Malaysia Dateline

  • Berita
  • Negeri
  • Rencana
  • Kolumnis
  • Antarabangsa
  • Pencerahan
  • DatelineTV
  • Sumbangan
  • Hubungi Kami
Malaysia Dateline
Nunji ’19: AMANAH komited bawa Islam berkonsepkan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin

Nunji ’19: AMANAH komited bawa Islam berkonsepkan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin

Oleh AKMAL MANAF Foto SYAFIQ ISKANDARJuly 20, 2019 3:19 pm




Parti Amanah Negara (AMANAH) akan terus komited membawa Islam berkonsepkan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin untuk dijadikan realiti, sekali gus dibudayakan dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada rencam kaum dan agama.

Timbalan Presiden AMANAH Datuk Salahuddin Ayub berkata, adalah penting untuk meletakkan naratif tersebut supaya masyarakat di negara ini akan dapat merasai nikmat dan rahmah di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Salahuddin Ayub bersama Dr Mujahid dalam di Konvensyen Nadwah Ulama Nahdhan Jadidan (Nunji 2019) di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata AMANAH juga berperanan untuk menterjemahkan Islam dalam bentuk manfaat yang diperolehi oleh masyarakat melalui konsep gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin tersebut.

“Ini adalah peranan AMANAH supaya negara kita akan berada dalam keadaan politik yang stabil, rakyat hidup secara harmoni, menghormati antara satu sama lain dan paling penting kita jangan menjadi sesetengah negara yang akhirnya berlaku peperangan dan pertumpahan darah.

“Jadi inilah konsep yang penting untuk dihayati bersama dan Konvensyen Nunji pada kali ini adalah pada tahap di mana kita akan mengerakkan keseluruhan jentera kita.

“InsyaAllah Datuk Seri Dr Mujahid akan membawa kertas ini ke kabinet untuk dimuktamadkan dan sekiranya berjaya, alhamdulillah negara kita akan dapat menjadi sebuah negara Islam contoh dalam kalangan negara Islam yang lain.

“Saya turut berasa bangga berhadapan dengan sebuah negara yang berbilang kaum, tetapi rakyatnya hidup dalam konsep gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin,” katanya.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas demikian ketika ditemui pemberita di Konvensyen Nadwah Ulama Nahdhan Jadidan (Nunji 2019) di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Konvensyen Nunji ’19 anjuran Akademi Nunji yang bertemakan ‘Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam’ itu memfokuskan isu-isu semasa yang berbangkit dalam kalangan warganegara yang dilihat, jika tidak dirungkai dan diberi pencerahan akan membawa impak negatif kepada proses pembinaan Negara Rahmah iaitu isu rasisme dan politik ghuluw (melampau).

Nunji atau dipanggil Himpunan Ilmuwan (Ulama) Kebangkitan Baharu ini juga bertujuan mempromosikan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah dalam kenegaraan serta sebagai medan perbincangan gerak kerja aplikasi konsep Rahmatan Lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah dalam landskap politik Malaysia Baharu.

Sementara itu, dalam program sama, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf pula berkata, Konvensyen Nunji berfungsi sebagai platform untuk menyegarkan pemikiran Islam yang sama ada menjadi terlalu jumud atau pun terlalu keras sehingga budaya-budaya takfiri dan budaya pemikiran sempit menguasai masyarakat.

“Maka lahirnya Nunji pada tahun 2015 bertujuan menyegarkan pemikiran Islam itu pada konteks yang lebih relevan dalam pemahaman nas-nas yang lebih berpijak pada realiti tanpa hilang prinsip agama.

“Ini benda yang cukup besar iaitu Nunji telah memberikan satu input dalam membentuk pemikiran hari ini dan juga naratif Islam yang dibawa oleh kerajaan PH.

“Hari ini kita bawa tokoh Datuk Dr Mohd Daud Bakar ke MITC yang bercakap tentang Maqasid Syariah di hadapan kira-kira 1,300 peserta yang hadir.

“Maqasid Syariah ini bukan lagi berlegar di kelas-kelas di universiti, tetapi ia dirakyatkan untuk difahamkan bahawa membuat sesuatu untuk pembangunan negara, kesejahteraan dan menjaga kedamaian itulah syariah menurut maqasid yang dituntut Islam,” kata Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

 

malaysiadateline.com adalah portal berita percuma yang menyajikan naratif luhur untuk pembaca budiman.

Sumbangan anda adalah penting untuk kelangsungan portal ini. Sila klik butang ‘support us’ dan sumbangan anda adalah sangat dihargai.

 





widget-image
widget-image

Popular

Peniaga pisang goreng anggap timbalan menteri “agak kurang sopan”

Darurat untuk selamatkan kerajaan yang sudah jatuh?

Annuar sahkan Anwar cukup sokongan jadi PM?

Rakyat Kelantan bina jambatan guna batang kayu, duit kerajaan negeri beli Mercedes Benz

Ketika berebut makanan, mereka minta kotak untuk alas tidur

Terkini

Covid-19: Tengok orang mati depan mata, pesakit mengelupur bekalan oksigen dibuka

Idris pemimpin kanan Pas pertama positif Covid-19

6 persoalan yang perlu diselesaikan Kementerian Pendidikan

8 MP Kedah mohon sekolah tidak dibuka 20 Januari

Kos RM35.4 juta boleh buat ujian swab lebih 500,000 rakyat Malaysia

Malaysia Dateline
Terima Kasih kerana mengunjungi kami.
SEARCH SOMETHING
© 2017 Malaysia Dateline. All rights reserved. Designed by Media Oren Production