Malaysia Dateline

Nota Peguam Siri 2: Watak-watak sampingan kes saman fitnah Bukit Kepong

Mohamad bersama barisan peguamnya dan waris Mat Indera, Baharom Indera selepas mahkamah membebaskan beliau daripada pertuduhan memfitnah anggota polis dan keluarga mereka dalam peristiwa Bukit Kepong.

Selepas Abang Mat dibebaskan dengan jaminan, maka kami para peguambela beliau mula mengadakan siri perbincangan mengenai kes tersebut – bincang strategi perbicaraan dan “assigned job” untuk setiap peguam.

Dari perbincangan, kami dapati ada sedikit kelainan dan “absurdity” kes ini daripada kes-
kes biasa. Ini kerana buat pertama kali, isu pentafsiran sejarah dibawa ke Mahkamah. Pelik dan ajaib… tapi Malaysia boleh!

Bagi kami, kes ini melibatkan soal pentafsiran sejarah. Period. Dengan lain perkataan, isu siapakah hero atau siapakah pengkhianat dalam sejarah kemerdekaan tanah air ini adalah semata-mata urusan pendapat seseorang (a matter of one’s opinion). Dalam satu kes di England, House of Lords kata, “my opinion is as good as yours”.

Contohnya A mungkin kata Shamsiah Fakeh atau Tok Janggut atau Rosli Dobi atau Mat Indera ialah pengkhianat atau penderhaka kerana lawan British sebab British adalah penjajah dan B pula kata mereka yang berkhidmat dengan British seperti polis di Bukit Kepong adalah ejen British, penderhaka atau pengkhianat sebenar, sebab bagi B, British adalah “villain” yang jajah Tanah Melayu, rompak hasil mahsul Tanah Melayu, perkenalkan budaya, undang-undang dan adat resam mereka yang mungkin bertentangan dengan adat, budaya Melayu atau agama Islam. Jadi, ada dua versi. Isunya, wajarkah salah seorang dari mereka dijenayahkan?

Jadi bagi kami, itu adalah urusan pendapat seseorang yang tak sewajarnya sama sekali untuk Mahkamah campurtangan. Ia bukan fungsi Mahkamah. Bagi kami, bukan tugas mahkamah untuk putuskan mana-mana tafsiran yang betul dan perlu diikuti. Lagipun bagi kami, di dalam negara ini kita tidak ada undang-undang khusus yang larang mana-mana orang dari memilih untuk sama ada menafsir sejarah atau memilih tafsir sejarah mana pun, yang bagi dirinya, lebih betul dan sahih.

Keadaan ini mungkin berbeza misalnya dengan setengah negara. Misalnya di Perancis, mereka yang engkar (denied) “Holocaust” (isu pembunuhan jutaan orang Yahudi oleh Nazi Jerman dalam Perang Dunia ke-2) adalah dikira melakukan jenayah dan boleh didakwa di Mahkamah dan jika bersalah boleh dihukum. Seorang pemikir Islam (asalnya orang Yahudi), Almarhum Prof. Dr. Roger Garaudy pernah didakwa kerana engkar Holocaust.

Di Malaysia, kita tak ada undang-undang sebegitu. Maka kami berpendapat, Abang Mat tak bersalah dan tak wajar sama sekali ditangkap, disiasat, jauh sekali didakwa hanya kerana mengemukakan satu versi tafsiran sejarah yang mungkin berbeza dari tafsiran umum. Oleh itu, kami rasa amat tak wajar sama sekali beliau ‘dibuli’ sebegitu rupa oleh rejim pemerintah yang “firmly control the historical narrative” (yang kawal ketat naratif sejarah).

Seperti mana yang saya kata tadi, bagi kami peguambela Abang Mat, isu tafsiran sejarah bukan dalam bidang kuasa Mahkamah. Dalam undang-undang, isu sebegini dipanggil “non-justiciable” – melangkaui bidang kuasa Mahkamah, maka tak boleh diadili oleh Mahkmah. Dalam beberapa keputusan Mahkamah, para hakim menyatakan isu-isu “non justiciable” ini adalah ibarat “wilayah haram”(a forbidden zone) yang tidak sewajarnya dicerobohi oleh mana-mana Mahkamah.

Sebenarnya isu-isu “non justiciable” ini bukan setakat terhad isu penafsiran sejarah, tapi banyak lagi isu seperti itu contohnya isu “national security” atau isu hubungan luar sesuatu negara (foreign relations). Falsafah atau rasionalnya kenapa Mahkamah enggan campurtangan dalam isu sebegitu kerana Mahkamah berpendapat, isu sebegitu bukan di dalam wilayah kepakaran mereka (not in the realm of their experties).

Dan bahayanya jika Mahkamah turut juga campurtangan dalam isu isu “non-justiciability” ini, dikhuatiri ia akan mendatangkan kesusahan yang tak perlu kepada orang ramai. Misalnya, dalam konteks kes Abang Mat, jika misalnya Mahkamah tidak bersetuju dengan pandangan atau tafsiran sejarah yang Abang Mat berikan dan anggap ia satu kesalahan dan secara tersirat pula hanya setuju dengan tafsiran sejarah yang rasmi dari versi kerajaan sahaja, maka selepas ini, sesiapa sahaja yang mungkin tawarkan versi tafsiran sejarah yang lain daripada yang ditentukan oleh Mahkamah, mungkin akan berhadapan risiko menghina Mahkamah!

Justeru itu apa yang perlu kami lakukan? We took steps. Maka kami failkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar “the legality of” (keabsahan undang-undang) pertuduhan ke atas Abang Mat. Atau dengan lain perkataan, kami fail satu permohonan jenayah di Mahkamah bagi membatalkan kesemua pertuduhan ke atas Abang Mat. Alasan utama kami adalah pertuduhan ke atas Abang Mat hakikatnya melibatkan isu pentafsiran sejarah, jadi ia bersifat “non-justiciable”.

Dan kami juga katakan jika pertuduhan itu diteruskan, ia adalah satu bentuk “oppression” (penindasan) ke atas Abang Mat. Maka kami juga pohon agar Abang Mat dibebaskan serta merta.

Permohonan kami tersebut dibuat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Maka perbicaraan di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara waktu. Permohonan kami didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada masa itu iaitu Yang Arif Hakim Tuan Amin Abdullah (saya tak pasti beliau ada gelaran ‘Datuk’ atau tidak).

Saya ada pengalaman suatu waktu dulu ketika mengendalikan kes jenayah tuduhan rogol di hadapan beliau. Masa itu saya baru lagi praktis sebagai peguam junior dan beliau juga masih hakim di Mahkamah Sesyen di Muar. Masa tu, saya rasalah, beliau agak garang, tapi fair (berpada). Saya menang kes itu tanpa anakguam saya dipanggil bela diri. Saya masih ingat pendakwa gagal kemukakan bukti keterangan DNA dan hakim betul-betul marah kat pendakwa.

Bila terkenang kes di Muar itu saya rasa agak lega dan OK juga bila permohonan jenayah Abang Mat itu didengar di depan Yang Arif Hakim Tuan Amin Abdullah. Dipendekkan cerita, beliau dengar permohonan Abang Mat.

Dia dengar dengan sabar hujah kedua-dua pihak. Kami buat persiapan yang menyeluruh dan mendalam. Banyak buat kajian. Saya diamanahkan untuk berhujah bagi pihak Abang Mat dan Datuk Suhaimi dan DPP Yusaini (sekarang Datuk) pula berhujah bagi pihak pendakwa. Hakim langsung tak kacau seperti tanya soalan semasa kami berhujah. Saya dapati “temperament” beliau berbeza sekali dibandingkan semasa beliau di Muar dulu. Di Muar, dia suka tanya soalan dan kadangkala marah pada peguam. Kali ni tak langsung. Lepas dengar kesemua hujah, dia ucap terima kasih kepada kami dan keputusan di hari lain.

Sedikit selangan iklan. Salah seorang pengikut setia Abang Mat di dalam setiap perbicaraan khususnya di Pulau Pinang ialah Abang Razak daripada Pendang. Kami panggil dia Razak Sentu. Dia banyak tolong Abang Mat dan kami serta rajin orangnya. Jika dalam bahasa inggeris, Razak ini macam “butler” yang amat berpengalaman. Tapi yang bagusnya saya lihat, tak ada jurang langsung antara Razak dengan Abang Mat meskipun pada masa itu Abang Mat adalah Timbalan Presiden Pas.

Sebab itu saya rasa orang sayang Abang Mat. Dan beliau pula tak nampak seperti berlakon. Saya dapati beliau amat sayang orang-orang bawah dan depa pun sayang kat dia. Ada “reciprocity” orang putih kata.

Lagi satu yang saya suka buat kes di Pulau Pinang ialah Abg Mat suka masak untuk kami. Abang Mat memang pandai masak. Saya memang selalu berselera bila makan makanan yang Abang Mat masak. Hatta ada satu ketika dia hanya goreng bawang untuk kami tapi masih sedap.

Saya dengan peguam Nasar amat suka! Razak dan kadangkala Ustaz Fauzi akan turut bantu masak. Saya hanya bantu makan sahaja. Bila dah siap masak, ramai kawan Abang Mat akan hadir sama, kebanyakan golongan marhain seperti Mat Toi, Ustaz Fauzi, Halim, Md Noor, Malik, Mizi, Francis, Man Kasut, Ustaz Mud, Pak Lang, arwah Hamid (selalu jala ikan bila kami datang), arwah Pak Ya Hindustan dan ramai lagi.

Kami makan dan berborak sambil gelak. Entertainernya Razak lah. Tak kering gusi dengar lawak dia. Kadangkala kami berborak sampai larut malam.

Biasanya juga selepas habis kes jika di Pulau Pinang, kami akan makan nasi kandar di Merlin Hotel. Abang Mat amat suka kari ikan di situ dan dia boleh “hirup” karinya. Di restoran Merlin itu, lepas saya hujah permohonan nak batalkan tuduhan ke atas Abang Mat, Razak kata insya Allah menang kot dan dia kata, “Razak macam nak bagi sampul surat (token wang kepada penceramah) sebab puas hati dengar hujah Hanipa… Rasa nak takbir tadi.”

Saya pun hairan macam mana dia boleh berpuas hati sedangkan saya hujah dalam bahasa Inggeris dan mungkin dia tak faham keseluruhannya. Tapi itulah Razak! (BERSAMBUNG)
______________________
Mohamed Hanipa Maidin ialah Pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) AMANAH Nasional dan peguambela Mohamad Sabu dalam kes fitnah peristiwa Bukit Kepong.