Nota Peguam Siri Akhir: Kemenangan mutlak akhirnya milik Abang Mat

Mohamad Sabu, barisan peguambela dan Baharom Indera seusai Mahkamah Rayuan membuat keputusan.

SELEPAS keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak rayuan pendakwa lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Butterworth yang menyatakan Abang Mat (Mohamad Sabu) tidak bersalah, saya dimaklumkan rakan peguambela, Amin bahawa pendakwa telah memfailkan notis rayuan kes ini ke Mahkamah Rayuan.

“Tak habis lagi,” saya berbisik dalam hati.

Rayuan di Mahkamah Rayuan akan didengar di Istana Kehakiman (Palace of Justice) di Putrajaya. Kali ini rayuan akan didengar pula oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan. Sudah tentu ia lebih mencabar kerana peguam yang berhujah di rayuan tersebut akan ‘diserang’ oleh tiga orang hakim.

Secara relatif, menjadi peguam perayu lebih mencabar daripda menjadi peguam responden. Ini kerana peguam perayu kena terlebih dahulu meyakinkan tiga orang hakim tersebut mengapakah Hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap. Kadangkala bila para hakim rasa pihak perayu gagal meyakinkan mereka, para hakim terus menolak rayuan perayu tanpa meminta peguam responden menjawab lebih dahulu.

Oleh kerana ini adalah rayuan pihak pendakwa, maka Abang Mat dikira sebagai responden dan pihak pendakwa ialah perayu. Maka dalam konteks tersebut, saya rasa agak lega sikit tapi masih tetap risau. Itu lumrah. Abang Mat seperti biasa, tetap tenang.

Sedikit mengenai proses rayuan. Oleh kerana kes ini bermula di Mahkamah Sesyen (yang dipanggil Mahkamah Rendah), maka dari segi undang-undang, mana-mana rayuan akan secara teknikalnya berakhir di Mahkamah Rayuan, tak kiralah siapa pun yang merayu – sama ada pendakwa atau Abang Mat. Ini kerana setiap kes bicara jenayah, akan ada dua anak tangga rayuan yang diberikan sama ada kepada pendakwa atau OKT.

Ada pun dari segi hiraki rayuan itu sama ada berakhir di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, ianya bergantung di mana OKT dibicarakan pada kali pertama. Jika OKT dibicarakan buat kali pertama di Mahkamah Rendah (sama ada di Mahkamah Majistret atau Sesyen) seperti dalam kes ini, maka sama ada pendakwa atau OKT yang merayu, mereka hanya boleh merayu sebanyak dua kali iaitu kali pertama di Mahkamah Tinggi dan kali kedua (kali akhir) di Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya jika OKT dibicarakan buat kali pertama di Mahkamah Tinggi, maka proses rayuan, sama ada oleh OKT atau pendakwa, hanya ada dua kali juga iaitu pertama di Mahkamah Rayuan dan yang kedua (yang terakhir) di Mahkamah Persekutuan. Contohnya kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia berakhir di Mahkamah Persekutuan kerana kes itu dibicara kali pertama di Mahkamah Tinggi.

Apabila saya menerima 6 jilid rekod rayuan pihak perayu, perkara pertama yang saya lihat adalah petisyen rayuan mereka. Petisyen rayuan adalah pada asasnya “jantung rayuan” kerana ia menyatakan alasan-alasan rayuan tersebut. Dalam petisyen rayuan, biasanya perayu menyenaraikan alasan-alasan mengapa keputusan Hakim di bawah (dalam kes ini, Hakim Mahkamah Tinggi) adalah silap dan wajar dibatalkan atau diketepikan.

Saya tidak ingat berapa sebenarnya jumlah alasan rayuan pihak perayu namun ia berkisar pada satu isu atau satu “point” sahaja iaitu isu kecacatan kertas pertuduhan. Seperti saya sebut dahulu, semasa di Mahkamah Sesyen atau di Mahkamah Tinggi dahulu, kami para peguambela Abang Mat telah agih-agihkan isu ketika berhujah. Dan saya diamanahkan untuk berhujah tentang isu kecacatan kertas pertuduhan (the issue of defective charge).

Kini apabila pihak pendakwa hanya memfokuskan rayuan mereka kepada satu isu sahaja iaitu isu yang saya hujahkan, timbul persoalan adakah pendakwa seolah-olah mensasarkan saya sahaja dalam rayuan ini? Itulah yang Amin fikirkan dan dia beritahu saya hal tersebut semasa hari pendengaran rayuan.

Saya pula tak berfikir macam Amin fikirkan. Apa pun, sekali lagi saya diamanahkan untuk berhujah bagi pihak Abang Mat. Bagaimanapun, tugas saya sedikit sebanyak dimudahkan kerana Amin dengan dibantu Nasar, telah menyediakan hujah bertulis Abang Mat yang bagi hemat saya, “excellent” (cemerlang). Hujah bertulis itu banyak membantu saya.

Pada asalnya rayuan pendakwa ditetapkan untuk pendengaran pada tarikh yang lebih awal daripada 19 Oktober 2017. Tidak silap saya pada awal bulan September 2017, namun kes ditangguhkan kerana saya tak dapat hadir ekoran berada di luar negara.

Bila kes ditetapkan untuk pendengaran rayuan pada 19 Oktober 2017, Abang Mat sekali lagi diwakili oleh 5 orang peguambela yang diketuai oleh saya sendiri. Empat orang lagi peguam itu ialah peguam sama yang mewakili Abang Mat semasa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Kali ini tidak begitu ramai penyokong Abang Mat yang hadir kerana beberapa sebab. Antaranya, ramai yang tak tahu tarikh tersebut. Ramai juga yang masih dalam ‘mood’ bercuti sempena Deepavali. Lokasi Mahkamah di Putrajaya juga agak jauh bagi setengah orang atau penyokong Abang Mat yang rata-ratanya golongan mustad’afin. Bagaimanapun, Presiden Keadilan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan) hadir memberi sokongan moral.

Pendakwa atau perayu diwakili oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya wanita yang agak senior iaitu Puan Nurul Huda Nurul Aini Mohamad Nor. Ini kali pertama saya bertemu dengan beliau sebagai “opponent” dalam Mahkamah. Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan itu pula ialah Hakim Datuk Tengku Maimon Tuan Mat yang mempengerusikan panel rayuan, Hakim Datuk Ahmadi Asnawi (mantan Hakim Mahkamah Tinggi Muar -saya pernah hadir sekali di hadapan beliau di Muar) dan Hakim Datuk Rhodrazariah Bujang.

Pihak perayu memohon untuk memainkan semula VCD rakaman ceramah Abang Mat pada 21 Ogos 2011 di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al-Fahmi, Markaz Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang tetapi permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah. Pengerusi panel rayuan, Datuk Tengku Maimon ketika menolak permohonan pihak pendakwa menyatakan bahawa dalam keadaan transkrip ucapan Abang Mat yang penuh telahpun dilampirkan bersekali dalam kertas pertuduhan, beliau tidak nampak sebarang keperluan untuk VCD ceramah Abang Mat itu ditayangkan semula.

Puan Nurul Huda berhujah dengan menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan kertas pertuduhan adalah cacat. Apabila Hakim Tengku Maimon bertanya beliau dimanakah di dalam kertas pertuduhan yang menunjukkan polis-polis yang dikatakan difitnah oleh OKT itu telah meninggal dunia, pendakwa menjawab OKT tahu maklumat itu.

Apabila tiba giliran pihak responden (Abang Mat) untuk menjawab atau berhujah, hanya saya seorang sahaja peguam Abang Mat yang berhujah. Asalnya, saya bercadang untuk berhujah dalam bahasa Melayu sahaja tetapi entah macam mana, bila mula buka mulut, tiba-tiba terkalih juga ke bahasa Inggeris. Tapi selalunya di Mahkamah Rayuan, amat jarang peguam berhujah dalam Bahasa Melayu.

Pada dasarnya, saya bukan sangat berhujah tapi semacam berdialog dengan para hakim. Mereka bertanya, saya pula menjawab. Saya kata hakim Mahkamah Tinggi betul bila memutuskan yang pertuduhan dalam kes tersebut cacat kerana dalam pertuduhan ke atas Abang Mat, bahan-bahan atau ramuan-ramuan penting (the essential ingredients) bagi tuduhan memfitnah orang mati langsung tak wujud dalam kertas pertuduhan. Dan saya juga kata ketiadaan itu (the said ommission) adalah satu kecacatan yang serius dan “fatal” kerana ia telah secara serius memprejudiskan OKT atau responden dalam kes ini.

Saya juga baca satu persatu “ingredients” yang perlu ada dalam kertas pertuduhan yang dinyatakan di dalam “First Explanation” seksyen 499 Kanun Keseksaan bila Hakim Datuk Ahmadi Asnawi tanya saya apakah “ingredients” yang perlu ada dalam seksyen 499 itu.

Saya juga berkata, dengan ketiadaan bahan-bahan atau ramuan-ramuan yang amat mustahak dan perlu tersebut dalam kertas pertuduhan, maka bukan sahaja pertuduhan itu gagal mendedahkan apa-apa kesalahan yang dikenali di sisi undang-undang (failed to disclose any offence recognised under the law), ia juga menyebabkan OKT tidak tahu apakah kesalahan yang ia didakwa telah lakukan dan OKT sekaligus telah diminta untuk mengagak-agak atau membuat telahan (guessing) dan ini, saya hujahkan, sudah tentu amat menyukarkan OKT untuk menyediakan pembelaannya.

Hakim Tengku Maimon kemudiannya bertanya saya, “Tetapi Perayu kata anakguam anda tahu yang anggota-anggota polis yang dinyatakan di dalam kertas pertuduhan itu telah meninggal dunia. Jadi, kata Perayu anakguam anda tidak diprejudiskan”.

Saya menjawab, “Yang Arif, ini kes jenayah, pendakwa tidak boleh senang-senang membuat anggapan sebegitu. Ada sebab-sebab tertentu dalam kes jenayah pendakwa tidak boleh buat begitu. Kita harus sedar dalam kes jenayah OKT yang lemah berhadapan dengan keseluruhan kekuatan jentera negara. Sebab itu undang-undang menggariskan beberapa prinsip yang universal bagi melindungi OKT yang lemah dan keseorangan berhadapan dengan seluruh kekuatan negara…”

Saya menambah, “Antaranya prinsip anggapan tidak bersalah (preasumption of innocene), prinsip pendakwa memikul tanggung jawab membukti, prinsip pendakwa kena buktikan kes mereka melangkau keraguan yang munasabah (beyond reasonable doubt), prinsip jika ada keraguan, tafsiran yang memihak kepada OKT hendaklah dipilih, prinsip sebarang pertuduhan yang hendak dikenakan ke atas OKT mesti atau wajib terang, jelas dan nyata”.

Saya juga berkata, “Prinsip-prinsip yang saya nyatakan tersebut sengaja digubal bagi melindungi kepentingan OKT dan ia sama sekali tidak boleh dikompromikan dalam apa keadaan jua”.

Jika Razak Centu ada pada masa itu dan dengar hujah itu, silap haribulan dia boleh bertakbir. Tapi dia tak hadir hari itu.

Selepas panel Hakim mendengar semua hujah, Mahkamah menangguh sebentar perbicaraan kerana para hakim ingin berbincang terlebih dahulu. Saya guna masa terluang itu untuk berjumpa, bersalam dan bersembang dengan Abang Mat dan kawan-kawan yang hadir. Pada masa itulah, saya diberitahu Kak Wan juga hadir tapi beliau terpaksa bergegas balik sebab ada urusan.

Pada sebelah petang, Kak Wan menghantar pesanan Whatsapp kepada saya yang beliau ada hadir tetapi terpaksa balik segera sebab, jika tak silap saya, beliau perlu menziarahi adik beliau di hospital. Saya jawab, “No problem Kak Wan, your mere presence is more than enough”.

Apabila Mahkamah bersidang semula, Hakim Datuk Tengku Maimon membaca keputusan iaitu, “Kami tidak mendapati sebarang alasan untuk menyimpang (to depart from) daripada alasan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas OKT adalah cacat”.

Datuk Tengku Maimon juga berkata, “Tiada salah arah daripada Mahkamah Tinggi dan Hakim bicara yang menyimpulkan bahawa pendakwa telah gagal secara mencukupi membuktikan satu kes ‘prima facie’. Maka kami sebulat suara menolak rayuan pihak Pendakwa”.

Alhamdulillah, Abang Mat menang sekali lagi!

Begitulah serba sedikit nota atau coretan rambang saya. Moga boleh memberi sedikit manfaat kepada pembaca.

Maaf jika ada terkasar bahasa atau menyinggung mana-mana pihak. Sebarang kesilapan adalah milik saya sepenuhnya. Allah lebih mengetahui.

______________________
Mohamed Hanipa Maidin ialah Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) dan peguambela Mohamad Sabu dalam kes saman fitnah peristiwa Bukit Kepong.

CATEGORIES
TAGS