Nota Peguam Siri 12: “Nak takbir macam mana, kami tak faham apa hakim kata…”

Mohamad Sabu dan para peguam dalam sidang akhbar selepas Mahkamah Tinggi membebaskan beliau daripada dakwaan.

BERBEZA dengan kes Abang Mat (Mohamad Sabu) di Mahkamah Sesyen, saya rasa lebih yakin yang Abang Mat berkemungkinan besar menang dalam kes rayuan di Mahkamah Tinggi atas dua alasan.

Alasan pertama adalah seperti dulu juga. Sebab saya rasa hujah kami insya Allah lebih kuat dibandingkan hujah pendakwa. Saya rasa isu kecacatan kertas pertuduhan itu agak sukar nak dijawab oleh pendakwa. Saya dapat rasakan semasa saya berhujah isu tersebut, Yang Arif Hakim macam bersetuju penuh dengan hujah saya. Itu daripada bahasa badan beliaulah (his body language). Yang itu, lebih kepada pengalaman sayalah dan juga seperti orang putih kata “my hunch” (gerak hati saya).

Alasan kedua juga lebih kepada gerak hati saya. Dalam banyak kes yang saya kendali bagi pihak Abang Mat, selalunya bila kes di hadapan Hakim bukan Melayu, beliau kebiasaannya menang. Justeru itu, saya juga rasa hal yang sama mungkin berlaku. Sebenarnya, gerak hati ini bukan berasaskan apa-apa bukti. Purely my hunch!

Dan selalu juga di depan Hakim Melayu, Abang Mat kalah. Dan jika di depan Hakim, meminjam bahasa Saudara Adnan Kedah, “orang kita” iaitu merujuk kononnya kepada hakim yang ada fikrah Islam, ironinya lagi senang dan cepat kalah. Tetapi itu semua seperti yang saya kata, hanyalah gerak hati dan kebetulan sahaja. Para peguam juga tak dapat lari daripada tahyul tersebut.

Selepas mendengar keseluruhan hujah, Hakim beritahu kami yang beliau perlu tempoh masa untuk meneliti kesemua hujah dan akan membuat keputusan di hari lain. Saya pun menjangkakan begitu. Lalu selepas itu kami semua ke agenda yang saya paling suka di Pulau Pinang- makan!

Cuma kali ini bukan makan di Hotel Merlin. Kami pergi ke restoran lain. Ada hajat atau permintaan dari seorang pengusaha restoran mamak yang kebetulan juga seorang ahli Parti Amanah Negara di Pulau Pinang. Dia nak belanja kami semua di restorannya. Jadi kami raikan hajat beliau. Lagipun, siapa yang tak nak makan percuma! Alhamdulillah makan di restoran baru ini juga sedap dan menyelerakan. Nampaknya, Pulau Pinang tak pernah gagalkan kami dari segi makan!

Di restoran itu, rata-rata mereka yang hadir tak dapat lari daripada bercakap tentang rayuan tadi. Ramai juga yang salam dan peluk saya… lama tak jumpa kot! Dari reaksi wajah mereka, nampak semua macam gembira dan yakin akan menang. Selepas kenyang makan, saya, Amin dan Nasar beredar balik dengan menaiki kereta. Tak silap saya, kami naiki kereta saya, tetapi Amin yang pandu.

Selalunya bila pergi ke Pulau Pinang, jika saya tak ambil kapal terbang, saya akan naiki kereta. Nasar akan parking kereta beliau di rumah saya. Saya pula akan bawa Nasar dari KL ke Slim River dan parking kereta saya di pejabat Amin. Selepas itu kami bertiga bertolak ke Pulau Pinang dengan menaiki Hilux Amin. Abang Mat selalu bercanda yang kereta Amin macam kereta kontraktor. Kami biasanya bersantai-santai dan akan bermalam di rumah Abang Mat.

Keputusan rayuan pendakwa ditetapkan pada 31 Mac 2017. Sekali lagi, pasukan peguam Abang Mat diwakili oleh lima peguam yang sama semasa pendengaran rayuan sebelum ini. Dan sekali lagi Datuk Razali hadir seorang diri mewakili pendakwa. Abang Mat juga hadir. Para penyokong beliau juga hadir. Kak Normah Alwi, isteri Abang Mat yang banyak berkorban untuk suaminya, juga hadir memberi sokongan. Kami peguam bertiga agak rapat juga dengan Kak Normah. Bagi saya, keluarga Abang Mat sudah macam keluarga saya. Kami agak rapat.

Bila Hakim keluar dari kamarnya dan masuk ke bilik persidangan Mahkamah, beliau membaca keputusan atau lebih tepat lagi alasan penghakimannya. Alasannya agak panjang dan beliau baca semua. Alasan penghakimannya ditulis dan dibaca dalam Bahasa Inggeris. Semasa berhujah dulu, hanya saya dan Nasar sahaja yang berhujah dalam bahasa Inggeris. Semasa Hakim membaca keputusannya, di pertengahan alasan itu beliau telah nyatakan yang beliau menolak rayuan pendakwa. Kami berlima senyum gembira.

Namun saya lihat orang awam yang hadir dalam galeri orang ramai di Mahkamah itu, khususnya penyokong Abang Mat, diam tidak bersuara. Saya tak pasti adakah mereka diam kerana hormat Mahkamah atau tak dengar suara Hakim atau tidak faham apa yang Hakim kata dalam Bahasa Inggeris! Mereka semua hanya mula bising selepas hakim habis baca keputusan dan beredar. Ketika itu, baru mereka sedar yang Abang Mat dah menang rupanya. Razak Centu kata kat saya, “Nak takbir macam mana… kami tak faham apa yang Hakim kata”. Saya hanya gelak.

Selepas itu, orang ramai saya lihat berpusu-pusu bersalam Abang Mat dan kami semua sambil ucap tahniah. Ramai juga, saya lihat, nak bergambar. Dan ramai juga yang sibuk menaip di aplikasi Whatsapp untuk kongsi kemenangan dan kegembiraan itu. Bagi saya, saya hanya tunggu agenda yang penting – makan! Dan kali ini kami kembali semula ke ‘port’ lama kami – restoran mamak di Hotel Merlin!

Saudara Azhar, Setpol (setiausaha politik) Abang Mat ,beritahu saya ada PC (sidang akhbar) di luar Mahkamah. Maka kesemua kami keluar menuju lokasi PC itu. Saya lihat ramai wartawan dan jurufoto yang mengelilingi Abang Mat dan Kak Normah (Normah Alwi). Para penyokong Abang Mat juga ramai di situ. Kami juga diusung ke situ. Selepas Abang Mat beri kenyataan pada wartawan, para wartawan juga tanya saya, mungkin kerana saya mengetuai pasukan peguam Abang Mat.

Jika tidak silap, saya kata saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana rayuan pendakwa ditolak. Saya juga ucap terima kasih kepada para peguam di dalam pasukan peguam Abang Mat yang telah banyak membantu. Saya juga kata saya pohon agar pendakwa tak perlu merayu lagi. Saya kata, “Cukuplah… letihlah”.

Alhamdulilllah banyak media sama ada media cetak atau media online yang siarkan berita kemenangan itu. Antara tajuk-tajuk berita di media adalah;-

a. “High Court upholds Mat Sabu’s acquittal in Bukit Kepong case”- Free Malaysia Today

b. “High Court upholds Mat Sabu’s acquittal” – The Star Online.

c. “Mat Sabu’s defamation acquittal upheld by High Court” – New Straits Times.

d. “Bukit Kepong Mat Sabu remains a free man” – Astro Awani.

e. “Penang High Court maintains Mat Sabu’s defamation acquittal” – The Malaymail Online.

f. “Mat Sabu not guilty of defaming police, High Court rules” – Malaysiakini.

g. “Keputusan bebaskan Mat Sabu kekal” – Berita Harian

h. “Bukit Kepong Mahkamah Tinggi kekal keputusan Mat Sabu bebas” – Astro Awani

i. “Mat Sabu bebas tuduhan fitnah isu Bukit Kepong” – Free Malaysia Today

j. ” Bukit Kepong : Mat Sabu kekal bebas” – Sinar Harian

dan banyak lagi…

Apa alasan Hakim ketika tolak rayuan pendakwa? Antara alasan beliau adalah pendakwa tidak mengemukakan alasan yang mencukupi untuk mendakwa kes fitnah (ke atas Mohamad Sabu). Hakim juga kata ceramah Mat Sabu mesti diambil (dibaca) mengikut konteks (should be taken in context). Beliau juga berkata yang beliau sedar bahawa media, khususnya Utusan Malaysia, telah mensensasikan ucapan Mat Sabu.

Hakim berkata, “Saya selalu beri penghormatan yang tinggi pada pasukan polis, tapi kes ini melibatkan Perlembagaan Persekutuan, hak kebebasan bersuara. Saya kena pastikan keadilan undang-undang untuk semua dan tuduhan itu (dibuktikan) melampaui keraguan munasabah”.

Hakim juga kata, “Saya dengar rakaman audio ucapan ceramah Mat Sabu dan saya dapati beliau tidak kritik polis. Mat Sabu sebaliknya meminta agar semua pejuang kemerdekaan, bukan setakat daripada Umno sahaja, juga kena diakui atau diiktiraf semasa negara menyambut Sambutan Kemerdekaan. Dan dari situlah nama pejuang kemerdekaan Mat Indera timbul”. Hakim juga kata yang pertuduhan ke atas Abang Mat adalah cacat.

Saya ingat kes ini habis setakat itu. Rupanya tidak. Pendakwa masih berstamina dan bernafsu besar untuk meneruskan dan mahu merayu ke Mahkamah Rayuan pula. Saya hanya mampu menggeleng kepala. Akan tetapi, saya dan rakan peguam insya Allah bersedia berjumpa dengan pendakwa di medan tempur yang terakhir bagi kes ini iaitu Mahkamah Rayuan di Istana Keadilan Putrajaya. BERSAMBUNG
___________________
Mohamed Hanipa Maidin ialah Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) dan peguambela Mohamad Sabu dalam kes fitnah peristiwa Bukit Kepong.

 

CATEGORIES
TAGS