Nurul Izzah cadang penoreh getah terima RM1,200 sebulan

Nurul Izzah cadang penoreh getah terima RM1,200 sebulan

 

 

 

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Nurul Izzah AnwarKerajaan harus wujudkan solusi jangka masa panjang yang lebih berkesan dalam menangani isu yang melibatkan pendapatan penoreh dan penghasilan getah di Malaysia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata, perlu wujud mekanisma bayaran tetap minima kepada penoreh getah RM1,200 sebulan supaya dapat menjamin pengeluaran hasil getah yang lebih baik di masa akan datang.

“Dengan wujudnya mekanisma ini akan membantu penoreh getah dengan jaminan pendapatan minimum walaupun dalam keadaan pengeluaran getah yang merudum sebagai sumber pendapatan.

“Tambahan pula, dalam mengambil kira setiap faktor yang mempengaruhi jumlah pengeluaran getah seperti iklim dan cuaca, penoreh mempunyai minimum pendapatan sebagai jaminan,” ujarnya.

Naib Presiden PKR itu berkata, cadangan bayaran tetap bulanan untuk penoreh getah ini bukanlah cadangan yang baru.

Pada tahun 2003, Kesatuan Kebangsaan Ladang (NUPW) yang ditubuhkan pada tahun 1954 berpendapat perlu wujud pendapatan bulanan sebagai jaminan kepada penoreh getah.

“Kita mesti memulakan proses sumber penyelesaian pendapatan jaminan berterusan dan holistik untuk mereka yang di dalam industri getah.

“Malaysia menjana pendapatan melalui pengeluaran getah asli yang strategik, namun keadaan semasa penoreh getah di negara kita adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Keadaan di mana masih ada dalam kalangan keluarga penoreh getah yang kekurangan zat nutrisi dan terus menerus terperangkap dalam kemiskinan.

“Situasi ini harus dihentikan dengan kadar segera dan ini boleh berlaku jika dan hanya jika kerajaan komited dalam pelaksanaan dasar semasa dan membanteras mereka yang mengaut keuntungan berlebihan, mengumumkan projek mega, dan seperti kerajaan negeri Kedah yang dengan gah mengumumkan negeri mereka sebagai The Rubber State tetapi tidak berupaya menjaga kebajikan penoreh getah secara keseluruhan.

“Rubber Industry Smallholder Development Authority (Risda) bertanggungjawab dalam membangunkan industri getah ini wajar untuk sama-sama mendokong usaha mencari solusi kepada isu yang dibangkitkan bagi memastikan pembangunan industri getah tanah air dapat terlaksana.” ujarnya.

Menurut Nurul Izzah lagi, Malaysia adalah negara ke-6 mengeluarkan hasil getah dunia selain Thailand, Indonesia, Vietnam, China dan India.

Negara kita masih lagi pengeluar utama bahan perubatan berasaskan getah seperti sarung tangan untuk pemeriksaan dan pembedahan.

Barangan ini sahaja telah memenuhi lebih 50 peratus permintaan pasaran antarabangsa.

Negara memperoleh hasil daripada eksport getah sebanyak RM15 billion setahun.

Malaysia dilihat sebagai mengungguli produk getah dengan 94 peratus pengeluaran getah asli dihasilkan oleh 250,000 pekebun kecil getah.

“Malangnya, penoreh getahlah yang paling terkesan dengan penurunan harga getah asli serta kebergantungan kepada harga semasa yang semakin menurun.

“Sebuah akhbar melaporkan penoreh getah di kawasan Kaki Bukit mengalami kesukaran apabila penurunan harga getah ke RM1.60 secawan per kilo di Semenanjung dan RM1.30 secawan per kilo di Sabah dan Sarawak,”ujarnya.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk memastikan penoreh getah kecil-kecilan mampu hidup di atas paras kemiskinan dan jualan getah dibeli dengan lebih tinggi.

Namun demikian, ujarnya insentif ini hanya diberikan apabila harga getah asli secawan jatuh kurang daripada RM 2.20 secawan iaitu RM1.75 kepada RM1.80.

Bahkan, aduan yang diterima menunjukkan skim ini memerlukan masa lebih daripada 30 hari daripada tarikh permohonan dan tempoh 14 hari sementara menunggu wang insentif dikreditkan ke dalam akaun.

“Di sinilah kelihatan jelas permasalahan utama skim ini adalah apabila skim ini hanya memastikan bahawa pendapatan penoreh getah ini akan berada di atas paras kemiskinan iaitu pada RM763 yang boleh dikatakan sangat rendah di Semenanjung.

“Thailand merupakan negara contoh yang membeli harga getah asli daripada penoreh dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Peruntukan yang diberikan kepada kerajaan Thailand adalah sebanyak 13 bilion baht (RM3.64 bilion ) untuk membantu penoreh getah dalam menghadapi penurunan harga getah dunia.

“Tambahan, jumlah subsidi yang disasarkan 1,500 baht per rai (1,600 meter persegi) – lebih tinggi daripada 1,250 baht yang diminta setiap oleh penoreh getah di Thailand.

“Peruntukan Thailand jauh lebih lumayan dibandingkan dengan belanjawan Malaysia 2015 yang memperuntukkan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah (IPG ).” terangnya.

TAGS