Nota Peguam Siri 9: Soal balas peguam ‘peningkan’ Prof Khoo Kay Kim

Mohamad bersalam dengan Prof Khoo Kay Kim seusai tokoh sejarawan itu memberi keterangan di mahkamah.

DARI segi susunan saksi pendakwa, Prof. Khoo Kay Kim dipanggil sebagai saksi terakhir pendakwa iaitu saksi yang ke-11. Seperti yang saya sebut sebelum ini, beliau dipanggil sebagai saksi pakar sejarah khususnya mengenai pergerakan Komunis dan gerakan subversif di negara ini.

Namun yang menariknya ,berdasarkan keterangan beliau sendiri, kajian beliau hanya untuk tempoh tahun tertentu dan tidak merangkumi sehingga tahun 1950 – tahun berlakunya tragedi Bukit Kepong!

Bagaimanapun, ada beberapa aspek keterangan Prof. Khoo Kay Kim yang saya rasa mungkin juga elok saya kongsi di sini. Antaranya, keterangan beliau mengenai mungkir janji British kepada Parti Komunis Malaya (PKM).

Menurut Prof. Khoo, PKM telah membantu British untuk menentang askar Jepun yang menyerang Malaya. Kata Profesor bukan sahaja British membekalkan senjata kepada PKM, malahan British juga berjanji kepada PKM untuk membenarkan PKM bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah selepas Jepun keluar daripada Malaya dan British mengambil semula kuasa di Malaya. Namun kata Prof. Khoo, British telah mungkir janji. Mengapa?

Jawapannya kerana British telah diancam atau diugut oleh Amerika Syarikat. Pada masa itu, kata Prof. Khoo, Amerika adalah pengimport atau pembeli utama hasil mahsul dan bahan-bahan galian negara ini yang ‘dirompak’ oleh penjajah British dari negara ini. Amerika Syarikat telah mengugut British untuk tidak mahu membeli hasil mahsul dan bahan-bahan galian daripada British jika British memberi kebenaran kepada PKM untuk bergerak secara sah sebagai sebuah parti politik di negara ini. Daripada nada Prof. Khoo Kay Kim, saya dapat rasakan beliau juga nampaknya seolah-olah tak setuju dengan tindakan British itu.

Kesan daripada kemungkiran janji British tersebut, PKM merasa amat marah dan bengang dengan pihak British. Dan berbekalkan senjata yang British sendiri pernah berikan, PKM yang berang dengan tindakan mungkir janji British itu mula menentang kuasa penjajah tersebut melaui penentangan bersenjata. PKM menjadikan hutan belantara sebagai tempat penyembunyian mereka dan juga markas mereka untuk menyerang British dan apa-apa sahaja kepentingan British. Serangan mereka adalah ala-ala serangan gerila.

Satu hakikat yang kita kena terima, meskipun pahit adalah pada masa penjajahan British, pasukan keselamatan British bukan terdiri daripada rakyat British sahaja. Akan tetapi mereka juga datang dari pelbagai negara jajahan British. Tak boleh diragui, mereka juga secara logiknya terlibat secara langsung atau secara tidak langsung menjaga dan melindungi kepentingan penjajah British. Ini juga mesej yang saya nampak Abang Mat cuba sampaikan dalam ceramahnya itu.

Saya agak minat subjek sejarah semasa di sekolah dan semasa STPM, saya entah macam mana merangkul A untuk subjek sejarah. Namun info tentang kenapa PKM berang dengan British lalu menyerang British (hasil daripada British mungkir janji) tak pernah saya dengar sebelum ini. Cikgu pun, seingat saya, tak pernah ajar perkara itu. Dalam buku teks sejarah di sekolah pun tak ada info itu. Apa yang Prof. Khoo beritahu dalam Mahkamah, itulah pertama kali saya dengar. Dalam hati saya berkata, “Bagus juga ada kes ini-dapat ilmu baru!”

Saya juga menyoal Prof. Khoo bahawa untuk mengekang kemaraan PKM, British telah menggubal Akta Hasutan 1948 yang ditiru daripada model Akta yang hampir sama di India. Beliau setuju. Profesor juga setuju dengan saya bila saya tanya dia dengan soalan ini, “Prof. setuju tak jika saya katakan bagi nak tangkap anggota PKM kerana menghasut, ia agak sukar, maka dalam Akta Hasutan yang British gubal itu, anggota-anggota PKM boleh ditangkap dan didakwa hanya jika mereka ada kecenderungan menghasut (a mere seditious tendecy)?” Sekali lagi beliau setuju.

Semasa berbahas pindaan ke atas Akta Hasutan di Parlimen, saya memetik semula apa yang dikatakan oleh Prof. Khoo tentang tindakan Penjajah British yang mungkir janji dengan PKM itu.

Saya kata dalam parlimen, “Dulu penjajah British mungkir janji dengan PKM, janji nak benarkan PKM bergerak secara sah sebagai parti politik tapi mungkir. Kini sejarah lama berulang semula. Kerjaan BN melalui YB Pekan berjanji pada rakyat untuk hapuskan Akta Hasutan dengan janji juga untuk tukar dengan satu Akta yang lain. Tetapi bukan sahaja BN mungkir janji dengan tidak menghapuskan Akta tersebut, malahan BN juga guna (baca salah guna) Akta tersebut untuk menangkap dan mendakwa musuh politik BN dan BN juga guna Parlimen untuk pinda Akta tersebut dengan memasukkan pindaan-pindaaan yang semakin zalim dan drakonian!”

Selepas Prof. Khoo habis memberi keterangan, Abang Mat dan saya dapat berjumpa seketika dengan beliau di luar Mahkamah. Abang Mat dan saya bersalam dengan beliau. Saya tak pasti Amin atau Nasar juga bersalam dengan Prof. Semasa bersalam dengan saya (masa itu ramai orang mengelilingi beliau), Prof. Khoo berkata, “Peguam ni (ia rujuk kepada saya) betul-betul bagi saya pening dengan soalan-soalan dia”. Orang ramai tertawa.

Saya juga tak menyangka penafian Prof. Khoo yang beliau ada dihubungi oleh penulis buku teks Sejarah yang guna (atau salahguna) nama beliau dan nama Tan Sri Dr Ainuddin Wahid sebagai penasihat rupa-rupanya menjadi isu yang dibincangkan di Kementerian Pendidikan.

Saya diberitahu hal tersebut dari seorang kenalan saya yang kebetulan bekerja di Kementerian tersebut. Tiba-tiba saya teringat sebuah kes lama yang juga pernah saya kendalikan satu waktu dulu. Semasa saya mengendalikan kes tiga pelajar sekolah berserban yang dibuang sekolah di Sekolah Kebangsaan Felda Serting, Negeri Sembilan, saya juga diberitahu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban yang memutuskan memihak kepada tiga pelajar berserban itu juga dibincangkan di dalam satu program dalaman di Kementerian.

Selain Prof Khoo Kay Kim, seorang lagi saksi yang agak sudah lanjut usia juga dipanggil oleh pendakwa. Saksi itu adalah Dato JJ Raj. Jika tidak silap saya pada masa insiden Bukit Kepong berlaku, beliau adalah OCPD Pagoh di Muar. Keterangan beliau direkodkan di mahkamah di Petaling Jaya atas permintaan pihak pendakwa di atas alasan beliau tak boleh berjalan jauh. Kami tidak membantah. Saya hanya pernah lihat foto beliau sebelum ini dan pernah baca kisah beliau tetapi tidak pernah berjumpa “in person”.

Saya harus katakan di sini bahawa saya amat kagum dan cemburu dengan keadaan fizikal dan tahap kesihatan beliau meskipun umurnya sudah lanjut. Beliau seorang individu yang penampilannya kelihatan seperti tidak dimamah usia. Beliau masih mampu bercakap dengab suara yang terang dan nyata dan kelihatan periang. Untuk berlaku jujur, saya menyukai dan mengagumi beliau. Keterangannya bagaimapun lebih menceritakan kepada mahkamah pasca tragedi Bukit Kepong apabila dia mengakui menziarahi Balai Polis Bukit Kepong yang musnah terbakar sehari selepas insiden berlaku.

Memandangkan keterangan beliau, kami dapati tidak begitu “damaging” kepada Abang Mat, malahan saya berani kata tidak begitu relevan dengan kertas pertuduhan, saya memilih untuk tidak menyoal balas beliau dengan panjang.

Selepas kesemua sebelas saksi pendakwa telah dipanggil, pendakwa pun menutup kes mereka. Maka Mahkamah nenetapkan tarikh untuk penggulungan hujah di akhir kes pendakwa (submission at the end of the prosecution case).

Tujuan penggulungan itu adalah bagi memastikan sama ada pihak pendakwa telah membuktikan satu kes prima facie ke atas Abang Mat atau tidak. Jika pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie, maka Abang Mat akan dipanggil oleh Mahkamah untuk membela diri. Jika tidak berjaya buktikan kes prima facie, Abang Mat akan diperintahkan untuk dibebaskan dan dilepaskan (discharge and acquittal) oleh Mahkamah!

Apa dia prima facie? Susah nak bagi definisi secara literal. Dalam negara ini, mahkamah antara lain perlu membuat satu penilaian maksimum (maximum evaluation) ke atas keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa. Ada mahkamah yang putuskan tahap pembuktian itu agak tinggi iaitu ‘melampaui keraguan munasabah’.

Jadi tugas kami adalah untuk berhujah bagi pihak Abang Mat yang pendakwa telah gagal membuktikan kes prima facie ke atas Abang Mat selepas mereka panggil kesemua saksi mereka dan kemukakan keterangan dokumentari seperti gambar, VCD dan sebagainya.

Dan jika kami berjaya yakinkan hakim, kami insya Allah boleh minta mahkamah membebaskan Abang Mat tanpa beliau perlu dipanggil membela diri.
__________________
Penulis ialah Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH dan peguambela Mohamad Sabu dalam kes fitnah peristiwa Bukit Kepong.

8.3
OVERALL SCORE
: 3.0
5 user votes x 9.4