Nurul Izzah curi tumpuan, beri tips pada Nad Zainal macam mana nak hadap kecaman netizen

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon berbakat, Nad Zainal sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila meminta nasihat ahli politik terkenal, Nurul Izzah yang juga anak kepada Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang bagaimana mahu menghadapi sebarang kecaman netizen.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh Nad di laman Instagram miliknya, Nurul Izzah dilihat tidak lokek langsung berkongsi pandangan malahan menasihatkan supaya setiap individu mempunyai sikap empati bagi memahami situasi orang lain.

“Kita semua akan alami kekecewaan, mungkin kecaman. Pertama, ambil sikap berempati dan jangan mudah lemparkan serangan.

“Kita juga harus memahami ada ruang yang boleh diguna pakai untuk melindungi diri kita terutama apabila terdapat individu melemparkan kecaman dengan cara yang boleh diterima,” katanya.

Bukan itu sahaja, Nurul Izzah juga menitip pesanab bahawa menjaga kesihatan mental perlu dititikberatkan setiap kali berdepan serangan dalam media sosial.

Bahkan, dia juga berpesan agar mengutip setiap momen-momen indah yang berlaku dalam kehidupan berbanding memori duka.

“Pertama ialah sayang, lindungi diri, menjaga keadaan dan kesihatan mental sendiri.

“Walaupun kita bermuhasabah, tidak bermaksud sesiapa sahaja boleh lemparkan kata-kata kesat. Ini peringatan pada akhir Ramadan, jaga kesihatan mental.

“Untuk mereka yang dikecam dan mengecam, letaklah satu jarak untuk melindungi diri. Padam (komen negatif) sahajalah jika perlu.

“Sehari ada 24 jam sahaja dan pilihlah memori dan ingatan yang indah,” katanya lagi.

Sementara itu, memetik laporan Kosmo!, segelintir netizen menyarankan agar Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin lebih mesra setiap kali bertemu peminat.

“Nad kena terima kecaman, biasalah artis.

“Nad perlu rajin senyum bila jumpa peminat. Tak tegur pun tidak mengapa asalkan beri senyuman,” komen netizen.

Sebelum ini, Nad menerima kecaman hebat dan dilabel sebagai selebriti sombong kerana didakwa melemparkan senyuman kelat kepada orang awam ketika hadir ke sebuah festival baru-baru ini.

Baca juga: Raya 1 Syawal Anwar berseloroh apabila ditanya di Starvendors KLCC 2023