Nurul Izzah akan umum jawatan bakal ditandingi dalam masa terdekat

Nurul Izzah ketika menyampaikan sumbangan kepada jemaah haji di Masjid Timah petang semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akan mengumumkan pendirian beliau sama ada akan mempertahankan kerusi Naib Presiden yang diterajuinya atau sebaliknya sebelum Isnin ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji di Masjid Timah, Permatang Pauh petang semalam.

Jelas beliau lagi, apa jua keputusan sama ada akan bertanding apa juga posisi hanya akan dimaklumkan sepertimana yang telah dinyatakan.

Ketika ditanya mengenai desas-desus yang mendakwa adanya kem Azmin Ali dan Rafizi Ramli bagi pemilihan PKR kali ini, beliau hanya berkata bahawa itu adalah proses demokrasi.

Sebelum ini terdapat ura-ura yang mengatakan beliau akan mempertahankan kerusi Naib Presiden yang telah dipegangnya sejak dua penggal yang lalu.

Pemilihan bagi merebut jawatan tertinggi PKR mulai Ogos ini dijangka sengit kerana terdapat ramai calon yang ingin menawarkan diri untuk merebut kerusi Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat.

Manakala untuk kerusi Presiden setakat ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak akan ditentang bagi merebut kerusi nombor satu tersebut.

Dalam majlis meraikan bakal jemaah haji tersebut, Nurul turut menyampaikan sumbangan kepada semua bakal jemaah haji bagi ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Seberang Jaya dan juga Penanti.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr Afif Bahardin yang jua merupakan Adun Seberang Jaya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote