Nota Peguam Siri 5: Prof Khoo Kay Kim saksi pendakwa yang ditunggu pembela

Prof Kho Kay Kim

DALAM siri ke-4, saya katakan akhbar Sinar Harian siar berita di muka depan saksi pertama kes Abang Mat (Mohamad Sabu), Visva Nathan meminta mahkamah menarik balik pendakwaan ke atas Abang Mat. Di muka surat 2 akhbar itu pula dilaporkan satu muka surat penuh kisah perbicaraan itu dan transkrip soal balas (cross examination) saya ke atas Visva Nathan.

Dalam versi internet Sinar Harian yang saya lihat dan baca, agak ramai juga yang komen tentang berita itu. Saya rasa lucu bila ada antara komen itu yang semacam menuduh kononnya Abang Mat atau peguambelanya telah berpakat dengan saksi tersebut, melihat kepada keterangan saksi tersebut yang boleh dikatakan “damaging” kepada pendakwa. Na’ uzu billahi min dzalik (Kami berlindung dengan Allah daripada perkara tersebut).

Secara peribadi saya tak marah dengan tuduhan tersebut, cuma “terlalu kagum” dengan bayangan liar (a wild imagination) mereka. Apa pun, mereka paling kurang ambil tahu tentang kes Abang Mat. Itu sudah lebih daripada mencukupi.

Cukup Allah jadi saksi kami. Baik kami atau Abang Mat tak pernah kenal dengan saksi Encik Visva Nathan jauh sekali nak jumpa dia sebelum itu dan amat jauh sekali nak berpakat dengan dia. Pagi hari bicara itulah, buat kali pertama, baik kami atau Abang Mat, tahu kewujudan saksi itu. Dan pertama kali juga nampak dia di Mahkamah. Satu lagi, apalah yang kami boleh nak bagi dia atau janji nak bagi apa-apa pada saksi tersebut. Nak cari duit jamin pun kami “struggle” dan terpaksa pungut derma!

Saya biasa soal balas beratus-ratus saksi di Mahkamah dalam pelbagai dan beraneka kes di Mahkamah. Saksi yang paling ramai saya soal balas kebetulan adalah pihak polis.

Saya ingin berterus terang di sini. Saksi polis adalah saksi yang paling banyak kali saya “hancurkan kredibiliti” kesaksian mereka di Mahkamah.

Kadangkala saya kasihan dan simpati kepada mereka kerana masa di luar mahkamah khususnya masa tangkap OKT atau mana-mana orang, mereka dilihat begitu garang dan digeruni, tapi bila di dalam Mahkamah ketika disoal balas oleh peguam, ramai yang bertukar watak daripada garang kepada “layu”.

Tapi saya hakikatnya baik dengan ramai polis. Kami profesional. Yang lebih menarik lagi ada anakguam saya yang jumpa dan pakai khidmat saya kerana mereka kata “pihak polis yang minta kami jumpa dan dapatkan khidmat Encik Hanipa”. Yang lebih menarik lagi ada juga polis yang kata kat saya, “Saya suka lihat Encik Hanipa ‘kenakan’ polis dalam pemeriksaan balas”. Mungkin bos dia yang garang-garang kot!

Namun saya tak pernah ada pengalaman berhadapan dengan saksi seperti Encik Visva Nathan. Saya tak pernah ada pengalaman sebelum ini melihat saksi meminta maaf pada OKT dan minta pula OKT dibebaskan. Itulah kali pertama.

Apabila berita saksi pertama pendakwa dalam kes Abang Mat itu minta maaf dan minta Abang Mat dibebaskan menjadi tular (viral) khususnya di media sosial, hampir semua media cetak dan online siar berita itu. Ramai yang menelefon atau SMS saya (masa itu belum ada Whatsapp) mengucapkan tahniah kerana dah menang kes tersebut. Jenuh saya menjawab belum menang lagi. Baru saksi pertama.

Dalam kes perbicaraan jenayah, saya akui saksi pengadu adalah saksi yang paling penting bagi pendakwa. Saksi itu ibarat “oksigen” yang beri nafas kepada kes pendakwa. Logiknya jika oksigen gagal berfungsi dengan baik, orang berisiko mati. Dalam kes jenayah juga begitu. Bila saksi pengadu beri keterangan yang paling buruk kepada kes pendakwa, logiknya kes pendakwa jadi begitu lemah dan tak bermaya. Kenapa?

Pengadu (complainant), kata seorang hakim dalam satu kes di India, ibarat roda yang memulakan pergerakkan mana-mana kenderaan. Daripada situlah kenderaan mula digerakkan. Nak kata betapa pentingnya keterangan saksi pengadu.

Namun dalam kes Abang Mat ini, nampaknya kesaksian saksi pengadu ni ibarat sudah “hancur berkecai” dimusnahkan oleh WMD (Weapon Of Mass Destuction) yang dipanggil pemeriksaan balas. Logiknya kes Abang Mat sepatutnya berakhir di situ sahaja. Namun tidak. Pendakwa masih tidak mahu mengalah! Mereka beritahu Mahkamah akan panggil saksi-saksi pendakwa yang lain.

Dalam senarai saksi pendakwa yang diberi kepada kami, saya lihat nama seorang saksi yang bagi saya, agak menarik… professor sejarah, Prof Khoo Kay Kim. Wow! Saya menjerit dalam hati. Kes ini makin bertambah menarik dari satu hari ke satu hari.

Apa pun, Prof Khoo Kay Kim adalah saksi terakhir yang dipanggil oleh pendakwa. Dan saya akan cerita nanti insya Allah bagaimana keterangannya di Mahkamah khususnya masa disoal balas oleh saya. Saya amat hormati Prof. Khoo dan masa remaja dulu, saya paling suka membaca ulasan profesional dia mengenai sukan khususnya sukan bolasepak di negara ini. Hal itu saya maklumkan kepada beliau di luar mahkamah selepas saya soal balas dia.

Banyak cerita menarik yang berlaku semasa saya soal balas Prof Khoo, tapi yang paling saya tak lupa kenyataan dia mengenai Prof Ramlah Adam semasa saya soal balas dia. Dia kata Prof Ramlah Adam tu pemimpin Perkasa nombor 2. Sebenarnya Prof Ramlah Adam bekas anak murid Prof Khoo Kay Kim.

Prof Ramlah Adam salah seorang yang mengkritik ucapan Abang Mat dalam akhbar. Tapi ada satu lagi aspek menarik tentang Ramlah Adam. Dia ialah salah seorang dari editor buku “Pengukir Nama Johor” yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Johor dengan kata pengantarnya ditulis oleh mantan MB Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

Buku “Pengukir Nama Johor” mungkin tak ada siapa yang tahu kewujudannya (termasuk saya dan Abang Mat) kecuali orang tertentu. Namun bila kes Abang Mat disensasikan sebegitu rupa, tiba-tiba buku tersebut “hidup semula” dan laris macam goreng pisang panas.

Kerajaan Johor patutnya kena berterima kasih kepada Abang Mat. Mengapa buku itu laris? Apa yang istimewa tentang buku itu? Tunggu penjelasannya di siti akan datang.

7.0
OVERALL SCORE
: 3.0
4 user votes x 8.0
CATEGORIES
TAGS