Malaysia Dateline

Nukilan Anwar di sebalik tirai besi

Menjelang beberapa bulan lagi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghakhiri tempoh tahanan lima tahun untuk dibebaskan pada 8 Jun ini seperti dijadualkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Anwar dalam satu kenyataan semalam, telah menukilkan rasa hatinya terhadap pemenjaraannya yang bermotifkan politik itu.

“3 tahun berlalu sang penguasa merampas hak saya. Pernah saya gesa diawal 2015: andainya pemenjaraan saya mampu meredakan tekanan ekonomi rakyat; bahawa rasuah akan lebih terkawal dan kezaliman dibendung maka ada jua hasil positif dari penindasan keatas saya.

“Malangnya harga barang meningkat, GST memeras, rasuah merebak meluas, rompakan 1MDB mencecah puluhan billion ringgit. Dan untuk mengalih perhatian rakyat isu perkauman sempit dan kefanatikan agama menular semula.

“Tokoh-tokoh pembangkang termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor menjadi sasaran. Paling memualkan adalah tokoh muda YB Rafizi Ramli menjadi sasaran kerana mendedahkan penyalahgunaankuasa dana penternak berpindah kapada keluarga Menteri.

“Riuh rendah SPRM menyiasat ke hulu hilir tetapi kisah lembu-lembu terpadam. Sebelum itu YB Tian Chua turut menerima tempelakan sama dari penguasa.

“Maka pilihan kita tetap dengan mendamba perubahan, dan memastikan Keadilan dan Pakatan Harapan diberikan sokongan dan kepercayaan.

“Kepada Azizah sekeluarga, rakan dan penggerak masyarakat seluruhnya saya ucapkan penghargaan.Semoga Allah SWT merestui ikhtiar kita bersama.” ujarnya.