Beraaskan kemenangan yang cukup bergaya, menguasai 40 kerusi daripada 56 kerusi. Umno-BN kelihatannya begitu angkuh. Pada mereka “menang tetap menang,” pembangkang yang kalah adalah tetap kalah, walau apa alasan sekali pun, meski pun peratusan keluar mengundi hanya sekitar 56% sahaja.
Suara mereka amat lantang sekali, dimulai dengan ucapan Perasmian oleh Timbalan Presiden di perhimpunan Pemuda dan Wanita Umno. Beliau mendabik dada mendakwa Umno telah mendapat kepercayaan rakyat dan seterusnya mendesak dan mengajak anak muda dan wanita Umno untuk menerima saranannya supaya Parlimen dibubarkan dan PRU 15 dipercepatkan.
Begitu juga reaksi Presiden Umno yang begitu lantang mengkritik pembangkang di atas kejayaan Umno menerajui negara melalui Ismail Sabri selaku Naib Presiden Umno. Zahid telah mengimbau sejarah kekalahan Umno pada PRU14 dan pada perhimpunan agong Umno 2018 beliu telah meletakkan tekad, bahawa Umno akan kembali berkuasa sebelum PRU 15 tanpa menyedari bahawa Umno-BN hanya ada 42 kerusi sahaja.
Beliau telah menghamburkan kritikan satu persatu, dimulai dengan kerajaan PH yang dianggap sebagai kerajaan gagal 22 bulan. Beliau mengkritik pentadbiran Tun yang dikatakan telah mengambil Ketua Pengarah SPRM baru dan Peguam Negara baru untuk mendakwa dirinya dan Najib atas dasar politik.
Zahid terus membelasah Mahiaddin Yassin dan Azmin Ali, sebagai pengkhianat yang sanggup mengkucar-kacirkan real politik sehingga tumbangnya kerajaan PH. Bagi Zahid Hamidi, hanya Umno yang dapat untuk membantu memulihkan negara daripada situasi yang kucar kacir ini. (hebatnya helah politik Umno).
Beliau membelasah Pas kerana tidak setia dengan perjanjian Muafakat Nasional (MN). Akhirnya, beliau juga mengajak para perwakilan Umno untuk menerima saranan bagi mengadakan PRU 15, lebih awal sebelum pemilihan umno yang dijangka pada bulan Disember nanti.
Namun pada peringkat bahagian, pemilihan akan bermula sekitar Jun nanti. Ini bereti PRU 15 mesti berlangsung sebelum bulan Jun 2020.
Pada kesimpulan Zahid Hamidi, kesemua 187 bahagian Umno telah bersetuju agar pemilihan parti dilaksanakan selepas PRU 15. Keadaan ini tentunya menjadikan dirinya lebih selesa untuk bertanding dan seterus menerajui Umno.
Sifir politik Zahid Hamidi, sekiranya BN menang besar dalam PRU15, maka beliau pastinya akan diangkat sebagai Perdana Menteri (PM), maka segala kes-kes mahkamah yang berkaitan dengan diri akan mudah untuk diselesaikan, padanya beliau akan berada dalam situasi sifar kes. Kuasa yang ada tentunya lebih mudah untuk membebaskan dirinya.
Wahai ketua-ketua parti pembangkang, memang terdapat perkara besar yang sememangnya boleh menghiris dan melukakan hati anda. Persoalannya, pada PRU 14 dahulu anda semua telah bersatu untuk menjatuhkan Umno-BN semata-mata dengan satu matlamat menyekat kemaraan dan kesombongan kerajaan Kleptokrasi.
Tun Mahathir yang telah berusia 93 tahun pada ketika itu, sanggup kembali ke pantas politik untuk melawan kerajaan Kleptokrasi. Malah Tun yang mempunyai sejarah hitam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sanggup merendahkan diri untuk ke mahkamah bertemu DSAI bagi membentuk pakatan untuk melawan Kerajaan Kleptokrasi.
Masih ada yang membicarakan soal pengkhianatan dalam langkah Sheraton l sehingga kini. Ada yang mengatakan selagi Mahiaddin Yassin dan Azmin Ali masih wujud dalam senario politik, maka tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk memperkukuhkan pembangkang.
Kalau inilah pandangan yang masih ada, nescaya Umno-BN akan terus berpeluang untuk menjadi parti pemerintah, walau hanya dengan memperolehi 42 kerusi dan akan mengetuai PRU15 dengan segala jentera yang akan dipergunakan untuk menjadikan mereka lebih kuat dan cemerlang dalam PRU 15.
Segala impian anda untuk hapus kerajan kloptokrasi hanya tinggal angan-angan dan malah kerajaan Kleptokrasi di bawah pentadbiran Zahid dan Najib akan lebih berkuasa lagi dengan mengaut segala kekayaan yang ada.
Ayoh wahai Ketua-ketua parti pembangkang, berhenti daripada melebarkan permusuhan, sebaliknya bersatulah untuk tumbangkan Umno-BN. Umno-BN hanya berkedudukan 42 kerusi. Bersamalah menggembleng blok pembangkang dan katakanlah ‘sayonara kepada Ismail Sabri’ sebagai mana Ketua Puteri Umno menyebut ini kepada PAS.
“Good Bye, selamat tinggal Pas.” Anda semua bersatulah untuk saat ini, jangan dibiarkan negara ditadbir
oleh Umno-BN yang akan meneruskan tradisi mengaut kekayaan untuk mereka.
Baca juga: