Malaysia Dateline

Nota diplomatik kepada Indonesia, sekat Ijtima Tabligh di Sulawesi

Pemuda AMANAH Nasional menyarankan agar kerajaan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Indonesia berhubung perhimpunan ‘Ijtima’ Dunia 2020 Zon Asia’, di Gowa, Sulawesi Selatan.

Ahmad Zubair

Naib Ketua Pemudanya, Ahmad Zubair Abd Rahim, berkata, Indonesia perlu diperjelaskan tentang akibat buruk perhimpunan tersebut dalam keadaan dunia berhadapan ancaman penularan virus Covid-19 yang boleh meningkatkan lagi kadar penyebaran.

“Kami yakin kerajaan Indonesia juga serius dalam menangani virus Covid-19 dan menghargai usaha kerajaan ini.

“Rakyat Malaysia juga tidak sewajarnya menghadiri sebarang perhimpunan dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

“Malangnya, daripada sumber media sosial, difahamkan sebanyak 83 orang rakyat Malaysia menyertai himpunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, kerajaan juga diminta memperketatkan pintu masuk negara dengan meningkatkan kawalan pihak Imigresen dan ESSCOM di perairan Sabah.

Zubair menegaskan, bahawa ianya sebagai langkah mengawasi rakyat Malaysia yang keluar dan masuk melalui jalan laut ke Sulawesi.

Selain itu, katanya, peserta Malaysia yang menyertai himpunan tersebut perlu menjalani saringan di hospital kerajaan dan menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Tindakan ini perlu dilakukan segera supaya penularan virus Covid-19 dapat dikawal demi kemaslahatan rakyat Malaysia,” ujarnya.