Malaysia Dateline

Nur Jazlan sepatutnya jelaskan mengapa lelaki 20an diberi gelaran Datuk Seri

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed sepatutnya menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia atas jasa apa seorang individu berusia 20an diberi gelaran Datuk Seri.

Lim Lip Eng

“Apakah besar sekali budi bakti yang telah dicurahkan serta pengorbanan yang telah dibuat oleh si Datuk Seri muda ini yang melayakkan beliau mendapat gelaran itu?” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas semalam.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan menteri berkenaan yang mengatakan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan dua darjah kebesaran yang telah dikurniakan istana Selangor, dilihat sebagai menghina anugerah tersebut dan ia “‘bukan adat orang Melayu’.

“Entah kenapa Nur Jazlan menyebut adat Melayu secara khusus. Adakah beliau sengaja memperkecilkan adat orang bukan Melayu yang lain dalam negara ini?” soal Lip Eng.

Lanjutan kepada itu katanya lagi, ia sebenarnya bukan urusan Nur Jazlan dan beliau tidak berhak bercakap bagi pihak istana Selangor dalam isu tersebut.

Paling hebat pun tambah beliau, Nur Jazlan hanya boleh mengulas tentang status siasatan polis terhadap Dr Mahathir berikutan kenyataan ‘lanun Bugis’ kerana memang kementerian beliaulah yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis.