Nota Peguam Siri 4: Bagaimana boleh hina YDP Agong yang tidak wujud pada 1950?

Mohamad keluar daripada kamar Mahkamah Sesyen Butterworth sambil diiringi Hanipa dan Adun Pengkalan Pasir Datuk Saleh Man.

APABILA usaha kami selaku peguambela Mohamad Sabu (@ Abang Mat) untuk membatalkan pertuduhan ke atas beliau gagal, baik di Mahkamah Tinggi mahupun Mahkamah Rayuan, maka perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen diteruskan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin pada 10 Jun 2012.

Maaf, saya perlu jelaskan di sini. Ada orang memfitnah kononnya peguambela-peguambela tokoh-tokoh politik yang didakwa di Mahkamah seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Abang Mat sengaja melambat-lambatkan perbicaraan anakguam mereka dengan memfailkan pelbagai permohonan di Mahkamah.

Saya rasa fitnah ini berlaku kerana kekeliruan memahami “the true nature of” perbicaraan kes jenayah.

Kita perlu memahami dalam perbicaraan jenayah, ia melibatkan dua pihak yang hakikatnya berlawan tapi bukan di atas padang yang sama rata. Pihak yang mendakwa adalah sebuah negara dengan seluruh jentera yang dikuasainya (the State with its entire machinery at its disposal). Jadi, kita tersilap jika membuat anggapan dalam perbicaraan jenayah, kedua-dua pihak (negara/kerajaan) dan Orang Yang Kena Tuduh (OKT) mempunyai kekuatan yang sama.

Justeru itu, di sana wujudnya beberapa prinsip universal yang dijaga dan dikawal ketat daripada dicabul (hatta dalam sistem perundangan jenayah Islam, ia juga sama). Contohnya dalam perundangan jenayah, wujud prinsip seperti “anggapan tidak bersalah” (presumption of innocence) yang diberikan kepada OKT, prinsip beban membukti (burden of proof) daripada awal hingga akhir kes hanya dipertanggungjawabkan ke atas pendakwa sahaja.

Begitu juga pendakwa perlu membuktikan kesnya ke atas OKT sehingga melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable of doubt) yang dalam perundangan dipanggil “standard of proof” (nisab al-shahadah in Islamic law). Begitu juga prinsip jika ada keraguan, faedah keraguan (the benefit of doubt) hendaklah diberikan kepada OKT. Dan ada beberapa lagi prinsip lain yang mungkin saya kongsi di lain masa insya Allah.

Bagi OKT yang didakwa, hanya prinsip-prinsip itulah yang boleh memberi sedikit perlindungan kepada mereka dalam menghadapi kekuatan keseluruhan jentera kerajaan seperti pihak polis (dengan pelbagai alat yang mereka ada seperti pelbagai waran, kuasa tangkap dan geledah, jel atau penjara, peguam negara dan sebagainya. Sebab itu prinsip-prinsip yang saya sebut itu bukan sahaja tidak wajar diganggu-gugat malahan perlu diperkasakan agar tidak ada mana mana “innocent man” (orang yang tak bersalah) disalah hukum.

Sebab itu dikatakan oleh sarjana perundangan Barat bahawa kononnya Sir William Blackstone (sarjana perundangan British yang terkenal dengan siri syarahannya) adalah individu pertama yang mengungkapkan kalimah “lebih baik hakim tersilap bebaskan 10 orang yang bersalah sebagai tak bersalah daripada hakim tersilap mensabitkan walau seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah!

Jika kita belajar perundangan Islam, prinsip yang disebut itu lebih awal disebut oleh junjungan baginda Rasulullah s.a.w.. Tak mustahil, bagi saya, Blackstone mungkin dipengaruhi oleh kata-kata Nabi Muhammad s.a.w..

Bertolak daripada prinsip tersebut, para peguambela biasanya akan “explore” segala usaha yang dibenarkan dalam perundangan untuk membela atau mencari pembelaan yang terbaik bagi anakguamnya. Adakala permohonan yang dibuat itu hanya boleh dibuat di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Persekutuan kerana isu Perlembagaan hanya boleh didengar di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Persekutuan.

Dan kadangkala sesuatu keputusan yang dibuat perlu pula dirayu bagi ‘dibetulkan’ mana-mana keputusan yang mungkin dirasai silap oleh mahkamah yang lebih tinggi melalui proses rayuan.

Kembali semula kepada kes Abang Mat. Perbicaraan dimulakan pada 10 Jun 2012. Saya pada masa itu bertolak dengan kereta daripada Kuala Terengganu bersama peguam Nasar dan terus ke Penang sebab sehari sebelumnya, saya dan peguam Nasar menghadiri perbicaraan semakan kehakiman bagi membela bangunan anak yatim di Dungun, Terengganu agar tidak dirobohkan. Masa itu kami berdua masih bersama Pas.

Apabila sampai sahaja di Mahkamah Sesyen Butterworth pagi itu (terima kasih kepada Saudara Norzehan yang tolong memandu kereta untuk kami), saya diberitahu oleh peguam Amin bahawa saksi yang akan dipanggil oleh pendakwa hari itu ialah pengadu bagi kes ini iaitu seorang polis pencen berbangsa India dari Raub. Namanya Visva Nathan, 75 tahun.

Saya lihat senarai saksi pendakwa yang diberikan kepada kami sebelum itu, tak ada nama Visva Nathan. Jadi logiknya kami tak boleh nak melakukan persiapan bagi menyoal saksi ini. Lagi satu, pada pagi itulah buat kali pertama saya melihat laporan polis yang beliau buat. Saya baca laporan polis itu dan hanya ‘senyum sorang-sorang’ tapi tak cakap apa-apa kepada mana-mana orang hatta kepada Amin dan Nasar. Saya hanya tunggu masa untuk menyoal balas beliau.

Saksi pertama pun dipanggil oleh pendakwa. Keterangannya ringkas dan pendek. Beliau juga dirujuk dengan laporan polis yang beliau buat dan mengesahkan ia adalah laporan polis beliau dan kami tak bantah bila pendakwa mohon laporan itu dijadikan eksibit keterangan pendakwa.

Saksi itu bukan sahaja agak berumur, dia juga ada kencing manis. Saya agak simpati dengan keadaan dia. Bila pendakwa habis menyoal saksi, saya bangun untuk soal-balas. Soalan saya lebih kepada meminta dia menjawab sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’. Ini biasa dalam pemeriksaan balas. Saya buat begitu kerana saya hanya tahu tentang saksi itu pada pagi itu dan hanya baca laporan polis yang dibuat olehnya pagi itu. Jadi saya tidak sempat membuat sebarang persiapan (homework) ke atas saksi ini.

Saya uji beliau dengan soalan pertama, “Adakah Encik Visva Nathan setuju bahawa encik tak pernah dengar ceramah Haji Mat Sabu sebelum buat laporan polis encik?”. Saya cuma mencuba untuk mengumpan. Apa yang mengejutkan saya, dia makan umpan dan menjawab ‘setuju’. Lepas itu, dia boleh dikatakan setuju hampir kepada semua soalan atau cadangan saya.

Dia setuju laporan polis yang beliau buat adalah daripada laporan berita Utusan Malaysia. Dia setuju apa yang Abang Mat cakap dengan apa yang Utusan lapor tak sama. Dia setuju Abang Mat tak sebut komunis tapi Utusan ada sebut. Dia setuju Utusan ada tokok tambah. Dia setuju Abang Mat tak fitnah polis Bukit Kepong. Dia juga setuju yang laporan polis yang dia buat ke atas Abang Mat adalah tak betul.

Yang lucunya dia juga setuju yang bukan Abang Mat yang fitnah polis, tapi dia yang fitnah Abang Mat! Dia juga kata ingin meminta maaf pada Abang Mat… Dia juga kata kepada Mahkamah, “I want to seek apology from him. He (Abang Mat) is my brother now. Tuan Hakim saya pohon kes ke atas OKT ditarik balik”.

Semua yang ada di mahkamah yang sebelum itu ‘gelak sakan’ mendengar keterangan beliau, kini terdiam dan terpaku bila dia minta kes ke atas Abang Mat ditarik balik.

Dalam laporan polis, dia sebut Abang Mat menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Saya tanya, “Macam mana Haji Mat Sabu nak hina YDPA sedangkan insiden Bukit Kepong berlaku sebelum merdeka iaitu pada tahun 1950, masa itu Encik Visva, YDPA pun tak ada lagi… Macam mana nak hina YDPA jika YDPA pun masih tak wujud?”

Saksi saya lihat termanggu dan kelihatan bingung dan tak tahu nak jawab. Akhirnya keluar perkataan ini daripada mulut saksi, “Tuan Hakim, saya tak boleh jawab soalan itu”.

Yang lagi lucu bila saya tanya dia tahu tak kat mana Bukit Kepong? Dia kata tak tahu. Dia sebaliknya merujuk Kepong di KL. Bila Visva habis memberi keterangan, dia lalu dekat kandang Abang Mat duduk dan menghulur tangan bersalaman dengan Abang Mat.

Esoknya, akhbar Sinar Harian keluar tajuk muka depan “Kes Bukit Kepong: Saksi mahu Mat Sabu dibebas”. Di muka surat dua akhbar yang sama pula satu muka penuh laporan perbicaraan kes itu dan transkrip soal balas saya ke atas saksi tersebut. BERSAMBUNG

_______________________
Mohamed Hanipa Maidin ialah Ketua Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH Nasional dan peguam Mohamad Sabu dalam kes saman fitnah Bukit Kepong.

8.3
OVERALL SCORE
: 3.0
3 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS