NTP 2017: Selesaikan dulu masalah kemiskinan B40 dan pengangguran

NTP 2017: Selesaikan dulu masalah kemiskinan B40 dan pengangguran

ULASAN:Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membentangkan Laporan Program Transformasi Nasional (NTP) 2017.

Pelbagai kejayaan disebut beliau termasuklah penurunan kadar kemiskinan sejak NTP mula dilaksanakan pada 2010.

Dalam perutusan itu, Najib juga mendakwa berlaku peningkatan purata pendapatan bulanan isu rumah dalam kategori B40 iaitu daripada RM1,440 pada tahun 2009 kepada RM2,848 pada tahun 2016.

Tetapi, apabila Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengeluarkan laporan bagi untuk 2017, wujud situasi yang cuba digelapkan atau mungkin dinafi serta diabaikan oleh pentadbiran Umno-BN iaitu mengenai kadar kemiskinan B40 khususnya di Kuala Lumpur.

Menurut laporan BNM, walaupun antara tahun 2014 dan 2016 berlaku peningkatan gaji sebanyak enam peratus iaitu daripada RM2,537 kepada RM2,848. Tetapi pada masa sama kenaikan kos sara hidup juga turut meningkat.

Maka, peningkatan pendapatan yang berlaku hanya sekitar 3.8 peratus atau RM311 sahaja.

Keadaan ini menyebabkan BNM juga terpaksa mencadangkan kepada kerajaan supaya dilaksanakan ‘Gaji Kehidupan Wajar’ supaya kumpulan B40 ini mampu menikmati kehidupan yang sedikit selesa berbanding sebelum ini.

Perbandingan antara laporan NTP dan BNM menyebabkan saya terfikir apakah sebenarnya yang cuba dicapai oleh kerajaan ketika ini?

Walaupun kerajaan bertegas Malaysia sedang menuju status negara berpendapatan tinggi , tetapi pada hemat saya, itu semua tiada gunanya jika pada masa yang sama penduduk negara ini masih hidup dalam tekanan kewangan yang amat mendesak.

Apatah lagi laporan BNM turut mendedahkan kadar pengangguran berlaku antara 3.2 peratus hingga 3.5 peratus berbanding 3.4 peratus pada tahun lalu. Kadar ini melebihi kadar pengangguran negara sebanyak 3.1 peratus. Adakah ini menunjukkan sukarnya para graduan mendapatkan kerja selepas berhempas pulas menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT)?

Dalam keadaan masih ramai yang menganggur, bagaimana pula kerajaan boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi kerana salah satu prasyaratnya adalah peralihan kepada tenaga kerja yang ‘berproduktiviti tinggi, berpendapatan tinggi’ seperti yang disebut oleh BNM?

Saya menggesa kerajaan segera mengambil langkah proaktif dengan memberikan perhatian tentang masalah kemiskinan dan pengangguran ini. Tolong jujur dalam menguruskan masalah negara dan bukan bermain politik angka dan data demi kepentingan kuasa Umno-BN semata-mata.

Malang sekiranya tenaga kerja yang masih muda dan produktif ini gagal digembleng dengan baik untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

*Penulis adalah Ahli Parlimen Kota Raja dan Ketua Awan Nasional

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS