Nota Peguam Siri 6: Kes fitnah Bukit Kepong popularkan Mat Indera

Mohamad menunjukkan kandungan buku “Pengukir Nama Johor” yang turut memaparkan Mat Indera sambil diperhatikan Salahuddin Ayub.

DALAM nota saya sebelum ini, saya ada buat coretan tentang sebuah buku yang berjudul “Pengukir Nama Johor” yang diterbitkan oleh “Yayasan Warisan Johor” dengan kata pengantarnya ditulis oleh mantan Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Jika kita lihat buku tersebut di kulit depannya yang berwarna merah terpapar foto beberapa individu “anak jati Johor” yang diiktiraf sebagai pengukir nama Johor. Buku ini yang awalnya mungkin tak begitu dikenali, tiba-tiba menjadi laris seperti goreng pisang panas kerana kewujudan ucapan Abang Mat (Mohamad Sabu) di Pulau Pinang yang dikontroversikan lalu menggegarkan seluruh negara!

Antara foto di muka hadapan buku tersebut adalah foto Almarhum Mat Indera yang namanya disebut dan disanjung oleh Abang Mat dalam ucapannya, tapi tak digemari oleh pihak-pihak tertentu lalu memilih untuk mensensasikan ucapan itu; atau seperti kata orang putih, mereka telah “blew the said speech out of proportion” dengan tujuan yang amat keji, agar Abang Mat dikecam dan dikeji!

Saya akui pada mula isu panas ini dimanupulasi sebegitu rupa, isu itu nampaknya tidak memihak atau menguntungkan Abang Mat dan kelihatannya macam memihak kepada musuh politik Abang Mat. Tapi kita mungkin lupa yang Allah itu Maha Berkuasa. Lihat sahaja kisah Firaun dan Nabi Musa a.s. Firaun gubal polisi bunuh mana-mana bayi lelaki kerana bimbang bayi lelaki itu akan tumbangkan kekuasaanya. Namun, tiba-tiba muncul seorang bayi lelaki di istana Firaun dan bayi itulah (Nabi Musa a.s.) akhirnya yang menjatuh dan menghancurkan kekuasaan Firaun.

Dengan tidak disangka dan dijangka, tiba-tiba buku yang meletakkan nama arwah Mat Indera sebagai pengukir nama Johor muncul di tengah-tengah masyarakat. Kehadiran buku itu bagaikan satu tumbukan ke muka Umno/BN. Jika sebelum itu, suhu mereka yang marah dan kecam Abang Mat kelihatan sangat tinggi, tiba-tiba suhunya mula menurun agak mendadak bila buku itu tiba-tiba menjelma. Ia bagaikan bahtera penyelamat kepada Abang Mat.

Sebagai peguambela Abang Mat, sudah tentu kami jadikan buku itu sebagai “trump card” (faedah besar) kepada kami. Tanpa ragu lagi, kami gunakan semaksimumnya buku itu dalam perbicaraan. Justifikasi kami mudah; bukan Abang Mat seorang sahaja yang “mengangkat” atau “menjulang” nama Almarhum Mat Indera tapi pihak lain juga. Yang bagus lagi, orang yang dikatakan pakar sejarah dan terlibat juga mengkritik Abang Mat (Prof Ramlah Adam) rupa-rupanya terlibat dalam penerbitan buku “Pengukir Nama Johor” itu.

Begitu juga pemimpin Umno iaitu mantan MB Johor juga dalam kata pengantarnya secara tidak langsung mengiktiraf Almarhum Mat Indera sebagai pejuang Kemerdekaan.

Sebenarnya, kami menjangkakan pihak pendakwa mungkin akan memanggil Prof. Ramlah Adam atau Tan Sri mantan MB Johor sebagai saksi mereka. Namun jangkaan kami meleset. Pendakwa tak mahu nampaknya memanggil mereka sebagai saksi. Tak tahu kenapa? Jika dipanggil barangkali perbicaraan itu akan bertambah meriah!

Saya sebenarnya sudah benar-benar bersedia untuk menyoal balas sama ada Prof. Ramlah Adam atau mantan MB Johor andai kata pendakwa mensapina mereka sebagai saksi.

Apa teori kes pendakwa?

Bagi kami, antara lain, teori kes mereka adalah Balai Polis Bukit Kepong telah diserang oleh gerila Komunis. Dan memandangkan Almarhum Mat Indera hadir di dalam serangan itu (meskipun ada bukti daripada arkib sejarah sendiri yang tunjukkan beliau tidak terlibat membunuh mana-mana anggota polis atau membakar balai polis, malahan ada bukti yang menunjukkan beliau selamatkan polis yang tercedera dan keluarga polis), maka pendakwa cuba menggambarkan Almarhum Mat Indera adalah Komunis. Lalu, bagi pendakwa, apabila Abang Mat mengangkat Almarhum dalam ucapannya, beliau dikira mengangkat Komunis. Itulah antara lain, teori kes pendakwa.

Andai kata pendakwa memanggil sama ada Prof. Ramlah Adam atau mantan MB Johor, apa agaknya soalan saya pada mereka?

Insya Allah soalan saya berbunyi begini, “Prof/Tan Sri, adakah anda ingin katakan Almarhum Mat Indera seorang Komunis?”

Katakan mereka jawab tidak, maka soalan berikut saya berbunyi, “Oleh kerana Prof/ Tan Sri kata arwah Mat Indera bukan Komunis, so sebab itulah Prof/Tan Sri tidak ada masalah mengangkat arwah Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang lawan penjajah British dan memandangkan beliau adalah anak watan Johor, maka arwah juga diiktiraf sebagai salah seorang tokoh yang mengukir nama Johor, justeru itu di mana salahnya Haji Mohamad Sabu bila dia juga mengangkat Almarhum Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang lawan penjajah British?”

Jika saksi tersebut katakanlah tidak bersetuju dengan saya yang arwah Mat Indera bukan Komunis (maknanya arwah adalah Komunis), maka soalan saya kepada mereka, “Prof/Tan Sri ambil pendirian sekarang yang Almarhum Mat Indera adalah Komunis, bukankah dengan kewujudan buku “Pengukir Nama Johor” yang antara lain mengangkat arwah Mat Indera sebagai individu yang mengukir nama Johor, maka Prof/Tan Sri yang terlibat secara langsung dalam penerbitan buku tersebut hakikatnya juga mengiktiraf seorang Komunis Melayu daripada Johor sebagai ‘pengukir nama Johor’? Jadi di mana salahnya Mat Sabu bila dia juga mengangkat nama Almarhum Mat Indera?”

Buku “Pengukir Nama Johor” terbitan Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Jadi bagi saya, tak kiralah sama ada Prof. Ramlah Adam atau Tan Sri mantan MB Johor mengiktiraf Almarhum Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan atau sebagai seorang Komunis sekalipun, mereka tak akan dapat lari daripada hakikat yang Almarhum Mat Indera ialah ‘pengukir nama Johor’. Adakah masuk akal orang jahat diiktiraf pengukir nama Johor?

Teringat saya semasa menjadi peguam kes petisyen Dun Ladang Terengganu satu waktu dulu ketika mewakili Adun Pas Ladang.

Saya telah tanya soalan kepada salah seorang saksi pihak pempetisyen yang diwakili oleh Tan Sri Shafie Abdullah. Bila saya soal saksi, Tuan Hakim beritahu saksi, “Jawab sahajalah soalan Encik Hanipa tu, tak payah fikir panjang-panjang, kamu jawab ya pun kamu kena, kamu jawab tidak pun kamu kena!”

Nak tergelak saya dengan “remarks” hakim tersebut. Oh ya, kes itu kami menang! BERSAMBUNG
_______________________
Mohamed Hanipa Maidin ialah Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) dan peguam Mohamad Sabu dalam kes fitnah peristiwa Bukit Kepong.

8.0
OVERALL SCORE
: 3.0
6 user votes x 8.8
CATEGORIES
TAGS