Nurul Izzah tanding Permatang Pauh, Mansor Othman kekal di Nibong Tebal

Nurul Izzah tanding Permatang Pauh, Mansor Othman kekal di Nibong Tebal

Teka-teki sama ada Datuk Seri Dr Wan Azizah kekal di Permatang Pauh atau sebaliknya telah terjawab setelah pengumuman yang dibuat semalam bahawa Nurul Izzah akan bertanding bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Manakala Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman yang sebelum ini diuar-uarkan akan berpindah ternyata masih kekal bertanding bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Selain itu Sim Tze Tzin kekal bertanding kerusi yang pernah dimenanginya dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu iaitu Parlimen Bayan Baru.

Untuk kerusi Balik Pulau pula, Muhammad Bakhtiar Wan Chik telah dipilih untuk bertanding bagi kerusi tersebut, sekali gus melenyapkan desas-desus yang mengatakan beliau akan ditandingi oleh mantan Ahli Parlimen sebelum ini Yusmadi Yusof.

Sementara itu, 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang akan ditandingi oleh PKR menyaksikan bekas Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin kekal bertanding sekali lagi di situ.

Datuk Mansor Othman kekal bertanding di kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Dr Norlela Ariffin yang sebelum ini lantang menegur kerajaan negeri turut kekal bertanding di kerusi yang sama bagi Dun Penanti.

Setiausaha Pengelola PKR Negeri Pulau Pinang yang juga merupakan mantan Adun Machang Bubok, Lee Khai Loon sekali lagi diberi mandat untuk kekal di kerusi yang sama pada kali ini.

Gooi Hsiao Leung yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Alor Setar akan bertanding bagi kerusi Dun Bukit Tengah.

Bekas Timbalan Speaker, Datuk Mahtar Shapiee digugurkan bagi kerusi Sungai Bakap dan diganti oleh Dr Amar Pritpal Abdullah.

Datuk Halim Hussein yang pernah menjadi Speaker Dun Pulau Pinang pada PRU ke-12 yang lalu, diberi kepercayaan untuk bertanding sekali lagi bagi kerusi Batu Maung yang ditinggalkan oleh Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Gooi Hsiao Leung, bertukar dari Parlimen Alor Setar ke Dun Bukit Tengah.

Muka baru yang dicalonkan pada kali ini adalah bagi Dun Telok Ayer Tawar yang akan ditandingi oleh pemangku Ketua Cabang PKR Tasek Gelugor, Mustafa Kamal Ahmad.

Dun Bukit Tambun kali ini diwakili oleh muka baru juga iaitu Goh Choon Aik serta Zulkifli Ibrahim bagi kerusi Sungai Acheh.

Jason Ong Khan Lee akan bertanding di Dun Kebun Bunga, manakala Exco AMK Pusat, Kumaresan Arumugam akan bertanding bagi kerusi Dun Batu Uban.

Mohd Tuah Ismail akan bertanding kerusi Dun Pulau Betong dan Dun Pantai Jerejak pula yang sebelum ini diwakili oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon kini akan ditandingi oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution ismail.