Malaysia Dateline

NUJ Utusan seru SPRM, SSM pantau penjualan aset syarikat

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia, Cawangan Utusan Melayu (M) Bhd (NUJ-UMMB) menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pejabat Peguam Negara dan agensi berkaitan jual beli supaya memantau penjualan aset Utusan.

NUJ-UMMB dalam satu kenyataan yang diedarkan di lobi Parlimen hari ini, berharap perkembangan nasib warga kerja Utusan dapat dibincangkan dalam sesi Dewan Rakyat supaya rakyat di negara ini dapat melihat siapa sebenarnya pejuang dan penindas Melayu.

“Kami menyeru kepimpinan politik negara sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang untuk mengambil maklum perkembangan di Utusan Melayu (M) Bhd.

“Untuk makluman, permit penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! sahaja diselamatkan, manakala kakitangan pula diberikan ‘batu nisan’ melalui notis penutupan syarikat yang dikeluarkan pada 9 Oktober lalu,” kata kenyataan itu.

Kehadiran mereka disambut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Dalam perkembangan sama, Abdullah Sani menegaskan, kezaliman yang berlaku kepada kakitangan Utusan tidak boleh dibiarkan dan pihak pengurusan wajib menyelesaikan masalah tersebut mengikut perjanjian bersama dan akta yang ada dalam negara ini.

“Syarikat Utusan Malaysia ini sudah melanggari,bukan sahaja perjanjian bersama, tetapi jugak dalam Akta Kerja 1955. Saya ingin ingatkan bahawa undang-undang ini kalau dikhianati, pesalah boleh dihukum penjara.

“Perjanjian bersama pula boleh didakwa di bawah Seksyen 56 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang membolehkan dihukum. Maka saya ingin tegaskan dan ingin melihat bahawa tidak ada sesiapa pun boleh mengkhianati sebarang perjanjian bersama.

“Saya dimaklumkan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary membeli dan mengambil alih syarikat Utusan. Justeru, pengurusan yang baharu dan lama harus berbincang menyelesaikan masalah ini dan ‘wajib’ membuat satu keputusan yang tidak melanggari perjanjian bersama,” tegasnya lagi.