Nota Peguam Siri 7: Saksi-saksi tua dan uzur sukarkan pendakwa

Mohamad berjalan keluar daripada kamar Mahkamah Sesyen Butterworth diiringi Hanipa dan Adun Pengkalan Pasir Datuk Saleh Man.

SEPERTI yang saya sebut sebelum ini, ramai orang yang ingat Abang Mat (Mohamad Sabu) telah menang perbicaraan kes beliau didakwa memfitnah polis Bukit Kepong selepas saksi pertama pendakwa, Visva Nathan secara terbuka memohon maaf kepada Abang Mat di dalam Mahkamah dan secara terbuka juga meminta Mahkamah membebaskan Abang Mat.

Tetapi realitinya tidak begitu. Pendakwa masih teruskan kes dengan memanggil saksi-saksi mereka yang lain.

Dalam kes ini, pendakwa hakikatnya telah memanggil 11 orang saksi kesemuanya. Saya tak bercadang untuk ulas keterangan setiap saksi sebab itu bukan matlamat nota atau coretan saya ini. Saya akan cuba hanya tonjolkan aspek-aspek tertentu daripada kes ini, insya Allah.

Izinkan saya beri komen sikit apakah kesukaran besar pendakwa dalam kes ini. Jawapannya adalah tempoh masa dan keadaan saksi yang relatifnya sama ada sudah tua atau uzur. Inilah bagi saya, yang mungkin tidak begitu disedari oleh musuh politik Abang Mat. Bagi saya, tindakan tidak profesional musuh politik Abang Mat yang terlalu ingin “mematikan riwayat politik” Abang Mat dengan isu ini telah secara tidak langsung memberi satu tekanan (pressure) yang tak perlu dan tak wajar kepada pasukan pendakwa.

Saya boleh rasakan tekanan kepada pihak pendakwa itu. Pihak pendakwa mungkin tak begitu berminat untuk mendakwa Abang Mat kerana kekangan-kekangan yang mereka hadapi. Namun apabila orang politik sudah bersuara, apakah opsyen yang mereka ada? Ini bacaan sayalah. Mungkin saya silap.

Bagi saya, memandangkan insiden Bukit Kepong berlaku pada tahun 1950 dan mangsa yang terkorban tak boleh nak bagi keterangan dan waris-waris mereka yang masih hidup sama ada sudah terlalu uzur atau lanjut usia, ia sekaligus menjejaskan daya ingatan mereka. Apatah lagi semasa tragedi itu berlaku, waris-waris itu, jika hidup sekalipun, masih tersangat kecil – masih kanak-kanak!

Memori seseorang saksi berkait rapat dengan kualiti keterangan atau kesaksian mereka. Jika memori mereka terjejas kerana misalnya, faktor usia atau tempoh masa kejadian, ia juga dalam masa yang sama turut menjejaskan mutu keterangan mereka di Mahkamah. Mungkin keterangan mereka semasa disoal oleh pendakwa semasa pemeriksaan utama (examination in chief) masih boleh dikawal naratifnya, namun naratif semasa disoal-balas oleh peguambela OKT (orang kena tuduh) adalah sama sekali di luar kawalan saksi mahupun pihak pendakwa.

Perkara terbaik yang mungkin pendakwa boleh lakukan adalah sekadar membuat spekulasi kemungkinan-kemungkinan soalan yang akan ditanya oleh peguambela OKT. Spekulasi itu mungkin berasaskan corak atau “pattern” soal balas peguambela OKT ke atas saksi-saksi pendakwa sebelum itu. Namun, seorang peguambela yang berpengalaman akan sentiasa mempelbagaikan corak, “style” atau “pattern” soal balas mereka lalu menyukarkan pihak pendakwa untuk membacanya.

Dan itulah yang saya lakukan dalam kes Abang Mat. Saya tak gunakan orang kata teknik “one size fits all” dalam soal-balas saya ke atas saksi-saksi pendakwa. Sebaliknya, saya variasikan atau pelbagaikan. Itu teknik saya dari dulu dan selalunya teknik itu Alhamdulillah berkesan untuk saya.

Dalam kes ini, pendakwa telah memanggil antaranya waris-waris keluarga polis yang terkorban dalam insiden Bukit Kepong. Antaranya anak arwah Yusoff Rono iaitu Nazir Yusoff dan anak perempuan arwah Konstabel Jaafar Hassan yang bernama Puan Azlas Jaafar. Kedua-dua mereka sudah uzur dan berkerusi roda.

Secara jujur, saya amat-amat simpati dengan mereka. Puan Azlas bukan sahaja uzur malahan tak boleh berjalan jauh. Maka keterangannya terpaksa diberikan di Mahkamah di Kuala Trengganu. Tidak lama selepas beliau beri keterangan, beliau telah pulang ke rahmatullah. Moga Allah merahmati arwah. Amin.

Arwah Puan Azlas semasa pemeriksaan balas oleh saya mengakui yang laporan polis yang dikatakan miliknya bukan dia yang buat. Sebaliknya, dia kata jiran dia yang tolong buatkan. Arwah juga mengaku tandatangan dalam laporan polis juga bukan miliknya. Arwah kata beliau tak tahu membaca.

Dalam pemeriksaan balas ada satu peraturan “jangan tanya soalan yang kamu tak tahu jawapannya”. Ia berisiko. Tapi saya ambil risiko itu semasa soal balas arwah Puan Azlas. Saya tanya dia “setuju tak puan dengan saya jiran yang tolong puan buat laporan polis tu adalah orang Umno?” Saya terkejut bila dia jawab ya.

Encik Nazir Yusuf pula seorang saksi yang amat gemar bercakap. Orang putih kata “talkative”. Keterangannya semasa disoal oleh pendakwa, kami boleh ramalkan – salahkan Abang Mat sepenuhnya. Kami tak rasa itu perkara luar biasa sebab mana ada anak yang tak marah bila ayah mereka terkorban dalam sebuah tragedi. Itu lumrah.

Walaupun pahit, saya kena juga jalankan tanggung jawab saya menyoal balas saksi tersebut. Tapi pendekatan saya bukan agresif atau berkonfrontasi dengan saksi.

Saya mulakan soal balas saya dengan tanya saksi adakah dia mendengar sendiri ceramah Abang Mat. Dia jawab dia dengar dalam berita Buletin Utama di TV3 pada hari yang sama Abang Mat ceramah itu. Daripada keterangan sebegitu saya kata dalam hati, “Habislah kamu!”

Saya tanya lagi, ” Encik Nazir, berita Buletin di TV3 jam 8 malamkan?”

Dia jawab, “Ya.”

Saya tanya lagi, “Haji Mat Sabu hanya mula ceramah pada malam itu dalam jam hampir 11 malam. Bagaimanakah encik boleh tonton ceramah Haji Mat Sabu di TV3 jam 8 malam di hari yang sama bila ceramah tu belum bermula lagi?”

Saya kunci dia kat situ. Saya lihat dia terpaku dan terdiam.

Kemudian dia bercakap semula, “Yang Arif, yang itu saya tak tahu, peguam kena tanya TV3. Yang Arif boleh tak peguam tanya soalan lain.”

Kenyataan terakhir saksi itu mengundang keriuhan di Mahkamah dengan gelak ketawa.
_________________________
Mohamed Hanipa Maidin ialah Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) dan peguambela Mohamad Sabu dalam kes fitnah Bukit Kepong.

8.3
OVERALL SCORE
: 3.0
3 user votes x 10.0