Malaysia Dateline

Nur Jazlan jangka Bersatu masuk Umno ikut jejak Semangat 46

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menjangkakan Bersatu akan menyertai semula Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Bersatu ditubuhkan pada 2017 untuk hadapi PRU-14. Bersatu menang pada PRU-14 dengan pertolongan rakan-rakan parti yang tidak akan bagi undi mereka pada PRU-15.

“Jadi, saya tanya di mana masa depan Bersatu. Mungkin mereka akan masuk Umno sebagaimana Semangat 46 tetapi masuk dengan tidak bersyarat,” tegasnya dipetik Sinar Harian hari ini.

Anak sulung kepada bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat itu berpendapat Bersatu memerlukan jentera pilihan raya Umno pada PRU-15 memandangkan sokongan akar umbi kepada Bersatu amat kecil.

“Jika mereka bertanding bawah PN, sudah pasti mereka bergantung kepada BN dan Umno untuk jentera PRU bagi mendapatkan sokongan pengundi,” katanya.

Nur Jazlan sejak seminggu lalu antara pemimpin Umno yang lantang bercakap tentang muafakat politik BN, Pas dan Bersatu.

Perang mulut antara pemimpin Umno dan Bersatu tercetus ekoran pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti di bawah PN menjelang PRU-15.

Bahkan, Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad pada 9 Julai lalu mencadangkan agar Bersatu dibubarkan dan keseluruhan ahlinya menyertai semula Umno.

Nur Jazlan dalam wawancara sama juga menyifatkan sokongan akar umbi kepada Bersatu amat kecil serta mengingatkan kembali prestasi BN yang menang dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Bersatu pegang jawatan walaupun di peringkat bawah sokongan terhadap mereka sangat halus. Saya bagi contoh sewaktu PRK Tanjung Piai pada November tahun lepas ketika mereka lawan BN.

“Mereka kalah, itu sahaja sudah membuktikan Bersatu yang kononnya kuat di Johor tetapi hakikatnya ada lompong di bawah,” tambah Nur Jazlan lagi.