Malaysia Dateline

Nuridah kecam ProHAM pertikaikan dakwah Islam kepada Orang Asli

Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh mengecam tindakan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (ProHAM) yang mempertikaikan usaha pihak berkaitan untuk menyebarkan Islam kepada Orang Asli.

Beliau berkata, pertikaian ProHAM terhadap usahasama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan JAKIM itu tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, umum mengetahui Perkara 11 (1) Perlembagaan Malaysia ada memperuntukkan setiap orang di Malaysia berhak menganut, mengamal dan menyebarkan agama.

“Walaubagaimanapun, fasal 4 jelas melarang penyebaran agama-agama lain selain Islam, secara tidak langsung ia memberi keistimewaan kepada Islam berbanding agama lain.

“Larangan itu sekali gus membuktikan tindakan MAIK, UKM dan JAKIM yang menyebarkan agama Islam tidak wajar dipersoal kerana ia menepati peruntukan Perlembagaan dan Perkara 3 (1) iaitu Islam adalah agama Persekutuan.

“Hakikatnya, tindakan golongan liberal yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan hak asasi dengan mengutuk usaha penyebaran dakwah kepada Orang Asli dilihat bercanggah dengan perlembagaan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Nuridah berkata konsep dakwan Islamiyah adalah satu ‘seruan’ untuk mendidik masyarakat dengan nilai Islam serta cara hidup Islam, dan sama sekali tidak membenarkan wujudnya sebarang bentuk paksaan untuk menerima Islam.

“Justeru, kenyataan dikeluarkan ProHAM adalah amat tidak wajar dan ia dilihat hanya sekadar menyekat masyarakat Orang Asli untuk membuat pilihan beragama,” katanya lagi.