Malaysia Dateline

Nurul Izzah mual, muak dengan pemimpin yang tamak

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sebab anaknya Nurul Izzah melepaskan semua jawatan parti termasuk jawatan Naib Presiden PKR.

Menurut Anwar dalam satu kenyataan Nurul Izzah sudah mual dan muak dengan “telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.

Jelas Anwar, Izzah kecewa dengan aksi ahli-ahli parlimen yang melompat parti dan yang lebih parah mereka dimanfaatkan dengan perkara-perkara jelek.

“Saya telah berbincang bersama Nurul Izzah dengan panjang lebar tentang niat beliau untuk melepaskan kesemua jawatan yang disandang.

“… yang jelas adalah kerancakan perkembangan politik yang terus menerus sejak 9 bulan yang lalu membuatkan beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.

“Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi ahli-ahli parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik, tetapi apa yang lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelek,” kata Anwar.

Tambah Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, tindakan Izzah itu secara tidak langsung mengkritik segelintir pemimpin parti yang “tamakkan kepentingan peribadi.”

“Saya beranggapan ianya sememangnya konsisten dengan watak beliau yang berani menyatakan pendapat dan prinsipnya.

“Dengan (melepaskan semua jawatan PKR) secara tidak langsung, Nurul Izzah mengkritik (beberapa) kerat pimpinan parti yang lebih tamakkan kepentingan peribadi daripada kesatuan parti,” katanya.

Anwar juga berkata kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 tidak memberi sebarang makna jika agenda reformasi disabotaj.

“Peristiwa 9 Mei sesungguhnya adalah suatu anjakan besar buat negara yang membawa pelbagai maksud, tetapi kejayaan kita dalam usaha perluasan dan pemekaran ruang demokratik tidak akan ada sebarang makna sekiranya agenda reformasi disabotaj,” jelasnya lagi.

Nurul Izzah yang juga anak pasangan presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat kejutan baru-baru ini apabila mengumumkan keputusannya melepaskan semua jawatan dalam parti, termasuk naib presiden.

Bagaimanapun, beliau kekal anggota parlimen Permatang Pauh dan ahli biasa PKR.