Nota Peguam Siri 3: Abang Mat yang sangat tenang, ceria walaupun kalah bicara

Hanipa dan Mohamad di Mahkamah Rayuan.

Meskipun Abang Razak Sentu begitu yakin Hakim Tuan Amin Abdullah akan memihak kepada Abang Mat dan mungkin akan membatalkan pertuduhan ke atas Abang Mat, namun realitinya nasib masih tidak memihak kepada Abang Mat pada waktu itu.

Ya, keputusan Yang Arif Hakim Tuan Amin tidak memihak kepada Abang Mat. Ya, beliau menolak permohonan atau Notis Usul Abang Mat bagi membatalkan pertuduhan ke atas dirinya. Dengan lain perkataan, tuan hakim mungkin masih tak dapat diyakinkan lagi dengan hujah-hujah kami. Semasa beliau menolak permohonan Abang Mat, beliau membaca alasan penghakimannya (his ground of judgement) yang agak panjang.

Rakan peguam dalam pasukan kami khususnya Saudara Nasar Khan agak “pissed off” (marah yang amat sangat) dengan keputusan tuan hakim. Bohonglah jika kami bertiga tidak merungut dengan keputusan hakim. Ya, kami merungut panjang. Yang nampaknya tak langsung merungut dan nampak rileks gila, saya lihat, hanyalah Abang Mat sorang.

Melihat reaksi Abang Mat yang begitu relaks meskipun keputusan Hakim yang tidak memihak kepadanya, saya teringat anak guam kepada pelakon Tom Hanks (yang pegang watak peguambela bernama James Donovan) dalam filem yang paling saya minat bertajuk “Bridge Of Spies”.

Secara ringkas dalam filem itu anak guam Tom Hanks yang bernama Rudolf Abel didakwa kes merisik (spying) bagi pihak Kerajaan Komunis Rusia semasa Perang Dingin. Sebenarnya filem itu berdasarkan kisah benar. Dalam kes itu anak guam Tom Hanks dilihat macam tak ada apa-apa perasaan… sentiasa ‘cool and serene’ dan bila Tom Hanks tanya pada dia, “Tak pernahkah kamu ini berasa bimbang?”. Anak guamnya menjawab, “Adakah ianya (berasa bimbang itu) membantu?”

Itulah juga karektor Abang Mat. Macam tak ada apa-apa berlaku pada dia. Saya tertanya dalam hati, “Apa agak sebenarnya orang ini? Tak pernahkah dia rasa risau dan panik macam saya?”

Setakat pengalaman kecil bergaul dengan Abang Mat (yang secara kebetulan banyak juga kes dia yang saya kendalikan), saya lihat Abang Mat hanya kelihatan marah dan upset jika ada puak agama, yang bagi dia, macam dikira “jual agama”. Dia agak selalu mengadu kepada saya dengan sikap orang Islam dan sikap negara umat Islam. Ayat yang selalu keluar daripada mulut beliau, “Hanipa, hang rasa adakah kita ini benar-benar menganut agama Nabi Muhammad s.a.w.? Jika melihat tindak-tanduk dan akhlak umat Islam hatta dalam negara Islam sendiri teruk Hanipa… Rasuah, zalim, curi harta rakyat, pemimpin hidup mewah rakyat pula hidup melarat, tak ada integriti dan macam-macam lagi lah”.

Saya tiada jawapan kepada soalan itu, tapi saya boleh hargai “his profound frustration” khususnya dengan golongan agama.

Saya kata tadi Nasar Khan agak marah dengan keputusan hakim tersebut. Amin dan saya pun sebenarnya sama seperti Nasar. Kami bertiga rasa hakim “tak begitu dapat tangkap dan faham dengan tepat” hujah kami dalam isu ini. Ia boleh dilihat bila Hakim mengutarakan satu kes sejarah melibatkan British dengan (tak silap saya) sebuah syarikat di negara Burma (Myanmar), yang juga bekas tanah jajahan British.

Meskipun kami setuju dengan hakim bahawa kes itu melibatkan peristiwa sejarah (justeru kata hakim sejarah boleh diadili – justiciable), tapi bagi kami isu yang kami bangkitkan berbeza. Yang kami bangkitkan bukan berkaitan isu peristiwa sejarah semata- mata. Sebaliknya yang kami bangkitkan adalah tafsiran mengenai sejarah yang terdedah kepada pelbagai tafsiran. Maka bukan tugas, fungsi dan peranan mahkamah untuk dilibatkan sama bagi memutuskan tafsiran sejarah manakah yang betul dan perlu diikuti lalu ianya boleh diadili (justiciable).

Justeru itu juga, kami nasihatkan Abang Mat untuk merayu terhadap keputusan hakim tersebut. Dengan segera Abang Mat setuju. Maka, kami failkan notis rayuan bagi merayu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Dipendekkan cerita, kami kemudiannya beberapa kali berjumpa untuk berbincang proses rayuan tersebut.

Meskipun kami semua peguam, namun dalam banyak keadaan, kami berwatak ala “peguam jalanan”. Kami tak pernah berbincang di bilik mesyuarat yang mewah dan cantik berdekorasi yang mungkin biasa digunakan oleh para peguam korporat. Bilik mesyuarat kami selalunya sama ada di kedai mamak atau restoran berhawa dingin seperti Secret Recipe. Dan kami pula tak pernah bertemu dan berbincang dengan pakai ‘suit’ yang lengkap dan bertali leher. Selalunya saya dan peguam Amin khususnya, hanya berjeans, berbaju-T dan bercapal tetapi masih bawa fail kes, buku nota, laptop, akta-akta dan laporan undang-undang.

Akhirnya, rayuan kami ditetapkan untuk pendengaran di Istana Keadilan (Palace Of Justice), Putrajaya. Antara hakim dalam panel rayuan itu ialah Yang Arif Tan Sri Raus (sekarang Ketua Hakim). Sekali lagi saya diamanahkan untuk berhujah bagi pihak Abang Mat. Jujurnya Tan Sri Raus menyukarkan saya tapi untuk berlaku adil terhadap beliau, di Mahkamah Rayuan keadaannya memang begitu… seperti sesi interogasi. Hakim akan menyoal kita dengan pelbagai soalan. Memang kena sabar dan mengucap banyak.

Saya masih ingat Tan Sri Raus bertanya kenapa saya tidak failkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen – mahkamah di mana Abang Mat atau OKT (orang kena tuduh) dibicarakan. Dia tanya kenapa fail di Mahkamah Tinggi? Secara jujur, saya langsung tidak menjangkakan atau fikirkan langsung soalan Tan Sri Raus itu.

Bila ditanya, suka tak suka saya kena jawab. Jika saya tak lupa, saya jawab lebih kurang begini, “Yang Arif, sebenarnya ada precedent. Dalam kes Karpal Singh vs Pendakwa Raya, tertuduh juga didakwa di Mahkamah Rendah tapi beliau telah memfailkan Notis Usul bagi mencabar “the legality and the constitutionality” pertuduhan ke atas beliau di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah tak kata prosedur itu silap”.

Saya juga dengan hormat hujahkan, dalam Notis Usul anakguam kami ianya juga melibatkan isu tafsiran peruntukan Perlembagaan, maka forum yang layak mendengar dan putuskan isu tersebut adalah Mahkamah Tinggi. Sebab itulah kami failkan pernohonan anakguam kami di Mahkamah Tinggi.

Selepas itu Tan Sri Raus bangkitkan isu lain pula. Isunya adalah Notis Usul kami, dia kata, adalah satu permohonan. Dalam bahasa undang-undang dipanggil ‘interlocutory’ (yang tak bersifat muktamad) maka dia kata, anakguam kami tak boleh merayu atas satu keputusan yang bersifat ‘interlocutory’. Itu juga hakikatnya asas hujah pendakwa.

Sekali lagi saya jawab, “Yang Arif, bagi kami, Notis Usul ini tidak bersifat interlokutori sebaliknya ia bersifat muktamad”. Saya hujahkan wujudnya finality dalam kes ini. ini kerana jika permohonan Notis Usul ini andai kata dibenarkan sekaligus memuktamadkan kes ini “once and for all” iaitu pertuduhan ke atas perayu dibatalkan dan perayu atau OKT akan dibebaskan dan dilepaskan.

Sekali lagi Tan Sri Raus dan dua ahli panel rayuan yang mendengar bersamanya tidak bersetuju dengan hujah kami, lalu menolak rayuan Abang Mat. Sekali lagi kami kecewa. Dan sekali lagi juga Abang Mat boleh tetap rileks, tenang dan tak ada reaksi panik atau gementar. Meskipun kalah, dia tetap ajak kami makan dan semasa makan dia tetap ceria dan masih boleh gelak-gelak.

Saya terus berperang dalam hati, “Apa sebenarnya orang ini?” Beliau ibarat dalam bahasa Rusia ‘stoikiy muzhik’ (a standing man). Setiap kali musuh politik beliau “pukul” macam mana teruk sekalipun, dia akan terus tegak berdiri! BERSAMBUNG

_______________________

Penulis ialah Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH Nasional dan ahli parlimen Sepang.

CATEGORIES
TAGS