Malaysia Dateline

Nunji ’19: Akademi Nunji akan turun ke peringkat Parlimen, Dun jelaskan isu berbangkit

Akademi Nadwah Ulama Nahdhan Jadidan (Nunji) merancang turun ke peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam usaha untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai isu rasisme dan melampaui batas dalam berpolitik.

Pengerusi Akademi Nunji, Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, perkara yang menjadi intipati kepada resolusi dalam konvensyen tersebut harus dilaksanakan di pelbagai peringkat supaya mereka yang tidak mengikuti Nunji, akan turut mendapat maklumat sama.

“Pembentangan tiga kertas kerja pada hari ini sangat memberi makna kepada gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin dan juga forum yang telah merungkai beberapa persoalan yang selama ini berlegar dalam kalangan masyarakat.

“Dengan penganjuran konvensyen ini, kami berharap agar masyarakat mendapat pencerahan terhadap isu-isu yang mengganggu keharmonian kehidupan mereka, seperti isu rasisme dan melampau dalam berpolitik.

“Mudah-mudahan dengan menerima dan meraikan kepelbagaian yang ada dalam masyarakat kita, negara kita akan lebih berupaya untuk bergerak ke hadapan menjadi sebuah negara rahmah,” katanya kepada pemberita selepas tamat konvensyen tersebut.

Yang turut hadir, Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang; Timbalan Penasihat Umum, Datuk Wira Abdul Ghani Shamsuddin; Timbalan Presiden, Datuk Salahuddin Ayub; Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf; Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Datuk Dr Hasan Bahrom dan Pengarah Strategi, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam konvensyen itu, sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan iaitu, ‘Merakyatkan Maqasid’; Rasisme & Malaysia Baharu: Ke Mana Arah Kita? dan ‘Politik Ghuluw: Barah dalam Masyarakat serta forum bertajuk Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam.