Nunji ’19: Jadikan maqasid budaya pemikiran baharu

Nunji ’19: Jadikan maqasid budaya pemikiran baharu

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar (gambar atas), dalam pembentangan kertas kerjanya hari ini yang bertajuk ‘Merakyatkan Maqasid’ memberitahu, ia bertujuan mengajak semua masyarakat menjadikan maqasid itu sebagai satu budaya pemikiran baharu.

Kertas kerja itu dibentangkan pada Konvensyen Nadwah Ulama Nahdhan Jadidan (Nunji 2019) kali ketiga di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh, Melaka, hari ini melibatkan tiga lagi ilmuwan iaitu, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, Ustaz Ahmad Fauwaz Datuk Fadzil Noor dan Dr Rozaimi Ramle.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Daud berkata budaya pemikiran baharu itu adalah meletakkan suara langit atau pun polisi umum berdasarkan al-Quran dan Sunnah dalam polisi-polisi masyarakat dan negara.

Katanya, maqasid itu bertujuan untuk memberikan satu hala tuju kehidupan berdasarkan zaman dan keadaan semasa antaranya alam sekitar, keadilan, pendidikan, pekerjaan dan pemilikan rumah mampu milik.

“Justeru, dengan pembentangan kertas kerja hari ini, kita berharap minda masyarakat Islam akan terbuka dalam melihat maqasid sebagai satu polisi kehidupan yang mesti diterapkan dalam setiap peluang kehidupan.

“Yang penting adalah, kembali kepada al-Quran dan Sunnah serta melihat suara-suara bergelombang tinggi untuk diserapkan dalam polisi kerajaan, pendidikan, kanak-kanak, wanita, pekerjaan dan kesihatan. Itulah fungsi maqasid yang bertindak sebagai arah tuju polisi sebuah negara,” katanya.

Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Ketua Pusat Penyelidikan Sains Katalisis dan Teknologi merangkap Profesor Jabatan Kimia Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, pula membentangkan kertas kerja bertajuk Rasisme & Malaysia Baharu: Ke Mana Arah Kita?

Katanya, sebagai seorang Cina Muslim di negara ini, beliau ingin melihat supaya Islam itu digambarkan sebagai satu agama yang universal iaitu tidak hanya dikhususkan kepada satu bangsa.

“Jika Islam dikhususkan untuk satu bangsa sahaja, itu bukanlah ciri Islam kerana selagi persepsi Islam itu dilihat sebagai agama untuk satu bangsa, selagi itulah agama tersebut tidak akan difahami oleh masyarakat luar khususnya bukan Islam.

“Saya sebagai Cina Muslim mengharapkan supaya agama Islam diberikan nafas baharu, iaitu agama itu ditonjolkan sebagai agama dan juga penyelesaian kepada keseluruhan masalah yang wujud di dunia ini.

“Sebab kita tahu Islam adalah segalanya dan kita mahu supaya orang-orang bukan Islam memahami agama ini dalam konteks sebenar, bukannya di luar konteks iaitu persepsi yang salah,” katanya.

Ustaz Ahmad Fauwaz Datuk Fadzil Noor

Dalam konvensyen sama, ahli Persatuan Ulama Sedunia, Ustaz Ahmad Fauwaz Datuk Fadzil Noor juga membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk ‘Politik Ghuluw: Barah Dalam Masyarakat’.

Mengulas lanjut berkenaan kertas kerjanya itu, Ustaz Ahmad Fauwaz berkata, kertas kerja tersebut bertujuan membawa agenda wasatiyyah kepada semua peringkat sama ada kerajaan dan pembangkang supaya kehidupan itu seimbang.

“Maka kita menentang semua politik ghuluw (melampaui batas) sama ada dari sudut kerajaan, atau pembangkang.

“Masing-masing ada ghuluw tersendiri yang perlu kita elak dan kita dapat meneliti apa yang kita boleh bekerjasama dalam setiap agenda negara,” katanya.

Yang turut hadir, Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang; Timbalan Penasihat Umum, Datuk Wira Abdul Ghani Shamsuddin; Timbalan Presiden, Datuk Salahuddin Ayub; Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf; Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Datuk Dr Hasan Bahrom dan Pengarah Strategi, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.