Nurul Izzah desak Ismail Sabri letak jawatan

Nurul Izzah desak Ismail Sabri letak jawatan

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didesak meletakkan jawatan susulan berlakunya skandal tajaan membabitkan Mara.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataanya berkata, Ismail didakwa melakukan kecuaian dalam menjalankan tugasnya.

“Ismail Sabri perlu bertanggungjawab terhadap isu ini selain perlu menyarankan rancangan penstrukturan dan pendidikan pada sidang Dewan Rakyat Mac depan.

“Beliau juga perlu menjawab segala pertanyaan ke atas skandal ini selaras Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan dana Institusi pendidikan UniKL bagi menaja pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) bukan satu isu kecil.

“Malah ia menjadi bertambah rumit apabila Institusi pendidikan Mara mengalami masalah kewangan untuk menampung kebajikan pelajar bumiputera sebanyak RM250,000,” katanya.

Beliau berkata, kelemahan Felda yang melantik ahli politik dalam menguruskan organisasi itu adalah pengajaran terbaik bagi membaik pulih institusi Mara.

“Sebelum ini, Mara telah menamatkan kontrak dua orang pegawai kanan lantikan politik kerana membelanjakan RM65 juta dana awam bagi membeli blok apartmen di Australia,” katanya.

TAGS