Nurul Izzah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul merujuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana pertemuannya dengan Jakel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Usaha pembangkang untuk menyekat Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar daripada dirujuk ke ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran pertemuan dengan Jacel Kiram gagal selepas 105 undian belah bahagian menyokong usul tersebut.

Pembangkang hanya memperoleh 77 undian sahaja

Dengan lulusnya usul itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presdien PKR akan memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut yang diwakili ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Perkara itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, selepas undi belah bahagian dibuat, seperti yang diminta oleh pembangkang.

“Setelah kita mengadakan belah bahagian tadi, ini adalah keputusannya.

“Maka, usul untuk merujuk Lembah Pantai ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dipersetujui,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, selepas gambar pertemuan Nurul Izzah bersama anak sulung kepada ketua pencerobohan Lahad Datu, Sabah, Jacel Kiram tersebar awal bulan lalu.

Sementara itu, Nurul Izzah ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen menerima keputusan tersebut.

“Saya terima keputusan itu dan bersedia berhadapan dengan jawatankuasa.

“Saksi akan ditentukan kemudian,” katanya.

TAGS