Nota Peguam Siri 11: Mohamad Sabu OKT yang amat setia dengan mahkamah

Semasa pendengaran rayuan pendakwa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 16 Februari lalu di hadapan Y.A. Lim Chong Fong.

MEMANDANGKAN pendakwa merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Butterworth yang membebaskan Abang Mat (Mohamad Sabu) di akhir kes pendakwa, maka secara teknikalnya Abang Mat bukanlah seratus peratus bebas. Beliau masih wajib hadir di Mahkamah semasa pendengaran rayuan. Dan yang lebih lucu lagi, jika beliau hadir di Mahkamah pada hari pendengaran rayuan, beliau masih kena duduk dalam kandang OKT- seolah-olah beliau masih berstatus OKT.

Dan jika diandaikan pada tarikh pendengaran rayuan itu, secara kebetulan pula di Mahkamah Tinggi itu juga ada kes bicara bunuh atau jenayah-jenayah serius lain, maka OKT seperti Abang Mat juga akan duduk sebaris dengan OKT-OKT kes-kes itu. Dan katakan, beliau tidak hadir dalam pendengaran rayuan tersebut setelah disapina oleh pendakwa, beliau boleh dikenakan waran tangkap!

Bagaimanapun, setakat pengalaman saya mengendalikan kes-kes Abang Mat di Mahkamah, beliau adalah OKT yang amat setia (faithful) dengan Mahkamah. Maknanya, beliau tak akan ponteng kecuali ada urusan penting yang tak dapat dielakkan. Dari segi ini, saya harus tabik kepada Abang Mat. Dia amat menghormati proses Mahkamah dan dia juga antara OKT yang bukan sahaja susah nak ponteng Mahkamah, malahan beliau juga amat “punctual” (hadir tepat masa) dalam setiap perbicaraan.

Maknanya, pengurusan masa Abang Mat amat baik dan cemerlang. Saya rasa saya paling teruk dalam pengurusan masa. Saya masih ingat satu ketika, saya dan peguam Nasar berjumpa dengan seorang hakim bukan Melayu di dalam kamarnya. Dia puji Abang Mat dari segi “his punctuality” (beliau hadir tepat masa).Yang lucunya, hakim bukan Melayu itu juga komen tentang seorang OKT yang bukan Melayu yang agak culas dari segi kehadiran di Mahkamah.

Saya masih ingat masa Abang Mat dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Klawang, Jelebu. Tempoh perbicaraannya hampir enam tahun. Masa hari pertama kes itu, ramai yang hadir di Mahkamah. Selalunya di hari pertama tu, jika kes melibatkan orang-orang ternama seperti Abang Mat atau sesiapa sahaja, kita selalunya akan lihat hatta peguam pun ramai yang tunjuk muka dan ramai juga yang berebut nak berhujah… biasalah nak tonjol diri. Selepas itu, ghaib tak nampak muka. Terus terang saya amat meluat tengok peguam macam itu.

Saya masih ingat satu waktu, atas kesilapan teknikal, Abang Mat tak hadir di Mahkamah Tinggi di Seremban, maka waran tangkap dikeluarkan ke atas beliau. Lalu, saya dan Abang Mat terpaksa hadir di Mahkamah Tinggi itu untuk berjumpa hakim bagi meminta maaf dan juga memohon kepada hakim untuk batalkan waran tangkap itu.

Maka saya dan pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berjumpa dengan Yang Arif Hakim di dalam kamar bagi membatalkan waran tangkap yang telah dikeluarkan ke atas Abang Mat. Saya terkejut bukan sahaja amat mudah nak batalkan waran tangkap itu, malahan Hakim marah pula DPP yang minta Mahkamah keluarkan waran tangkap. Kesian pula saya pada DPP tu… “innocent” sangat dia, sebab bukan dia yang pohon waran tangkap tu. DPP lain.

Di dalam kamar itu juga, kami sembang panjang dengan hakim. Dari nada perbualan saya dengan hakim itu, saya dapat rasa (impression) yang hakim tersebut mungkin peminat Abang Mat! Apabila hakim minta kes Abang Mat itu dipanggil di Mahkamah terbuka untuk beliau batalkan waran tangkap dan tetapkan tarikh baru rayuan, saya pohon pada Mahkamah agar tarikh pendengaran rayuan ditetapkan selepas Abang Mat pulang dari Haji. Hakim kata, “Baiklah… minta anakguam Encik Hanipa berdoa banyak-banyak di Makkah nanti.”

Masa tu pendakwa yang rayu kerana daripada dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Klawang, Abang Mat dibebaskan satu pertuduhan dan dipanggil bela diri bagi satu pertuduhan yang lain.

Saya kata tadi perbicaran di Jelebu hampir makan masa 6 tahun. Masa itu, Abang Mat adalah Ahli Parlimen. Ada satu ketika, tidak ada pengikut yang boleh temani dan pandu kereta untuk bawa beliau ke Jelebu. Maka kami berdua sahaja dalam satu kereta. Saya yang pandu. Masa itu Abang Mat juga pemimpin tinggi parti suci (Pas). Dalam kereta, dia kata kat saya dengan nada bergurau, “Hanipa, lepas ni kita pakat masuk Tabligh je lah… kita dah tak ada pengikut!” Saya hanya ketawa.

Saya juga masih ingat masa presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awwang dimasukkan wad di Turki, Abang Mat bergegas ke sana untuk ziarah presiden dia. Secara kebetulan, pada masa itu kes perbicaran Abang Mat di Mahkamah di Pulau Pinang tak habis lagi. Kerana urusan ziarah presiden itu, dia telah gagal hadir dalam satu tarikh perbicaraan.

Alhamdulillah hakim tak marah bila saya bagi tahu hakim yang Abang Mat terpaksa ponteng kerana urusan penting dan di luar jangkaan. Hakim maafkan dan tidak keluar waran tangkap ke atas Abang Mat. Itulah Abang Mat… amat setia dan sayang beliau kepada presiden mantan parti dia. Cuma saya rasa sedih bila Abang Mat masuk wad di Hospital Klang kerana suspek denggi, presiden mantan parti dia tak datang pun ziarah atau paling kurang menelefon Abang Mat bagi bertanya khabar, sedangkan masa itu Abang Mat adalah orang nombor 2 dalam Pas.

Maaf, saya kongsi cerita di atas. Saya percaya ramai tak tahu perkara itu. Maka saya cerita supaya kita kenal siapa sebenarnya Abang Mat ini. Bila pendakwa rayu dan kes rayuan akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, perasaan saya sebenarnya bercampur-campur. Ralat dengan pendakwa tapi dalam masa yang sama gembira juga.

Ralat kerana pendakwa nampaknya tak mahu lagi tamatkan cerita Bukit Kepong ini dan memberi tumpuan pada kes lain yang mungkin lebih penting. Gembira sebab boleh, sekali lagi, pergi ke Pulau Mutiara dan dapat jumpa kawan-kawan seperti Razak Centu dan lain-lain. Dan gembira juga dapat makan lagi masakan Abang Mat dan perkena kari ikan yang “awesome” di Hotel Merlin!

Satu lagi saya juga dapati Abang Mat amat rapat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng (LGE). Jika ada kes di Pulau Pinang, kadangkala Abang Mat akan telefon LGE untuk makan malam bersama. Biasanya LGE jarang menolak. Saya pun hormat gila dengan LGE, seorang ketua menteri yang amat sempoi dan ‘simple’. Tak ada protokol-protokol. Ada sedikit persamaan dengan Abang Mat. Patutlah rakyat sayang pada mereka walaupun sekarang amat dibenci oleh puak-puak suci.

Kes rayuan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang agak istimewa bagi saya secara peribadi kerana itulah kes pertama yang saya hadir selepas dimasukkan ke wad di HKL dan Hospital di Cheras (Fisioterapi) hampir setahun. Selepas keluar hospital, saya awalnya tak mahu kendalikan rayuan itu kerana nak rileks dan berehat. Saya minta Amin dan Nasar yang buat. Namun bila terkenang Abang Mat dan kawan-kawan, saya rasa tak sampai hati pula. Amin pula minta sangat saya yang “lead” pasukan peguam Abang Mat itu.

Maka saya tunaikan juga hajat Amin. Sebenarnya, saya juga tak begitu yakin nak berhujah selepas lama tak berhujah di Mahkamah. Saya bimbang mungkin saya dah tak pandai nak berhujah. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga teruja nak ke Mahkamah. Selama 23 tahun saya sudah bergelumang dengan litigasi di Mahkamah, jadi agak sukar nak hilangkan ‘habit’ pergi ke Mahkamah. Orang putih kata “old habit dies hard”.

Maka pada 16 Februari 2017, saya dan pasukan peguam Abang Mat hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Rayuan didengar di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Lim Chong Fong. Saya tak kenal beliau dan itulah kali pertama saya hadir di hadapan beliau. Saya difahamkan beliau mantan peguam. Secara kebetulan, sebelum rayuan kes Abang Mat didengar, saya sempat melihat Yang Arif mendengar satu rayuan kes sivil yang melibatkan kes kemalangan jalanraya. Saya dapati Yang Arif bagi sepenuhnya peluang untuk peguam berhujah dan beliau amat sabar mendengar. Saya lega.

Saya hadir ke Mahkamah dengan bertongkat macam ‘Pak Maun’. Bila kes rayuan Abang Mat dipanggil, pendakwa berhujah terlebih dahulu kerana ini adalah rayuan pihak pendakwa. Pendakwa diwakili oleh Datuk Razali Che Ani seorang sahaja. Pasukan peguam Abang Mat pula diketuai oleh saya bersama-sama dengan empat peguam yang lain iaitu Amin, Nasar Khan, Cik Naim dan Cik Syarifah Asma’ (anak Adun Batu Burok Dr. Syed Azman Syed Ahmad). Cik Naim dan Syarifah adalah LA (legal assistant) di firma saya.

Datuk Razali berhujah agak panjang dan pada dasarnya hujah beliau menyatakan Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth tersilap kerana bebaskan Abang Mat. Bagi pihak peguambela Abang Mat saya memulakan hujah diikuti oleh Amin dan Nasar. Masing-masing fokus pada tajuk atau isu tertentu. Saya hanya fokus pada isu kecacatan kertas pertuduhan. Masalah saya adalah meskipun Hakim Meor membebaskan Abang Mat tetapi dalam alasan penghakimannya, beliau tak sentuh isu kecacatan kertas pertuduhan tersebut secara spesifik.

Maka saya terpaksa mencari nas-nas undang-undang (legal authorities) untuk yakinkan Mahkamah yang pada pendengaran rayuan ini, hakim masih boleh dengar isu tersebut kerana secara prinsipnya pendengaran rayuan ini hakikatnya dalam bentuk pendengaran semula (by way of re-hearing).

Alhamdulillah, banyak nas yang menyokong hujah saya itu. Sebelum mula berhujah, saya kata pada Mahkamah saya pohon Mahkamah dapat bersabar dengan saya sebab ini adalah kes pertama saya selepas lama duduk di hospital. Hakim hanya menganggukkan kepala beliau. BERSAMBUNG