Malaysia Dateline

Nuridah menang tanpa bertanding

Ahli Dewan Negara, Nuridah Mohd Salleh menang tanpa bertanding pada pemilihan jawatankuasa Dewan Muslimat Pas sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai ketua sayap parti itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata, turut menang tanpa bertanding ialah Dr Rosni Adam bagi jawatan Timbalan Ketua serta Salmiah Mohd Noor sebagai Naib Ketua sayap itu.

Menurutnya, sebanyak 661 kertas undi diterima melalui pengundian e-undi daripada perwakilan Pas seluruh negara pada sesi pengundian yang berlangsung semalam.

“Seramai 738 perwakilan seluruh negara layak mengundi pada muktamar kali ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 661 kertas undi diterima,” dipetik portal rasmi Pas, Harakah Daily hari ini.

Sementara itu, 12 calon mendapat undian tertinggi bagi mengisi slot jawatankuasa Muslimat Pas Pusat.

Dr Najihatul Solehah Ahmad memperoleh 639 undi, manakala Dr Uyun Malik (573), Norain Husin (555), Wan Hasrina Wan Hassan (546) serta Mumtaz Md Nawi (540).

Turut tersenarai, Dr Mardiyah Hayati Salleh (539), Asma Husin (527), Zuraida Md Noor (517), Datuk Siti Ashah Ghazali (492), Dr Reen Mohd Noor (487), Faridah Ismail (486) dan Dr Azimah Ibrahim (480).

Mohd Nurkhuzaini juga mengumumkan Husna Saidon selaku Pengerusi Tetap; Timbalan Pengerusi Tetap, Nor Zarina Mohd Azhar; Pemeriksa Kira-Kira, Basmatul Uyun Yusuf dan Normilan Mangat, masing-masing mengekalkan jawatan tanpa bertanding.

Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Ke-61 yang bermula sejak semalam dan berakhir hari ini diadakan secara hibrid.

Turut berlangsung sejak semalam dan hari ini adalah Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS yang bersidang di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Untuk rekod, Muktamar Tahunan Pas kali ke-67 pula akan berlangsung pada 6 dan 7 November depan di Kuala Terengganu.