Nota Peguam Siri 8: Kisah adik Mat Indera dan Prof Khoo Kay Kim

Baharom (kanan), adik Allahyarham Mat Indera sentiasa mengikuti perbicaraan kes saman fitnah Bukit Kepong.

SAYA rasa perlu disebut di sini salah seorang penyokong yang tak pernah letih memberi sokongan moral kepada Abang Mat (Mohamad Sabu). Beliau ialah Saudara Baharom Indera- adinda kandung Allahyarham Mat Indera!

Seingat saya, beliau tidak pernah “miss” setiap perbicaraan Abang Mat tak kira di mana ia diadakan. Walaupun tinggal di Kuala Lumpur, beliau sanggup hadir perbicaraan di Pulau Pinang sama ada menaiki bas atau kereta api. Kehadiran beliau benar-benar memberi Abang Mat dan kami sekali sokongan moral dan semangat!

Kembali ke dalam bilik Mahkamah. Bagi membuktikan isi ceramah Abang Mat, pendakwa bukan sahaja “produced” VCD ceramah Abang Mat, malahan VCD itu juga dimainkan, jika tak silap saya sebanyak dua kali dalam perbicaraan. Maka seluruh warga Mahkamah yang ada pada masa VCD itu dimainkan, berpeluang menonton “in toto” (keseluruhan) ceramah di dalam VCD Abang Mat itu.

Jelas daripada VCD ceramah Abang Mat itu, beliau bukan sekadar menyentuh isu kemerdekaan khususnya tragedi Bukit Kepong. Banyak isu lain yang Abang Mat juga sentuh. Dan banyak juga “scenes” yang Abang Mat buat lawak (jokes), saya lihat hakim dan pendakwa juga tersenyum dan gelak kecil.

Saya juga beberapa kali tergelak. Contohnya, ketika Abang Mat sentuh tentang Sasterawan Negara, Pak Samad (Datuk Seri A. Samad Said) yang meskipun sudah lanjut usia masih hadir turun perhimpunan aman menentang PPSMI (Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris). Abang Mat kata dia kagum dengan Pak Samad. Dia kata Pak Samad orangnya berjiwa lembut dan seni. Sebab tu, kata Abang Mat, bila dia “beradu” (tidur dengan isterinya) dia akan sempat berpantun atau bergurindam terlebih dahulu sebelum bantal yang jadi pengadang di tengah kati dialihkan. “Tak macam kita,” kata Abang Mat, “terus menyondol je”. Semua dalam Mahkamah pakat gelak!

Saya tak tahu apa strategi pendakwa yang bersungguh nak mainkan juga VCD ceramah Abang Mat. Bagi kami, dengan memainkan VCD ceramah itu dan hakim dapat tonton keseluruhan ceramah Abang Mat, ia makin membantu kes Abang Mat sekaligus merugikan pihak pendakwa. Kerana apa? Kerana pihak Mahkamah dapat lebih mudah menghargai konteks sebenar ucapan Abang Mat. Jelas konteks ucapan Abang Mat sangat berbeza dengan cara Utusan dan TV3 mainkan atau lebih tepat memanupulasi ucapan Abang Mat itu.

Sebab itu semasa di Mahkamah Tinggi, ketika menolak rayuan pihak pendakwa dan mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang putuskan Abang Mat tidak bersalah dan tak perlu dipanggil bela diri, Hakim berkata, konteks ucapan Abang Mat bukan sebenarnya menghina anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong. Sebaliknya, Hakim juga kata, Utusan telah ’embellish’ (menokok tambah) ucapan Abang Mat tersebut, misalnya dengan menyebut perkataan Komunis dan sebut nama pemimpin Komunis berbangsa Cina yang sama sekali tidak disebut langsung oleh Abang Mat!

Saya juga masih ingat semasa pendengaran rayuan pihak pendakwa di Mahkamah Rayuan (yang juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan), Hakim juga berulang kali tanya pihak pendakwa, apakah konteks ucapan sebenar Abang Mat? Hasrat pendakwa nak tayang semula ucapan Abang Mat di Mahkamah Rayuan juga ditolak. Kami sebenarnya tidaklah membantah. Saya bergurau dengan rakan peguambela, Saudara Amin jika Hakim benarkan penayangan video ceramah Abang Mat, dia kena sediakan tiga borang Parti Amanah Negara (AMANAH). Mana tahu lepas tu tiga hakim tersebut nak masuk AMANAH!

Jelas mana-mana orang yang berfikiran munasabah (any reasonable man) akan mudah memahami, jika mendengar keseluruhan ucapan Abang Mat dan melihat secara adil konteks sebenar ucapan beliau, Abang Mat tidak sama sekali menghina mana-mana anggota polis. Sebaliknya, ucapan beliau lebih kepada mengkritik cara pemerintah menyambut Hari Kemerdekaan di negara ini. Cara pemerintah sambut Hari Kemerdekaan seolah-olah ianya menjadi perayaan Umno sedangkan mereka yang terlibat sama menentang penjajah seperti Tok Janggut seolah-olah dilupakan.

Justeru itu, semasa menyoal saksi pendakwa, khususnya ketika saya menyoal pegawai penyiasat dan Prof. Khoo Kay Kim, saya tanya saksi-saksi itu bahawa apa yang dikatakan oleh Abang Mat itu hakikatnya juga dikatakan oleh orang lain contohnya penulis yang kata Almarhum Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan di dalam buku “Pewaris Nama Johor”.

Saya masih ingat ketika menyoal balas pegawai polis yang menjadi pegawai penyiasat (IO). Saya tanya dia, “Encik setuju tak, apa yang OKT sebut dalam ceramah beliau hakikatnya juga disebut oleh orang lain, tetapi kenapakah ianya dijadikan isu?” Beliau menjawab, “Sebab apa yang OKT cakap tak sama dengan apa yang pihak satu lagi cakap”. Makna mudahnya tidak sama dengan apa yang pemerintah cakap.

Prof. Khoo Kay Kim yang dipanggil sebagai saksi pakar sejarah cuba mengemukakan teori bahawa Tanah Melayu tak pernah dijajah. Justeru itu, dia juga mempertikaikan sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Saya boleh faham logik beliau. Jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah, di mana keperluannya untuk sambut merdeka?

Saya berpendapat sama ada Tanah Melayu pernah dijajah atau tidak lebih kepada isu semantik. Hakikatnya, penjajah memang datang ke negara ini, rompak harta benda dan hasil mahsul negara seperti bijih timah, perkenal budaya dan undang-undang mereka (contohnya common law). Maka, saya mencabar teori Prof. Khoo Kay Kim yang kata Tanah Melayu tak pernah dijajah.

Antaranya saya tanya dia, ” Prof setuju tak dengan saya bahawa pendirian Prof yang Tanah Melayu tak pernah dijajah dan tidak perlu ada kemerdekaan adalah satu pendapat yang sebenarnya tidak dipegang atau dikongsi oleh kerajaan yang ada seperti mana kenyataan rasmi Timbalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat (sambil tunjukkan Hansard Parlimen). Dia jawab, “Saya setuju.”

Saya juga tanya Prof Khoo, “Jika Prof berpendapat Tanah Melayu tak pernah dijajah dan tiada keperluan sambut kemerdekaan, jadi mengapa kita sambut Hari Kemerdekaan setiap tahun dan mengapa kita panggil Tun Abdul Rahman sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’. Lepas ni nak panggil Tun Abd Rahman apa pula?”

Saksi saya lihat hanya tersenyum dan tak jawab apa-apa.

Saya juga rujuk buku Sejarah Tingkatan 5 (atau Darjah 5, saya tak berapa ingat) yang ditulis oleh Prof. Ramlah Adam yang juga guna perkataan seperti “dijajah”, “penjajah British” dan perkataan “merdeka” kepada Prof Khoo Kay Kim.

“Itu yang dia kata. Prof. Ramlah Adam tu pemimpin nombor dua Perkasa dan saya tak setuju dengan pendapat dia,” jawab Prof Khoo.

Bila saksi kata tak setuju, saya soal pula soalan ini, “Prof, macam mana Prof tak setuju. Cuba lihat nama penasihat-penasihat dalam buku itu, nama Prof dinyatakan secara jelas antara penasihat buku tersebut?”

Saya lihat saksi terkejut besar dan macam tersipu-sipu, lalu beliau berkata, “Saya tak tahu perkara itu, penulis tak pernah minta izin saya untuk jadi penasihat.”

Saya lalu berkata pada saksi, “Tak apa Prof, jika Prof nak saman, boleh contact (hubungi) saya.”

Dia tertawa, Saya dan seluruh isi Mahkamah juga tertawa sama. BERSAMBUNG
_____________________
Mohamed Hanipa Maidin ialah Ketua Biro Undang-Undang AMANAH dan peguambela Mohamad Sabu dalam kes fitnah peristiwa Bukit Kepong.

CATEGORIES
TAGS