Malaysia Dateline

Nurasmah rangkul emas pertama Kejohanan Dunia Olimpik Istimewa 2019

Nurasmah Mohd Shah merangkul pingat emas pertama Malaysia di Kejohanan Dunia Olimpik Istimewa 2019 di sini, menerusi acara bocce wanita individu pada Isnin.

Atlet berumur 22 tahun itu meraih emas dalam bahagian F22 melalui tiga kemenangan dan satu seri di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC) di sini manakala atlet Serbia Milica Vlajkovic dan Amanda Shumaker dari Amerika Syarikat, masing-masing merangkul perak dan gangsa.

Sementara itu, Siti Rohimah Mohd Nizam menyumbang pingat perak ketiga negara selepas menduduki tempat kedua dalam acara 100 meter bahagian F9 dengan catatan 19.11 saat di Stadium Kelab Pegawai Polis Dubai.

Atlet Mesir Fatma Ashraf Aboseria (17.88 saat) dan Jeannine Jessica Coulibaly (19.72 saat) dari Burkina Faso, masing-masing meraih emas dan gangsa.

Dua pingat perak Malaysia dimenangi Muhammad Naiim Rosli dalam acara boling individu lelaki bahagian D34 manakala Muhammad Radhi Safie dalam acara 200 meter bahagian 8 pada Ahad.

Kira-kira 7,500 atlet dari lebih 190 negara bersaing di temasya sukan khas untuk mereka yang bermasalah pembelajaran yang berlangsung pada 14 hingga 21 Mac.- BERNAMA